Peluang Pekerjaan dan Sokongan Mental Jadi Fokus Dasar Wanita Terengganu 2025

258

KUALA TERENGGANU – Suara generasi baharu semakin menonjol dalam Seminar Dasar Wanita Terengganu 2025 apabila golongan wanita muda menegaskan bahawa isu peluang pekerjaan, pembangunan kemahiran, dan sokongan terhadap kesejahteraan mental perlu menjadi fokus utama dasar baharu itu.

Bagi mereka, cabaran yang dihadapi wanita masa kini bukan sekadar soal ekonomi dan pendidikan, tetapi turut melibatkan keseimbangan hidup serta ketahanan mental untuk berdepan tekanan zaman moden.

Peserta seminar, Ain Munirah, berkata wanita muda hari ini memerlukan peluang pekerjaan yang setara, sokongan pembangunan kemahiran dan perhatian serius terhadap aspek kesihatan mental.

“Saya berharap isu peluang pekerjaan, pembangunan kemahiran, dan sokongan terhadap kesejahteraan mental wanita muda diberi keutamaan.

“Ini bukan hanya untuk wanita, tetapi masa depan negeri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Ain Munirah, wanita muda mahu dilihat sebagai aset negeri yang mampu menyumbang dalam pelbagai sektor, namun mereka memerlukan ruang, peluang dan sokongan yang lebih tersusun.

Dasar Wanita Terengganu 2025 dianggap sebagai platform penting untuk mendengar suara wanita daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk generasi muda yang bakal menjadi peneraju masa depan.

“Jika dasar ini benar-benar memberi ruang kepada wanita muda, Terengganu bukan sahaja memperkasa wanita hari ini,

“Tetapi juga melahirkan generasi pemimpin wanita akan datang,” tambahnya.

Dengan keutamaan baharu ini, harapan besar diletakkan agar pelaksanaan Dasar Wanita Terengganu 2025 tidak terhenti di atas kertas, sebaliknya benar-benar turun ke lapangan dan memberi impak kepada wanita di semua peringkat.