Dunia digoda oleh pelan damai Donald Trump bagi gencatan senjata di Gaza. Antara tawarannya ialah memberikan laluan bantuan kemanusiaan serta perdamaian yang kekal di Gaza.
Pelan damai itu juga menyatakan syarat-syarat yang memberikan jaminan keamanan kepada Israel. Terpentingnya ialah melucutkan senjata Hamas serta memulangkan tawanan Israel dan mayat yang mati dengan tukaran membebaskan tahanan Palestin.
Mereka juga mencadangkan tentera pengaman dari negara-negara Arab yang terpilih dan melantik Tony Blair, mantan Perdana Menteri United Kingdom selaku pengarah pentadbiran Gaza; meniru pendekatan ketika Amerika Syarikat menakluk Iraq dahulu.
Israel menerima dengan mudah setelah perundingan antara Trump dengan Netanyahu. Tidak diketahui sama ada ia cadangan Netanyahu ataupun Trump.
Cadangan dilakukan setelah Israel gagal mencapai matlamat operasi menawan Gaza dan ketenteraannya tidak berjaya menghapuskan Hamas.
Sangat terang lagi bersuluh bahawa tawaran tersebut merupakan jaminan keselamatan percuma kepada Israel atau menyelamatkan Israel daripada kekalahan, dengan cara Hamas menyerah kalah secara percuma.
Langkah yang sama turut pernah dilakukan pada tahun 1948 apabila melihat kemaraan para mujahidin kumpulan Islam terhadap tentera Israel yang gagal menawan Bait al-Maqdis.
Begitu juga ketika Israel dikalahkan oleh tentera Mesir dalam Perang Ramadan 1973 (Perang Yom Kippur), mereka menggunakan gencatan senjata yang diikuti oleh beberapa perjanjian damai seperti Perjanjian Madrid 1991 dan Perjanjian Oslo 1993 serta penyelesaian dua negara (two-state solution), dengan sempadan menyelamatkan kawasan yang pernah ditawan Israel pada Perang Enam Hari 1967 bersama Bait al-Maqdis.
Negara Islam dan Arab diminta melakukan normalisasi dengan mengiktiraf negara Israel, dalam keadaan tidak menghalang kemasukan pendatang Yahudi yang berduyun-duyun mendapat perlindungan tentera dan polis Israel ke kawasan rakyat Palestin yang dirampas rumah-rumahnya, termasuk dimusnahkan kedai, pasar raya, dan kebun zaitun sejak ratusan tahun.
Pada masa yang sama, Bait al-Maqdis diisytiharkan sebagai ibu negara Israel dan diterima oleh Amerika Syarikat dan beberapa negara sekutunya.
Terpentingnya, Hamas terlebih dahulu perlu melucutkan senjata mereka serta membebaskan tawanan Israel yang masih hidup bersama memulangkan mayat puak Yahudi yang terbunuh. Tidak ada syarat Israel perlu meletakkan senjata, walaupun tenteranya diminta berundur dari Gaza.
Dalam kerajaan campuran Israel, beberapa orang menteri kabinet membuat kenyataan bahawa tidak ada gencatan senjata selagi Hamas tidak dihapuskan.
Seterusnya, Gaza dicadangkan agar ditadbir oleh sekutu Amerika Syarikat dengan pelantikan mantan Perdana Menteri United Kingdom menjadi ketua pentadbirannya, dengan Palestin dan wakil negara Arab dibolehkan sekadar menjadi petugas bawah arahannya.
Hamas pula perlu dikeluarkan dari Gaza, walaupun mereka telah memenangi Pilihan Raya Perundangan Palestin 2006 yang lalu, menunjukkan negara yang sah kepada rakyat Palestin mengikut ayat suci demokrasi Barat, “Suara rakyat, suara Tuhan (vox populi vox dei).” Akan tetapi, hukumnya dinasakhkan (dibatalkan) kerana Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) disokong oleh Barat serta negara Arab dan Islam yang ada di bawah ketiaknya yang hangit dan busuk itu.
Kemenangan Hamas dalam operasi Taufan al-Aqsa sejak 7 Oktober 2023 menggegarkan pihak Israel dan sekutunya, sehingga bala tentera Ahzab ditubuhkan semula oleh Amerika Syarikat bersama negara sekutu Zionis, walaupun sudah bertapak pangkalan tentera yang berselerak di negara-negara Arab dan Islam yang terdekat bersama pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang besar untuk menghadapi Perang Dunia bila-bila masa.
Maka, cadangan perdamaian Trump dan Israel ialah penipuan yang terbuka, laksana burung unta yang menyembunyikan kepala di dalam tanah, sedangkan badannya yang besar terbuka dengan nyata atau laksana menutup bangkai dengan tapak tangan.
Allah SWT telah menyenaraikan dalam al-Quran bahawa kaum Yahudi mengkhianati semua perjanjian yang dilakukan dengan semua pihak. Paling besar pengkhianatannya ialah perjanjian dengan Allah SWT:
وَإِذۡ أَخَذۡنَا مِيثَٰقَكُمۡ وَرَفَعۡنَا فَوۡقَكُمُ ٱلطُّورَ خُذُواْ مَآ ءَاتَيۡنَٰكُم بِقُوَّةٖ وَٱذۡكُرُواْ مَا فِيهِ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ٦٣ ثُمَّ تَوَلَّيۡتُم مِّنۢ بَعۡدِ ذَٰلِكَۖ فَلَوۡلَا فَضۡلُ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ وَرَحۡمَتُهُۥ لَكُنتُم مِّنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ ٦٤
“Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil janji daripada kamu dan Kami angkatkan gunung (Tursina) di atasmu (seraya Kami berfirman), ‘Peganglah teguh-teguh apa-apa yang Kami berikan kepadamu dan ingatlah selalu apa-apa yang ada dalamnya, agar kamu bertaqwa.’ (63) Kemudian, kamu berpaling setelah (adanya perjanjian) itu, maka kalau tidak ada kurnia Allah dan rahmat-Nya atasmu, nescaya kamu tergolong orang yang rugi. (64)” [Surah al-Baqarah: 63–64]
Firman Allah SWT:
وَإِذۡ أَخَذۡنَا مِيثَٰقَ بَنِيٓ إِسۡرَآءِيلَ لَا تَعۡبُدُونَ إِلَّا ٱللَّهَ وَبِٱلۡوَٰلِدَيۡنِ إِحۡسَانٗا وَذِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَٰمَىٰ وَٱلۡمَسَٰكِينِ وَقُولُواْ لِلنَّاسِ حُسۡنٗا وَأَقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُواْ ٱلزَّكَوٰةَ ثُمَّ تَوَلَّيۡتُمۡ إِلَّا قَلِيلٗا مِّنكُمۡ وَأَنتُم مُّعۡرِضُونَ ٨٣ وَإِذۡ أَخَذۡنَا مِيثَٰقَكُمۡ لَا تَسۡفِكُونَ دِمَآءَكُمۡ وَلَا تُخۡرِجُونَ أَنفُسَكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ ثُمَّ أَقۡرَرۡتُمۡ وَأَنتُمۡ تَشۡهَدُونَ ٨٤ ثُمَّ أَنتُمۡ هَـٰٓؤُلَآءِ تَقۡتُلُونَ أَنفُسَكُمۡ وَتُخۡرِجُونَ فَرِيقٗا مِّنكُم مِّن دِيَٰرِهِمۡ تَظَٰهَرُونَ عَلَيۡهِم بِٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِ وَإِن يَأۡتُوكُمۡ أُسَٰرَىٰ تُفَٰدُوهُمۡ وَهُوَ مُحَرَّمٌ عَلَيۡكُمۡ إِخۡرَاجُهُمۡۚ أَفَتُؤۡمِنُونَ بِبَعۡضِ ٱلۡكِتَٰبِ وَتَكۡفُرُونَ بِبَعۡضٖۚ فَمَا جَزَآءُ مَن يَفۡعَلُ ذَٰلِكَ مِنكُمۡ إِلَّا خِزۡيٞ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۖ وَيَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ يُرَدُّونَ إِلَىٰٓ أَشَدِّ ٱلۡعَذَابِۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَٰفِلٍ عَمَّا تَعۡمَلُونَ ٨٥
“Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil janji daripada Bani Isra’il, (iaitu), ‘Janganlah kamu menyembah selain Allah, dan berbuat kebaikanlah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia, dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat.’ Kemudian, kamu tidak memenuhi janji itu, kecuali sebahagian kecil daripada kamu, dan kamu selalu berpaling. (83) Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil janji daripada kamu, (iaitu), ‘Kamu tidak akan menumpahkan darahmu (membunuh orang), dan kamu tidak akan mengusir dirimu (saudaramu sebangsa) dari kampung halamanmu, kemudian kamu berikrar (akan memenuhinya), sedang kamu mempersaksikannya.’ (84) Kemudian, kamu (Bani Isra’il) membunuh dirimu (saudaramu sebangsa) dan mengusir segolongan daripada kamu dari kampung halamannya, kamu bantu-membantu terhadap mereka dengan membuat dosa dan permusuhan. Akan tetapi, jika mereka datang kepadamu sebagai tawanan, kamu tebus mereka, padahal mengusir mereka itu (juga) terlarang bagimu. Adakah kamu beriman kepada sebahagian al-Kitab (Taurat) dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada Hari Kiamat mereka dikembalikan kepada seksa yang sangat berat. Allah tidak lengah daripada apa-apa yang kamu berbuat. (85)” [Surah al-Baqarah: 83–85]
Mereka mengkhianati pula perjanjian dengan Allah serta dikhianati hubungan kekeluargaan terdekat dan kaum atau bangsa sendiri.
Perjanjian dengan para anbiya’, manusia pilihan Allah dikhianati juga sebagaimana firman Allah SWT:
وَإِذۡ أَخَذَ ٱللَّهُ مِيثَٰقَ ٱلنَّبِيِّـۧنَ لَمَآ ءَاتَيۡتُكُم مِّن كِتَٰبٖ وَحِكۡمَةٖ ثُمَّ جَآءَكُمۡ رَسُولٞ مُّصَدِّقٞ لِّمَا مَعَكُمۡ لَتُؤۡمِنُنَّ بِهِۦ وَلَتَنصُرُنَّهُۥۚ قَالَ ءَأَقۡرَرۡتُمۡ وَأَخَذۡتُمۡ عَلَىٰ ذَٰلِكُمۡ إِصۡرِيۖ قَالُوٓاْ أَقۡرَرۡنَاۚ قَالَ فَٱشۡهَدُواْ وَأَنَا۠ مَعَكُم مِّنَ ٱلشَّـٰهِدِينَ ٨١ فَمَن تَوَلَّىٰ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ ٨٢ أَفَغَيۡرَ دِينِ ٱللَّهِ يَبۡغُونَ وَلَهُۥٓ أَسۡلَمَ مَن فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ طَوۡعٗا وَكَرۡهٗا وَإِلَيۡهِ يُرۡجَعُونَ ٨٣
“Dan (ingatlah), ketika Allah mengambil perjanjian daripada para nabi, ‘Sungguh, apa-apa saja yang Aku berikan kepadamu berupa kitab dan hikmah, kemudian datang kepadamu seorang rasul yang membenarkan apa-apa yang ada padamu, nescaya kamu akan sungguh-sungguh beriman kepadanya dan menolongnya.’ Allah berfirman, ‘Adakah kamu mengakui dan menerima perjanjian-Ku terhadap yang demikian itu?’ Mereka menjawab, ‘Kami mengakui.’ Allah berfirman, ‘Kalau begitu, saksikanlah (wahai para nabi) dan Aku menjadi saksi (pula) bersama kamu.’ (81) Sesiapa yang berpaling sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq. (82) Maka, adakah mereka mencari agama yang lain daripada agama Allah, padahal kepada-Nyalah menyerahkan diri segala yang di langit dan di bumi, baik dengan suka mahupun terpaksa, dan hanya kepada Allahlah mereka dikembalikan. (83)” [Surah Ali ‘Imran: 81–83]
Perjanjian Madinah (Sahifah Madinah) yang dimeteraikan bersama Rasulullah SAW yang berada dalam kalangan masyarakat majmuk, bersifat menunaikan amanah Allah supaya berlaku adil kepada semua manusia. Tiba-tiba, kaum Yahudi mengadakan pakatan bersekutu (Ahzab) dengan kaum Musyrikin bagi membinasakan rasul akhir zaman dan merancang untuk membunuhnya, padahal Rasulullah SAW disebut dalam kitab suci mereka dan kitab-kitab suci yang lain sebagaimana firman Allah SWT:
ٱلَّذِينَ ءَاتَيۡنَٰهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ يَعۡرِفُونَهُۥ كَمَا يَعۡرِفُونَ أَبۡنَآءَهُمۡۖ وَإِنَّ فَرِيقٗا مِّنۡهُمۡ لَيَكۡتُمُونَ ٱلۡحَقَّ وَهُمۡ يَعۡلَمُونَ ١٤٦
“Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah Kami beri mereka al-Kitab (Taurat dan Injil) mengenali Muhammad seperti mereka mengenali anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya, sebahagian antara mereka menyembunyikan kebenaran, padahal mereka mengetahui.” [Surah al-Baqarah: 146]
Mereka lalu dibinasakan oleh Allah dengan pertolongan Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱذۡكُرُواْ نِعۡمَةَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ جَآءَتۡكُمۡ جُنُودٞ فَأَرۡسَلۡنَا عَلَيۡهِمۡ رِيحٗا وَجُنُودٗا لَّمۡ تَرَوۡهَاۚ وَكَانَ ٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرًا ٩
“Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah akan ni‘mat Allah (yang telah dikurniakan) kepadamu ketika datang kepadamu tentera-tentera, lalu Kami kirimkan kepada mereka angin taufan dan tentera yang tidak dapat kamu melihatnya! Dan Allah adalah Maha Melihat akan apa-apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Ahzab: 9]
Di samping itu, kaum Yahudi atau Bani Isra’il juga mengkhianati Nabi Musa dan Nabi Harun AS yang berjuang menyelamatkan mereka daripada kezaliman Firaun supaya meneruskan jihad membebaskan Palestin, menyebabkan mereka tidak layak memasuki Palestin sehingga dihukum merayau-rayau di padang pasir selama 40 tahun. Firman Allah SWT:
قَالُواْ يَٰمُوسَىٰٓ إِنَّا لَن نَّدۡخُلَهَآ أَبَدٗا مَّا دَامُواْ فِيهَا فَٱذۡهَبۡ أَنتَ وَرَبُّكَ فَقَٰتِلَآ إِنَّا هَٰهُنَا قَٰعِدُونَ ٢٤ قَالَ رَبِّ إِنِّي لَآ أَمۡلِكُ إِلَّا نَفۡسِي وَأَخِيۖ فَٱفۡرُقۡ بَيۡنَنَا وَبَيۡنَ ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡفَٰسِقِينَ ٢٥ قَالَ فَإِنَّهَا مُحَرَّمَةٌ عَلَيۡهِمۡۛ أَرۡبَعِينَ سَنَةٗۛ يَتِيهُونَ فِي ٱلۡأَرۡضِۚ فَلَا تَأۡسَ عَلَى ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡفَٰسِقِينَ ٢٦
“Mereka berkata, ‘Wahai Musa, kami sekali-kali tidak akan memasukinya selama-lamanya, selagi mereka ada di dalamnya! Oleh sebab itu, pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah kamu berdua. Sesungguhnya, kami hanya duduk menanti di sini saja.’ (24) Berkata Musa, ‘Ya Tuhanku, aku tidak menguasai kecuali diriku sendiri dan saudaraku! Oleh sebab itu, pisahkanlah antara kami dengan orang-orang yang fasiq itu.’ (25) Allah berfirman, ‘(Jika demikian), maka sesungguhnya, negeri itu diharamkan atas mereka selama empat puluh tahun, (selama itu) mereka akan berputar-putar kebingungan di bumi (padang Tih) itu. Maka, janganlah kamu bersedih hati (memikirkan nasib) orang-orang yang fasiq itu.’ (26)” [Surah al-Ma’idah: 24–26]
Firman Allah SWT lagi:
وَإِذۡ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوۡمِهِۦ يَٰقَوۡمِ لِمَ تُؤۡذُونَنِي وَقَد تَّعۡلَمُونَ أَنِّي رَسُولُ ٱللَّهِ إِلَيۡكُمۡۖ فَلَمَّا زَاغُوٓاْ أَزَاغَ ٱللَّهُ قُلُوبَهُمۡۚ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡفَٰسِقِينَ ٥
“Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya, ‘Wahai kaumku, mengapa kamu menyakitiku, sedangkan kamu mengetahui bahawa sesungguhnya, aku ialah utusan Allah kepadamu?’ Maka, tatkala mereka berpaling (daripada kebenaran), Allah memalingkan hati mereka; dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang fasiq.” [Surah al-Saff: 5]
Allah tidak memberikan hidayah kepada kaum Yahudi seperti yang dilakukan terhadap Iblis kerana kesombongannya. Maka, kaum Yahudi menjadi makhluk perosak yang bergabung dengan bala tentera Iblis dan syaitan melakukan kejahatan di muka bumi.
Mereka bergabung pula dengan kumpulan yang zalim, mengulangi penubuhan bala tentera Ahzab yang dilakukan oleh Yahudi Madinah bagi menentang Rasulullah SAW.
Sekarang, mereka mengaku berhak memerintah Palestin atas nama bangsa terbaik daripada kalangan zuriat Ibrahim AS, di samping memeteraikan Perjanjian Abraham (Abraham Accords) yang dirancang oleh Trump dan Amerika Syarikat bersama negara Arab dan Islam yang melakukan normalisasi.
Kaum Yahudi ditolak oleh Allah daripada doa Nabi Ibrahim AS sebagaimana firman Allah SWT:
۞وَإِذِ ٱبۡتَلَىٰٓ إِبۡرَٰهِـۧمَ رَبُّهُۥ بِكَلِمَٰتٖ فَأَتَمَّهُنَّۖ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامٗاۖ قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِيۖ قَالَ لَا يَنَالُ عَهۡدِي ٱلظَّـٰلِمِينَ ١٢٤
“Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman, ‘Sesungguhnya, Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia.’ Ibrahim berkata, ‘(Dan aku mohon juga) daripada keturunanku.’ Allah berfirman, ‘Janji-Ku (ini) tidak mengenai orang yang zalim.’ [Surah al-Baqarah: 124]
Sekarang, kaum Yahudi Zionis disaksikan oleh umat manusia di seluruh dunia melakukan kezaliman yang paling ganas dan kejam dalam sejarah manusia. Mereka membunuh kanak-kanak, kaum wanita, warga tua, dan pesakit di hospital, di samping menyerang rumah ibadat dan khemah penempatan mangsa peperangan, termasuk membunuh petugas kemanusiaan daripada pertubuhan antarabangsa.
Israel disabitkan melakukan jenayah perang oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICC) dan Majlis Keselamatan PBB (UNSC), namun Amerika Syarikat dan sekutunya menggunakan kuasa veto membatalkan segala keputusan. Keadaan ini sehingga menggerakkan berbagai-bagai bangsa di seluruh dunia benci terhadap Israel, termasuk rakyat di negara yang menyokong Israel.
Sebaliknya, Hamas dan semua kumpulan yang berperang menentang Israel menunjukkan akhlak Islam supaya tidak melampau dalam peperangan mempertahankan agama, umat, dan tanah air, berdasarkan firman Allah SWT:
وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ ١٩٠
“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya, Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” [Surah al-Baqarah: 190]
Kumpulan Islam itu hanya menyerang sasaran tentera sahaja dan memberikan layanan kemanusiaan kepada tawanan perang Yahudi dan sekutunya, sehingga disaksikan oleh mereka yang dibebaskan.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 12 Rabi‘ al-Akhir 1447 / 4 Oktober 2025
[Bil: 70 / 2025]