PASRelief (PAS Humanitarian Affair & Relief Centre) Malaysia telah selamat tiba di Wilayah Aceh, Sumatera pada Khamis bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada mangsa-mangsa banjir yang terjejas di wilayah berkenaan.
Pengarah PASRelief Malaysia, Dr Suhazeli Abdullah berkata, delegasi kini berada di depot simpanan barangan bantuan yang dibiayai hasil sumbangan orang ramai untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Aceh.
Menurut beliau, bantuan yang disalurkan merangkumi keperluan asas harian termasuk pek makanan seperti beras, minyak masak dan barangan dapur lain, selain kit kebersihan, peralatan mencuci, selimut, tikar serta toto bagi kegunaan mangsa banjir yang kehilangan tempat tinggal.
“Alhamdulillah, hari ini kami telah melihat sendiri persiapan dan stok bantuan yang akan disampaikan kepada mangsa-mangsa banjir di Aceh. Bantuan ini diharap dapat meringankan beban mereka yang sedang diuji,” katanya.


Tambah beliau, misi kemanusiaan PASRelief kali ini turut disertai Setiausaha Agung PAS Pusat, YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Timbalan Pengerusi PASRelief YB Ustaz Mohd Yusni Mat Piah serta Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, YB Dr Riduan Mohd Nor.
Turut bersama dalam delegasi tersebut ialah Ustaz Irham Nori dan Ustaz Saifuddin yang mewakili PAS Kawasan Hulu Terengganu.
Dalam pada itu, Dr Suhazeli merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua penyumbang yang telah memberi kepercayaan kepada PasRelief untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di Aceh.


“Keprihatinan dan sumbangan para penderma amat kami hargai. Insya-Allah, amanah ini akan disampaikan sebaik mungkin kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya.
Beliau turut mendoakan agar semua mangsa banjir di Aceh terus diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian, sambil memaklumkan bahawa sumbangan masih diteruskan bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara berperingkat.
“Semoga usaha kecil ini menjadi tanda solidariti dan persaudaraan sesama umat Islam serta manusia sejagat,” katanya.




























