PAS Terengganu Minta Penjelasan Menteri Berkait Operasi APMM Di Masjid Rusila

216

KUALA TERENGGANU – PAS Terengganu meminta pihak kementerian khususnya Menteri berkenaan, tampil memberi penjelasan berhubung operasi yang dijalankan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia, APMM) di Masjid Rusila pada 19 September lalu.

Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Ustaz Mohd Harun Esa berkata, pihaknya tidak mengetahui tujuan sebenar operasi tersebut, namun yakin ia dijalankan berdasarkan arahan tertentu.

“Kita tidak salahkan pihak berkuasa yang melaksanakan tugas mengikut arahan. Mereka bekerja dan berkhidmat.

“Tetapi pihak yang memberi arahan perlu bertanggungjawab dan memberi penjelasan memandangkan operasi kali ini luar daripada kebiasaan serta dilakukan di lokasi Masjid Rusila yang bersebelahan dengan kediaman Tuan Guru Presiden PAS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tindakan tersebut boleh membuka ruang kepada pelbagai persepsi negatif terhadap kementerian yang terlibat dan menjejaskan imej agensi penguatkuasaan itu sendiri.

“Jangan jadikan pihak tertentu sebagai kambing hitam. Semoga Allah SWT memelihara para alim ulama dan negara kita daripada fitnah syaitan dan manusia,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Rusila, Mohd Azri Abdul Aziz menegaskan tidak pernah menerima sebarang permohonan atau pemakluman berhubung aktiviti APMM di kawasan masjid tersebut, selain memaklumkan telah membuat laporan polis selepas kejadian itu berlaku.

Menurut kenyataan itu, pihak masjid turut menghubungi Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mendapatkan pengesahan dan dimaklumkan bahawa tiada sebarang aktiviti agensi kerajaan dijalankan pada masa dan tarikh berkenaan.

“Pihak masjid sangat kecewa dengan sikap dan tindakan tidak profesional yang ditunjukkan oleh pihak Maritim Malaysia dalam menangani isu ini,” jelasnya.

Sementara itu, AJK Lajnah Penerangan PAS Terengganu, Ahmad Fahmi Mokhtar pula menyifatkan percanggahan kenyataan antara APMM dan pihak Masjid Rusila sesuatu yang amat membimbangkan rakyat.

“Saya risau bila mengikuti kenyataan-kenyataan berkenaan latihan APMM di Masjid Rusila.

“APMM kata telah dimaklumkan kepada pihak masjid dan pihak masjid minta maaf atas salah faham, tetapi masjid pula kata tidak menerima makluman dan selepas buat laporan polis baru APMM minta maaf,” katanya.

Jelasnya, kenyataan yang bercanggah itu menggambarkan seolah-olah APMM tidak telus dan gagal menjaga kredibiliti komunikasi rasmi kerajaan.

“Kalau agensi kerajaan pun mengeluarkan kenyataan bercanggah, kepada siapa rakyat nak letakkan kepercayaan? Kalau salah, minta maaf saja selesai.

” Tapi kalau benar ada unsur provokasi, maka letak jawatan,” tegasnya.

Justeru tegasnya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail perlu segera tampil menjelaskan perkara sebenar bagi mengelakkan salah faham dan persepsi negatif terhadap kerajaan.