Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Terengganu dengan penuh rasa dukacita mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadab rejim Zionis Israel yang telah menyerang, menghalang serta menahan para aktivis kemanusiaan termasuk rakyat Malaysia dalam Misi Global Sumud Flotila ke Gaza.
2. Peristiwa ini sekali lagi membuktikan bahawa Israel adalah sebuah rejim apartheid, zalim dan tidak berperikemanusiaan. Kapal flotila yang hanya membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej solidariti daripada rakyat dunia kepada saudara kita di Palestin telah dijadikan sasaran serangan ketenteraan.
3. Laporan turut menyebut bahawa kapal flotila diganggu dengan serangan dron, tembakan air dan akhirnya ditawan secara kasar oleh tentera laut Israel.
4. Tindakan kejam ini jelas mencabuli undang-undang antarabangsa, melanggar Konvensyen Geneva serta mengkhianati semangat kemanusiaan sejagat.
5. Lebih membimbangkan, antara mereka yang ditahan termasuklah rakyat Malaysia yang berhati mulia, sanggup mengorbankan masa, tenaga dan keselamatan demi menghulurkan bantuan kepada rakyat Gaza.
6. Dunia kini dapat menyaksikan sendiri kegilaan Israel. Mereka bukan sahaja membunuh rakyat Palestin saban hari, malah sanggup menyerang serta menahan aktivis dunia yang datang dengan tangan kosong membawa bantuan kemanusiaan.
7. PAS Terengganu menzahirkan solidariti penuh terhadap semua aktivis Malaysia yang kini berada dalam tahanan Israel, termasuk tokoh masyarakat, pendakwah, selebriti dan anak muda yang berjiwa besar. Mereka adalah wira kemanusiaan negara yang sepatutnya dihormati, bukan diperlakukan sebagai tahanan.
8. Sehubungan itu, PAS Terengganu mendesak kerajaan Malaysia bertindak segera. Wisma Putra dan kedutaan mesti menggerakkan segala saluran diplomatik termasuk OIC, PBB, Kesatuan Eropah dan ASEAN bagi menuntut pembebasan segera semua aktivis Malaysia.
9. Kami juga menyeru masyarakat antarabangsa agar tidak lagi berdiam diri. Jika kapal bantuan pun diserang, ini bermakna tiada lagi garis merah yang dihormati Israel.
10. Negara-negara kuasa besar mesti mengambil tindakan tegas dan konkrit, bukan sekadar mengeluarkan kenyataan kosong tanpa makna bagi rakyat Palestin.
DATO’ USTAZ HAJI HUSAIN AWANG,
PESURUHJAYA PAS TERENGGANU.
2 Oktober 2025/9 Rabiulakhir 1447H