KUALA TERENGGANU – PAS mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel yang menahan 12 rakyat Malaysia bersama aktivis antarabangsa lain ketika menyertai Misi Global Sumud Flotilla (GSF) menuju Gaza awal pagi tadi.
Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan tindakan rejim Zionis itu sebagai jelas melanggar prinsip hak asasi manusia, undang-undang antarabangsa serta menafikan hak rakyat Palestin untuk menerima bantuan kemanusiaan.
“Tindakan tidak berperikemanusiaan ini sekali lagi memperlihatkan sikap angkuh rejim Zionis terhadap undang-undang dunia,” kata beliau Yang Juga Menteri Besar Terengganu dalam kenyataan hari ini.
Antara aktivis Malaysia yang ditahan termasuklah dua anak jati Terengganu iaitu Nurfarahin Romli atau lebih dikenali sebagai Farah Lee, dan Ruysdi Ramli yang menyertai misi tersebut demi membela nasib rakyat Palestin.
Difahamkan, sekatan dan penahanan itu berlaku sekitar jam 2 pagi waktu Malaysia, manakala maklumat mengenai perkembangan terkini mula diterima sekitar jam 8 pagi.
Justeru Dr. Sam menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus berdoa demi keselamatan semua aktivis yang ditahan serta mengharapkan agar kapal-kapal lain yang masih dalam perjalanan dapat selamat tiba ke Gaza dan menyalurkan bantuan kepada rakyat yang sedang menderita.
“Solidariti kita bersama rakyat Palestin tidak akan pernah goyah.
“Doa, sokongan dan tekanan masyarakat dunia adalah kunci untuk memastikan misi kemanusiaan ini berjaya,” katanya.
Orang ramai turut disaran menuurut beliau, merujuk laman rasmi Global Sumud Flotilla melalui media sosial mereka bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung misi berkenaan.
Sebelum itu, menurut media antarabangsa beberapa kapal Global Sumud Flotilla (GSF) telah dihentikan di Laut Mediterranean ketika mereka menghampiri pantai Gaza, dan penumpang mereka dipindahkan ke pelabuhan Israel, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Israel pada malam Rabu.
Kementerian Luar Israel berkata dalam kenyataan bahawa Israel telah menawarkan dan terus menawarkan armada satu cara untuk menyampaikan apa-apa bantuan yang mungkin mereka ada ke Gaza “secara aman.”
“Flotilla itu menolak kerana mereka tidak berminat dengan bantuan, tetapi provokasi,” kata kenyataan itu.
Ia menambah bahawa tentera laut Israel telah menghubungi armada itu dan meminta mereka menukar haluan. “Israel telah memaklumkan kepada flotilla bahawa ia sedang menghampiri zon tempur aktif dan melanggar sekatan tentera laut yang sah,” kata kementerian itu.
Menurut GSF, inisiatif maritim antarabangsa itu terdiri daripada kira-kira 50 kapal awam dan lebih 500 sukarelawan dari lebih 40 negara, bertujuan untuk mencabar sekatan tentera laut Israel di Semenanjung Gaza dan menyampaikan bantuan makanan dan perubatan kepada rakyat Palestin di tengah-tengah konflik Israel-Hamas yang berterusan.
Flotilla itu berlayar dari pelabuhan pelbagai negara sejak Ogos, menumpu ke arah Gaza dengan matlamat membuka koridor kemanusiaan melalui laut. Semasa perjalanan, armada telah diserang berulang kali, termasuk serangan dron dan “serangan intimidasi.”
Terdahulu pada hari itu, GSF berkata bahawa dua kapalnya telah diganggu oleh kapal perang Israel semalaman, yang menyebabkan komunikasi mereka terganggu.
Beberapa negara, termasuk Itali dan Greece, telah menggesa pihak berkuasa Israel memastikan keselamatan peserta GSF yang menuju ke Gaza dan membenarkan langkah perlindungan konsular.
Israel mengenakan sekatan tentera laut ke atas Gaza pada 2007 selepas Hamas menguasai kawasan itu. Sekatan Israel telah diperketatkan lagi berikutan serangan rentas sempadan Hamas ke selatan Israel pada Oktober 2023.