PAS Anak ‘Kunci’ Politik Negara Pada PRU14

3567

Oleh : KAM

MARANG: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) perlu sekurang-kurangnya memenangi 40 kerusi Parlimen Malaysia dan akan menjadi anak ‘kunci’ bagi menentukan politik pemerintahan negara.

Namun, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata jika PAS berjaya memperolehi 60 hingga 80 kerusi parlimen adalah lebih baik.

“Sekurang-kurangnya, seluruh Malaysia PAS dapat 40 kerusi parlimen. Sekiranya PAS dapat 40 kerusi parlimen itu PAS akan menjadi anak ‘kunci’ kepada menentukan politik negara Malaysia.

“Tapi, jika dapat 60 kerusi atau 80 kerusi parlimen itu lebih baik lagi,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Penutup Himpunan 1K Anak Muda (H1KAM) PAS Kawasan Marang, di Dataran Pemuda Kampung Rhu Muda, Marang, 27 Januari lalu.

Katanya, jentera parti perlu sedar bahawa kuasa pengundi muda sangat penting kerana 40 peratus adalah pengundi baharu.

Menurutnya, PAS bukan sahaja perlu mengekalkan kemenangan parti yang sedia ada tetapi menambahkan kemenangan tersebut.

“Kita kena sedar 40 peratus pengundi baharu adalah orang-orang muda di saluran lima, enam dan tujuh. Saluran satu ‘berkarat’ biru. Bagaimana pun kita kena usahakan supaya mereka dapat membuat perubahan.

“Sekiranya 40 peratus undi orang muda menyokong kita (PAS), kita kena pertahan Marang, Dungun, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu yang telah kita (PAS) menang.

“PAS kena ambil balik Kuala Terengganu kerana yang ada (wakil rakyat) itu tercabut ‘nyacang’ (tiang) dan kita kena pacak semula di Kuala Terengganu.

“Pertahankan empat kerusi (parlimen) dan tambah lagi empat kerusi parlimen (Terengganu). Sekurang-kurangnya, seluruh Malaysia PAS dapat 40 kerusi parlimen,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Justeru itu, kata Dato Seri Abdul Hadi berilah keyakinan dan sokongan kepada PAS agar parti itu menjadi lebih kuat bagi menentukan politik negara.

“Kita tak mahu ‘mati’ Umno…biar dia hidup lagi. Tapi, jangan dia kuat sangat, jangan dia gagah sangat. Beri PAS ini kuat dan PAS menjadi anak kunci untuk menentukan politik negara. Ini sangat penting untuk perkara yang akan datang,” jelasnya di hadapan lebih 1,000 anak muda.