Pakistan Haramkan TLP Kali Kedua Selepas Demo Pro Palestin

31
Demonstrasi pro Palestin TLP bertukar ganas apabila bertembung dengan polis Pakistan

Pakistan pada Khamis mengharamkan parti Islamis Tehreek-e-Labbaik Pakistan (TLP) untuk kali kedua dalam tempoh empat tahun, seminggu selepas demo pro Palestin bertukar menjadi pppertempuran ganas antara ahlinya dan polis yang mengorbankan lima orang.

Kerajaan dalam satu kenyataan berkata, kabinet sebulat suara meluluskan pengharaman itu, dan menambah TLP terlibat dalam aktiviti pengganas dan ganas.

Langkah pengharaman itu dimulakan oleh kerajaan wilayah Punjab, wilayah paling ramai penduduk di Pakistan.

Dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri, Maryam Nawaz Sharif, pegawai meluluskan keputusan yang disifatkan sebagai bersejarah dan luar biasa terhadap sebuah parti pelampau.

Pengumuman itu dibuat empat hari selepas operasi besar-besaran sebelum subuh oleh agensi penguatkuasaan undang-undang pada hari Isnin untuk membongkar kem protes TLP di Muridke, 60kilometer dari ibu wilayah, Lahore.

Pihak berkuasa mengesahkan telah menahan lebih 2,700 orang, manakala 2,800 lagi diletakkan dalam senarai kawalan keluar.

Kepimpinan parti itu juga akan diletakkan di bawah Jadual Keempat Akta Anti-Keganasan Pakistan, iaitu senarai individu yang disyaki terlibat dalam keganasan.

Pertempuran itu tercetus apabila TLP memulakan perarakan protes anti-Israel, yang digelar “Perarakan Al-Aqsa Gaza” dari Lahore menuju ke Islamabad untuk membantah di luar kedutaan Amerika Syarikat.

Protes itu adalah untuk membantah pelan damai Gaza 20 perkara yang diumumkan oleh Presiden AS, Donald Trump pada 29 September.

Pelan itu, yang telah disahkan oleh beberapa negara termasuk Pakistan pada 13 Oktober, bertujuan menamatkan perang dengan serta-merta, pemulangan semua tawanan Hamas, dan Gaza ditadbir sementara oleh kerajaan teknokratik Palestin tanpa peranan untuk Hamas.

Bagaimanapun, TLP menolak perjanjian itu, menyifatkannya sebagai “konspirasi untuk menundukkan rakyat Palestin”.

Ini kerana pelan itu tidak secara jelas menjanjikan sebuah negara Palestin, yang telah lama menjadi tuntutan utama dasar Pakistan di Timur Tengah.

Sementara itu, ketua TLP, Saad Hussain Rizvi, dalam ucapannya kepada ribuan penyokong, menggesa mereka untuk merempuh semua halangan yang diletakkan oleh pihak berkuasa.

“Reaksi dan sejarah TLP dalam satu kenyataan balas menolak pengharaman itu, menyifatkannya sebagai tidak mengikut perlembagaan, bersifat dendam, haram dan diktator,”.

“Ini adalah kali kedua parti itu diharamkan. Kali pertama adalah pada 2021 di bawah kerajaan Perdana Menteri Imran Khan berikutan protes ganas, namun perintah itu ditarik balik enam bulan kemudian,” jelasnya.

Tambahnya, TLP, yang memasuki arena politik pada 2016, menjadi parti keempat terbesar di Pakistan selepas pilihan raya 2018.

Parti itu terkenal kerana sering mengadakan protes besar-besaran berkaitan isu sensitif di negara itu, dan telah dituduh melakukan serangan terhadap minoriti agama, khususnya Kristian dan Ahmadi. – Sumber Al Jazeera