‘Pad’ Tapak Kaki…..

3338

Oleh : Dr Suhazeli Abdullah

“Ramai anggota kesihatan pun guna doktor.” Hujah seorang pesakit kencing manis sesi pagi tadi sambil keluarkan produk seperti uncang teh sebesar coolfever pad.

“Urmmm, kat mana kak beli ni?” Soalku ringkas cuba mengorek rahsia produk ni.

“Banyak kedai yang jual ni doktor. Anak saya kata dalam Lazada pun ada jual. Memang tersohor produk ni. Saya pakai memang berkesan. Pakai malam, esok pagi saya yakin ianya bertukar hitam. Saya dah try dah. Depa kata itu tanda toksin badan saya sudah dikeluarkan. Kencing manis dan darah tinggi akan semakin baik.” Ulasnya panjang lebar. Saya jeling buku hijau, bacaan gula tiap kali follow up, merah memanjang je. Terkejut doktor! Sebab anggota kesihatan pun pakai juga. Saya harap mereka bukan dealer produk.

Setiap produk yang menyerupai alat perubatan yang menuntut menyembuhkan tertakluk kepada Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737). Akta ini hampir sama di seluruh dunia yang mengawalselia produk-produk yang membuat dakwaan perubatan.

Bacaan saya berkaitan isu pad kaki nyahtoksin ini mendapati bahawa produk berkenaan lebih kepada scam kesihatan. Mereka mempengaruhi masyarakat yang buta ilmu kimia serta kesihatan. Tapi saya sedih juga sebab terdapat anggota kesihatan sendiri yang terpengaruh. Bagaimana bapa nak nasihatkan anak supaya jangan kencing berlari, sedangkan sibapa kencing berdiri?

Tahun 2008 Pihak Berkuasa Makanan dan Ubatan (FDA) telah menarik balik penjualan produk ini. Kajian mereka mendapati tiada kesan positif secara klinikal pad kaki berkenaan menyahbuang logam berat seperti plumbum dan arsenik. Pad berkenaan bertukar menjadi hitam akibat dari tindakbalas oksida bahan yang terdapat didalamnya seperti ramuan herba, cuka dan silika mineral tourmaline. Mereka juga mendapati logam berat seperti plumbum dan sebagainya sudah tersedia-kekal dalam pad tersebut.

‘Detox’ atau nyahtoksin dalam badan manusia bukannya melalui kulit. Sistem hati manusia yang unik, ditugaskan secara berperingkat untuk memproses dan mengumuhkan toksin. Akhirnya toksin dibuang melalui buah pingang. Kulit manusia hanya berfungsi sebagai benteng menghalang kuman masuk serta mengeluarkan peluh bagi keseimbangan badan. Tidak lebih dari itu.

Dakwaan produk yang menyatakan pad ajaib itu boleh meningkatkan sistem imun, mengurangkan stres, mengurangkan pening kepala, mengurangkan sakit sendi adalah tidak benar. Amat tersasar jauh jika produk berkenaan boleh mengubati kencing manis, darah tinggi dan penyakit-penyakit kronik yang lain.

“Kak, boleh beritahu tak nama anggota kesihatan yang jadi dealer jual produk pad kaki ni?” Tanya saya menduga.