Dalam suasana politik yang semakin mencabar dan keperluan rakyat yang kian mendesak, DUN Merotai memerlukan seorang wakil yang bukan sahaja memahami denyut nadi masyarakat, tetapi juga mampu membawa suara rakyat ke peringkat pembuat dasar.
Berdasarkan latar belakang, pengalaman dan komitmen yang ditonjolkan, Hasan Haris muncul sebagai calon yang mempunyai keupayaan jelas untuk menggalas amanah tersebut.
Hasan Haris bukan sekadar bertanding di Merotai tetapi beliau membesar di sini, mengenali masyarakatnya dan memahami realiti kehidupan setempat. Faktor ini memberi kelebihan besar kerana setiap cadangan dan keputusan beliau lahir daripada pengalaman sebenar sebagai anak kampung Merotai sendiri.
Latar belakang beliau dalam sektor perbankan dan kewangan melalui penglibatan di Bank Islam dan Bank Muamalat memberikan kelebihan dari sudut pengurusan ekonomi dan perancangan pembangunan. Lebih penting, beliau memiliki kelayakan sebagai Certified Financial Planner (CFP), suatu kelebihan jarang dimiliki ramai calon politik. Keupayaan teknikal ini memberi keyakinan bahawa beliau memahami selok-belok ekonomi rakyat dan pembangunan kawasan.
Hasan Haris menegaskan bahawa jika diberi amanah, kebajikan rakyat akan menjadi fokus utama. Komitmen ini bukan retorik kerana beliau sendiri aktif dalam Jabatan Amal Malaysia Sabah (Unit Amal), sebuah badan sukarelawan yang banyak membantu masyarakat ketika bencana dan program kemasyarakatan. Ini menggambarkan asas nilai diri beliau bekerja ikhlas, membantu tanpa syarat, dan dekat dengan denyut isi masyarakat.
Masalah infrastruktur di Merotai bukan isu baharu, banjir berulang, aliran sungai yang tidak terurus, serta jalan Merotai – Kalabakan yang telah lama dikeluhkan pengguna. Hasan Haris antara calon yang lantang menegaskan perlunya kerajaan negeri memasukkan projek menaik taraf jalan ini dalam peruntukan tambahan. Beliau turut membawa cadangan teknikal seperti meluruskan aliran sungai bagi mengurangkan risiko banjir. Pendekatan ini menunjukkan beliau memahami isu di peringkat akar dan mempunyai hala tuju penyelesaian yang jelas.
Sebagai calon Perikatan Nasional (PN), Hasan Haris menekankan nilai agama sebagai asas kepimpinan iaitu kejujuran, amanah dan ketelusan. Di tengah keresahan rakyat terhadap isu salah guna kuasa serta ketirisan, penegasan terhadap integriti ini amat penting. Kepimpinan berasaskan spiritual dan moral memberi isyarat bahawa beliau mahu membawa budaya politik bersih di DUN Merotai.
Beliau bukan calon yang hanya muncul ketika pilihan raya. Hasan Haris dikenali mesra masyarakat, daripada petani, peniaga kecil, belia sehinggalah warga emas. Rapatnya hubungan beliau dengan pelbagai lapisan masyarakat meyakinkan rakyat bahawa suara mereka akan sentiasa menjadi keutamaan.
Dilahirkan pada September 1977, Hasan Haris kini berusia 48 tahun, satu usia matang dengan gabungan tenaga, idea segar dan pengalaman profesional. Beliau membawa perspektif belia matang yang mampu memahami cabaran semasa sambil mengemudi perubahan yang diperlukan.
Jika warga Merotai mahukan perubahan yang praktikal, bersih dan berfokus kepada kesejahteraan rakyat, maka Hasan Haris adalah pilihan yang wajar pada 29 November nanti.






























