Mengapa Islam Wajib Memimpin

156

Makna Islam daripada perkataan al-din dalam bahasa al-Quran terkandung maksud yang sempurna dan lengkap tentang kejadian alam ciptaan Allah, termasuk makhluk manusia. Firman Allah SWT:

أَفَغَيۡرَ دِينِ ٱللَّهِ يَبۡغُونَ وَلَهُۥٓ أَسۡلَمَ مَن فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ طَوۡعٗا وَكَرۡهٗا وَإِلَيۡهِ يُرۡجَعُونَ ٨٣

“Maka, apakah mereka mencari agama yang lain daripada agama Allah (Islam), padahal kepada-Nya sahaja menyerahkan diri (Islam) segala yang ada di langit dan di bumi, baik secara sukarela mahupun terpaksa mengikut fitrah, dan hanya kepada Allah jua mereka dikembalikan.” [Surah Ali ‘Imran: 83]

Islam bermaksud menyerah diri kepada ketetapan Allah dengan penuh ketaatan, sama ada mengikut pilihan sendiri bagi makhluk yang berakal, atau terpaksa disebabkan fitrah (naluri) dan sifat tabii yang ada padanya. Hal ini menjadi ketetapan Allah kepada setiap makhluk yang tidak diberi pilihan dan makhluk yang tidak berakal.

Maka, Islam berbeza daripada maksud perkataan agama dan ideologi dalam semua bahasa lain yang memisahkan antara pelbagai aspek kejadian makhluk. Hal ini menyebabkan manusia bebas melakukan apa sahaja dalam amalan mereka kerana tidak mengandungi ciri penyerahan diri kepada Allah Pencipta Alam.

Adapun makhluk manusia mempunyai ciri-ciri yang menjadi fitrahnya yang tersendiri, seperti mempunyai jasad, roh, akal, nafsu, kedirian, berkeluarga dan bermasyarakat.

Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفۡسٖ وَٰحِدَةٖ وَخَلَقَ مِنۡهَا زَوۡجَهَا وَبَثَّ مِنۡهُمَا رِجَالٗا كَثِيرٗا وَنِسَآءٗۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِي تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيۡكُمۡ رَقِيبٗا ١

“Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu daripada seorang diri, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada kedua-duanya Allah membiakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan (menggunakan) nama-Nya kamu saling meminta antara satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya, Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” [Surah al-Nisa’: 1]

Bermula daripada penciptaan Adam dan Hawwa’ (seorang bapa dan seorang ibu), hidup berkeluarga, kemudian membiak dengan jumlah yang besar sehingga menjadi masyarakat.

Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya, Kami telah menciptakan kamu daripada kalangan lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu saling berkenal-kenalan (bermasyarakat). Sesungguhnya, semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan kamu).” [Surah al-Hujurat: 13]

Hari ini, pelbagai bangsa dan suku kaum telah tersebar di seluruh pelosok dunia. Namun begitu, mereka wajib berhubung sesama mereka dan tidak boleh berpisah dalam urusan kehidupan bermasyarakat dan berkeluarga.

Sesungguhnya, Allah SWT telah menciptakan manusia itu sebagai makhluk yang berakal, berbeza dengan binatang. Firman Allah SWT:

وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِۖ لَهُمۡ قُلُوبٞ لَّا يَفۡقَهُونَ بِهَا وَلَهُمۡ أَعۡيُنٞ لَّا يُبۡصِرُونَ بِهَا وَلَهُمۡ ءَاذَانٞ لَّا يَسۡمَعُونَ بِهَآۚ أُوْلَـٰٓئِكَ كَٱلۡأَنۡعَٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّۚ أُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡغَٰفِلُونَ ١٧٩

“Dan sesungguhnya, Kami jadikan untuk (isi Neraka Jahanam) kebanyakan daripada kalangan jin dan manusia. Mereka mempunyai hati, (tetapi) mereka tidak mempergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah). Mereka mempunyai mata, (tetapi) mereka tidak mempergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah). Dan mereka mempunyai telinga, (tetapi) mereka tidak mempergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” [Surah al-A‘raf: 179]

Manusia dikurniakan akal dan pancaindera seperti penglihatan, pendengaran dan perasaan. Segala kurniaan ini mewajibkan mereka berakal dan bernafsu yang dikawal oleh akal yang boleh berfikir, berbeza dengan binatang yang tidak berakal tetapi hanya bernafsu sahaja.

Firman Allah SWT:

أَفَلَمۡ يَسِيرُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَتَكُونَ لَهُمۡ قُلُوبٞ يَعۡقِلُونَ بِهَآ أَوۡ ءَاذَانٞ يَسۡمَعُونَ بِهَاۖ فَإِنَّهَا لَا تَعۡمَى ٱلۡأَبۡصَٰرُ وَلَٰكِن تَعۡمَى ٱلۡقُلُوبُ ٱلَّتِي فِي ٱلصُّدُورِ ٤٦

“Maka, adakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami (dengan akal) atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya, bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang dalam dada (buta akal).” [Surah al-Hajj: 46]

Perbezaan antara makhluk manusia dan jin dengan binatang ialah adanya akal yang boleh berfikir setelah melihat dan mendengar sesuatu. Adapun makhluk jin bersifat ghaib walaupun berakal, menyebabkannya sukar berhubung dengan makhluk yang lain. Selain itu, jin juga pernah bertugas sebelum manusia dan terbukti mempunyai banyak kelemahan yang merosakkan.

Berdasarkan ciri-ciri tersebut, maka Allah SWT menetapkan kepada manusia tiga perkara yang diwajibkan; iaitu beribadat (memperhambakan diri kepada Allah), berkhilafah (politik mentadbir urusan dunia), dan beramanah dengan berlaku adil kepada semua berpandukan hukum Allah SWT.

Firman Allah SWT:

وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ ٥٦

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku.” [Surah al-Zariyat: 56]

Firman Allah SWT lagi:

وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَـٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ ٣٠

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, ‘Sesungguhnya, Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’ Mereka berkata, ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?’ Tuhan berfirman, ‘Sesungguhnya, Aku mengetahui apa-apa yang tidak kamu ketahui.’” [Surah al-Baqarah: 30]

Ayat ini menerangkan tentang para malaikat yang mulia kejadiannya, paling taat kepada Allah SWT dan tidak sekali-kali derhaka terhadap-Nya. Akan tetapi, mereka berada di alam ghaib dan tidak ada nafsu keinginan untuk melaksanakan tugas memakmurkan bumi.

Disebabkan itulah, manusia diberi amanah supaya berlaku adil kepada semua setelah diberi akal dan ilmu dunia serta akhirat. Amanah ini wajib ditunaikan, sebagaimana firman Allah SWT:

۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” [Surah al-Nisa’: 58]

Ketetapan perintah wajib ini tidak dapat dipenuhi oleh semua agama dan ideologi yang lain daripada Islam. Hal ini demikian kerana, semua agama dan ideologi itu tidak memenuhi ciri-ciri tersebut atau memisahkan beberapa ciri-ciri tersebut daripada urusan agama.

Maka, berlakulah kelemahan yang merosakkan urusan dunia yang dapat disaksikan hari ini. Firman Allah SWT:

ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ ٤١

“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” [Surah al-Rum: 41]

Firman Allah SWT lagi:

أَفَمَن يَمۡشِي مُكِبًّا عَلَىٰ وَجۡهِهِۦٓ أَهۡدَىٰٓ أَمَّن يَمۡشِي سَوِيًّا عَلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٖ ٢٢

“Maka, apakah orang yang berjalan (melalui jalan yang tidak betul dan menyebabkannya selalu jatuh) tersungkur di atas mukanya itu; boleh mendapat hidayah ataupun orang yang berjalan tegak melalui jalan yang lurus?” [Surah al-Mulk: 22]

Manusia telah mengubah kejadian fitrah mereka sehingga menyebabkan kesusahan dan kerosakan, laksana memalingkan sifat perjalanan manusia. Contohnya, kaki yang diciptakan sebagai alat untuk berjalan dan berpijak di bumi dengan imbangan yang betul, tiba-tiba dipusingkan ke atas dan kepala di bawah. Keadaan ini menyukarkan pergerakan, menyebabkan tersungkur dan boleh mencederakan.

Hari ini, kita dapat menyaksikan kegagalan agama dan ideologi dalam memimpin dan mentadbir, menjadikan manusia seperti malaikat, binatang atau alat jentera yang tidak boleh bergerak sendiri. Semua ini menjadi sebab kegagalan serta membawa kerosakan kepada diri manusia dan alam sekitarnya.

Dunia sedang menyaksikan kekosongan rumah ibadat kerana ramai yang meninggalkan agama, berlakunya keruntuhan politik negara dan merudumnya ekonomi. Hal ini demikian kerana, urusan dunia dipisahkan daripada agama sehingga menjadikan akal tidak boleh mengawal nafsu keinginan. Seterusnya, melampaui sempadan hidup bermasyarakat dan gagal menjaga diri sendiri daripada terjerumus.

Di samping itu, kita juga dapat menyaksikan keruntuhan institusi keluarga dan masyarakat yang berjiran. Keadaan ini menyebabkan banyak ibu bapa yang terbiar dan jiran yang tidak dipedulikan, sehingga anjing dan kucing yang menjadi binatang peliharaan pula yang menjadi penjaga rumah dan keluarga.

Anak-anak pula hidup terbiar walaupun berilmu dan berakal, kerana tidak ada tarbiah (pendidikannya). Maka, cerdiknya tidak menolong dan bodohnya lebih merosakkan apabila nafsu kebinatangan mengawal manusia.

Kalangan yang berilmu mencipta senjata pemusnah kerana mahu berkuasa mengikut nafsu kebinatangan. Adapun kalangan yang bodoh pula dipergunakan oleh yang berilmu dan berakal tetapi tanpa agama, sehingga melampau dan melanggar sempadan kejadian alam, termasuk manusia sendiri. Inilah punca musnahnya kehidupan dunia berlaku apabila tujuan kejadian manusia dan amanah yang wajib ditunaikan tidak dilaksanakan.

Allah memberi iktibar kemusnahan umat terdahulu yang tinggi tamadun kebendaannya sehingga membakar diri sendiri. Firman Allah SWT:

أَلَمۡ تَرَ كَيۡفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ ٦ إِرَمَ ذَاتِ ٱلۡعِمَادِ ٧ ٱلَّتِي لَمۡ يُخۡلَقۡ مِثۡلُهَا فِي ٱلۡبِلَٰدِ ٨ وَثَمُودَ ٱلَّذِينَ جَابُواْ ٱلصَّخۡرَ بِٱلۡوَادِ ٩ وَفِرۡعَوۡنَ ذِي ٱلۡأَوۡتَادِ ١٠ ٱلَّذِينَ طَغَوۡاْ فِي ٱلۡبِلَٰدِ ١١ فَأَكۡثَرُواْ فِيهَا ٱلۡفَسَادَ ١٢ فَصَبَّ عَلَيۡهِمۡ رَبُّكَ سَوۡطَ عَذَابٍ ١٣ إِنَّ رَبَّكَ لَبِٱلۡمِرۡصَادِ ١٤

“Adakah kamu tidak memerhatikan bagaimana Tuhanmu berbuat terhadap kaum ‘Ad? (6) (Iaitu) penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi. (7) Yang belum pernah dibangunkan (suatu kota) seperti itu, di negeri-negeri lain. (8) Dan kaum Thamud yang memotong batu-batu besar di lembah. (9) Dan kaum Firaun yang mempunyai pasak-pasak (tentera yang banyak). (10) Yang berbuat sewenang-wenang dalam negeri. (11) Lalu mereka berbuat banyak kerosakan di dalam negeri itu. (12) Oleh sebab itu, Tuhanmu menimpakan kepada mereka cemeti azab. (13) Sesungguhnya, Tuhanmu benar-benar mengawasi. (14)” [Surah al-Fajr: 6–14]

Kemusnahan berlaku disebabkan ajaran agama dan ideologi lain yang tidak sempurna. Ia tidak memenuhi keperluan hidup manusia mengikut fitrahnya (naluri) dan tidak berwawasan dunia dan akhirat, sebaliknya hanya berwawasan dunia sahaja selain memisahkan fitrah manusia.

Adapun Islam menegaskan hubungan yang tidak terputus dan berwawasan dunia serta akhirat yang dihisab segala amalannya. Firman Allah SWT:

ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٤١

“(Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma‘ruf, dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar; dan kepada Allahlah kembali segala urusan. (41)” [Surah al-Hajj: 41]

Hubungan yang tidak terputus dalam amalan pemimpin yang memerintah negara ialah hubungannya dengan Allah (solat), hubungannya dengan manusia (zakat dan berkebajikan), dan kuasa memerintah dalam negara yang berdaulat (amar ma‘ruf dan nahi munkar). Semuanya akan menerima akibat pada Hari Akhirat dengan dihisab segala amalannya.

Semua perkara ini tidak wujud dalam pemerintahan bukan Islam yang memisahkan urusan dunia dan akhirat, serta tidak meletakkan sempadan halal dan haram dalam urusan pemerintahan negara. Keadaan ini menyebabkan berlakunya kezaliman dan pelbagai salah laku yang merosakkan negara, kehidupan manusia dan alam sekitarnya.

Keadaan ini berpunca daripada ajaran yang tidak sempurna dan pemimpin yang tidak dikawal oleh sempadan agama, bahkan menafikan adanya balasan pada Hari Akhirat mengikut perhitungan dosa dan pahala yang dihisab.

Allah SWT bertanya melalui firman-Nya:

أَفَحَسِبۡتُمۡ أَنَّمَا خَلَقۡنَٰكُمۡ عَبَثٗا وَأَنَّكُمۡ إِلَيۡنَا لَا تُرۡجَعُونَ ١١٥ فَتَعَٰلَى ٱللَّهُ ٱلۡمَلِكُ ٱلۡحَقُّۖ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ رَبُّ ٱلۡعَرۡشِ ٱلۡكَرِيمِ ١١٦ وَمَن يَدۡعُ مَعَ ٱللَّهِ إِلَٰهًا ءَاخَرَ لَا بُرۡهَٰنَ لَهُۥ بِهِۦ فَإِنَّمَا حِسَابُهُۥ عِندَ رَبِّهِۦٓۚ إِنَّهُۥ لَا يُفۡلِحُ ٱلۡكَٰفِرُونَ ١١٧

“Maka, adakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (sahaja), dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami? (115) Maka, Maha Tinggi Allah, Raja Yang Sebenarnya; tidak ada Tuhan selain Dia, Tuhan (Yang mempunyai) ‘Arasy yang mulia. (116) Dan sesiapa menyembah tuhan yang lain di samping Allah, padahal tidak ada suatu dalil pun baginya tentang itu, maka sesungguhnya perhitungannya di sisi Tuhannya. Sesungguhnya, orang-orang yang kafir itu tiada beruntung. (117)” [Surah al-Mu’minun: 115-117]

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 30 Jumada al-Ula 1447 / 21 November 2025

[Bil: 79 / 2025]