Allah mewajibkan tiga perkara terbesar dan terpenting daripada Islam sebagai petunjuk-Nya kepada manusia yang diletakkan di alam dunia; tugas yang akan dihisab pada Hari Kiamat nanti:
Pertama: Beribadat.
Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱعۡبُدُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُمۡ وَٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ٢١
“Wahai manusia, sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertaqwa!” [Surah al-Baqarah: 21]
Yakni melakukan amal ibadat jasad, roh, dan harta serta tunduk dan patuh kepada semua ketetapan Allah dalam semua ajaran Islam yang sempurna.
Kedua: Melaksanakan amanah hukum Allah sebagai hukum yang adil kepada manusia.
Firman Allah SWT:
۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨
“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” [Surah al-Nisa’: 58]
Ketiga: Kewajipan khilafah (politik) untuk mentadbir urusan dunia.
Firman Allah SWT:
وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَـٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ ٣٠
“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, ‘Sesungguhnya, Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’ Mereka berkata, ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?’ Tuhan berfirman, ‘Sesungguhnya, Aku mengetahui apa-apa yang tidak kamu ketahui.’” [Surah al-Baqarah: 30]
Khilafah ialah kewajipan mentadbir dan memerintah yang dinamakan siasah (politik).
Allah mewajibkan semuanya dilaksanakan dengan sempurna. Kalau memilih jalan yang terpilih sahaja dan tidak sempurna, maka akan dihukum sebagai langkah-langkah syaitan yang sesat dan merosakkan, seterusnya membawa akibat yang buruk di dunia dan akhirat. Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِي ٱلسِّلۡمِ كَآفَّةٗ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ ٢٠٨ فَإِن زَلَلۡتُم مِّنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡكُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ فَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ ٢٠٩ هَلۡ يَنظُرُونَ إِلَّآ أَن يَأۡتِيَهُمُ ٱللَّهُ فِي ظُلَلٖ مِّنَ ٱلۡغَمَامِ وَٱلۡمَلَـٰٓئِكَةُ وَقُضِيَ ٱلۡأَمۡرُۚ وَإِلَى ٱللَّهِ تُرۡجَعُ ٱلۡأُمُورُ ٢١٠
“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan! Sesungguhnya, syaitan itu musuh yang nyata bagimu. (208) Akan tetapi, jika kamu menyimpang (dari jalan Allah) sesudah datang kepadamu bukti-bukti kebenaran, maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (209) Tiada yang mereka nanti-nantikan melainkan datangnya Allah dan malaikat (pada Hari Kiamat) dalam naungan awan, dan diputuskanlah perkaranya. Dan hanya kepada Allah dikembalikan segala urusan. (210)” [Surah al-Baqarah: 208–210]
Rasulullah SAW telah memberikan amaran berlakunya manusia yang merombak atau merungkai ketetapan Allah yang diwajibkan bersama ikatan janji yang kukuh dengan sabdanya:
لَتُنْقَضَنَّ عُرَى الْإِسْلَامِ عُرْوَةً عُرْوَةً، فَكُلَّمَا انْتَقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّثَ النَّاسُ بِالَّتِي تَلِيهَا، وَأَوَّلُهُنَّ نَقْضًا الْحُكْمُ وَآخِرُهُنَّ الصَّلَاةُ.
“(Nanti tiba masanya) simpulan ajaran Islam yang diikat dengan kuat dan teguh dirungkaikan satu per satu. Setiap kali satu ikatan dirungkai, menjadikan manusia berselerak (dalam kesesatan). Simpulan pertama yang dirungkai ialah pelaksanaan hukum dan kuasa politik yang meninggalkan hukum Allah, manakala simpulan yang terakhir ialah solat.” [Hadis riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Ansar, no. 22160, daripada Abu Umamah al-Bahili]
Islam dalam sejarah keemasannya adalah paling berjaya memandu negara masyarakat majmuk berbagai-bagai bangsa, agama, dan budaya dalam sejarah dunia yang paling luas wilayahnya, sehingga mencecah tiga benua besar, iaitu Asia, Afrika Utara, serta Eropah Selatan dan Eropah Timur. Tamadun Islam juga adalah paling panjang masanya sehingga mencecah 13 abad.
Berakhirnya Tamadun Islam adalah kerana bangsa yang menganut Islam meninggalkan politik, diikuti oleh meninggalkan hukum Islam dalam pentadbiran negara. Hal ini menyebabkan mereka dihukum oleh Allah dengan dijajah dan dihina oleh kaum yang lain.
Islam ialah agama yang tertinggi dan paling mulia yang wajib mengatasi segala agama dan ajaran yang lain mengikut perintah Allah. Firman Allah SWT:
هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ ٩ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ هَلۡ أَدُلُّكُمۡ عَلَىٰ تِجَٰرَةٖ تُنجِيكُم مِّنۡ عَذَابٍ أَلِيمٖ ١٠ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُجَٰهِدُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمۡوَٰلِكُمۡ وَأَنفُسِكُمۡۚ ذَٰلِكُمۡ خَيۡرٞ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ ١١ يَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡ وَيُدۡخِلۡكُمۡ جَنَّـٰٰتٖ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ وَمَسَٰكِنَ طَيِّبَةٗ فِي جَنَّـٰتِ عَدۡنٖۚ ذَٰلِكَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيمُ ١٢ وَأُخۡرَىٰ تُحِبُّونَهَاۖ نَصۡرٞ مِّنَ ٱللَّهِ وَفَتۡحٞ قَرِيبٞۗ وَبَشِّرِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ١٣
“Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar, agar Dia memenangkannya atas segala agama, meskipun orang-orang Musyrik membenci. (9) Wahai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu daripada azab yang pedih? (10) (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui. (11) Nescaya Allah akan mengampunkan dosa-dosamu dan memasukkanmu ke dalam Jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam Jannah ‘Adn. Itulah keberuntungan yang besar. (12) Dan (ada lagi) kurnia lain yang kamu sukai, (iaitu) pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman. (13)” [Surah al-Saff: 9–13]
Islam wajib ditinggikan supaya berkuasa politik memerintah negara, sehingga diwajibkan berjihad dengan harta dan jiwa raga mengikut Sirah Nabawiyyah (perjalanan Rasulullah SAW). Jihad ialah kesungguhan menghadapi segala kesukaran dan pengorbanan segala ni‘mat kurniaan Allah yang bersifat harta dan diri.
Kesungguhan jihad yang mendahulukan perdamaian lebih diutamakan kerana Islam bertujuan menyelamatkan manusia seberapa ramai yang mampu tanpa paksaan, supaya menganut Islam dengan ikhlas dan reda memberikan kepercayaan kepada Islam untuk memerintah negara dengan adil dan aman kepada semua. Di samping itu, menghadapi segala halangan dan tentangan secara aman serta sedia berperang secara tidak melampau kalau dihalang dengan kekerasan.
Islam ialah penyelamat manusia, bukan menjajah dan merampas atau memperhambakan manusia. Islam juga wajib berlaku adil, walaupun ketika berperang. Pendekatan Islam adalah berbeza dengan imperialisme dan kolonialisme yang bertujuan menakluk, merampas, dan memperhambakan manusia.
Allah memberikan amaran yang keras kepada bangsa Arab yang pertama menerima Islam dan berjaya memenangkannya sehingga memerintah negara besar, apabila mereka meninggalkan kewajipan berjihad. Firman Allah SWT:
إِلَّا تَنفِرُواْ يُعَذِّبۡكُمۡ عَذَابًا أَلِيمٗا وَيَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ وَلَا تَضُرُّوهُ شَيۡـٔٗاۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ ٣٩
“Jika kamu tidak berangkat untuk berperang, nescaya Allah menyeksa kamu dengan seksaan yang pedih dan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberikan kemudaratan kepada-Nya sedikit pun. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” [Surah al-Tawbah: 39]
Firman Allah SWT:
هَـٰٓأَنتُمۡ هَـٰٓؤُلَآءِ تُدۡعَوۡنَ لِتُنفِقُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَمِنكُم مَّن يَبۡخَلُۖ وَمَن يَبۡخَلۡ فَإِنَّمَا يَبۡخَلُ عَن نَّفۡسِهِۦۚ وَٱللَّهُ ٱلۡغَنِيُّ وَأَنتُمُ ٱلۡفُقَرَآءُۚ وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم ٣٨
“Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) di jalan Allah, maka antara kamu ada yang bakhil. Dan sesiapa yang bakhil, sesungguhnya dia hanyalah bakhil terhadap dirinya sendiri. Dan Allahlah Yang Maha Kaya, sedangkan kamulah orang-orang yang berkehendak (kepada-Nya); dan jika kamu berpaling, nescaya Dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini.” [Surah Muhammad: 38]
Apabila bangsa Arab lemah, mereka diganti dengan pelbagai bangsa yang menganut Islam dan berjihad memenangkannya sehingga Islam terus memerintah negara.
Apabila umat Islam dikalahkan, maka hilanglah kuasa politiknya, ajarannya ditinggalkan, dan umatnya dihina apabila tanah airnya dijajah.
Pada awalnya, Allah menukar kepada bangsa lain yang menganut Islam untuk mengambil alih kewajipan menegakkan Islam. Apabila tidak ada bangsa yang menjalankan kewajipan tersebut, maka Allah menyeksa umat Islam di dunia dengan kaum bukan Islam yang zalim menjajah tanah air Islam dan rakyatnya sehingga beberapa abad.
Namun, cahaya agama Islam tetap tidak boleh dipadamkan dan masih ada penganutnya, termasuk di wilayah kita yang paling besar jumlah umat Islamnya. Malangnya, kita masih ditenggelami oleh kejahilan Islam dalam urusan politik pemerintahan negara.
Penyakit kejahilan ini pernah menghilangkan kelayakan bangsa Arab, walaupun mereka yang pertama menerima Islam dan menegakkan negaranya selama hampir empat abad yang dinamakan generasi Salaf. Penyakit ini juga pernah mengakibatkan kejatuhan kerajaan Islam di Andalus (Sepanyol) yang memerintah selama 800 tahun.
Bangsa Red Indian di Amerika Syarikat turut terpinggir di dalam tanah airnya sendiri apabila kuasa politiknya dirampas oleh kaum pendatang Eropah.
Allah menenggelamkan kaum Nabi Nuh AS dengan mereka dilanda taufan besar apabila mereka menolak seruan Baginda AS. Namun, Nabi Nuh AS dan mereka yang beriman diselamatkan selepasnya bagi menyambung kehidupan manusia kerana tiada lagi manusia yang lain pada masa itu. Adapun kaum ‘Ad, kaum Thamud, kaum Lut, kaum Shu‘aib, dan Firaun bersama bala tenteranya juga dibinasakan oleh Allah.
Bangsa Melayu yang menjadi tonggak masyarakat majmuk di Malaysia, kini mengalami ancaman taufan kejahilan politik yang parah sehingga boleh menggugurkan kelayakannya sebagai umat yang berkuasa, walaupun mendominasi jumlah dalam masyarakat majmuknya.
Hal ini termasuk kalangan para ulama’ yang tidak fuqaha’ (memahami urusan ajaran Islam) secara sempurna, yang menyangka dengan kuliah sahaja sudah cukup tanpa perlu turun ke medan bagi mempertahankan kuasa Islam. Begitu juga para imam masjid yang lebih besar jumlah kejahilan mereka, hanya mengetahui urusan solat dan urusan umum penganut Islam yang berlipat kali ganda jumlahnya.
Perkara ini berlaku akibat lama dijajah, khususnya penjajahan pemikiran dan kefahaman yang sengaja dirancang bagi menghalang bangsa Melayu yang menjadi tonggak masyarakat majmuk Malaysia daripada berkuasa politik. Mereka kini menghadapi ancaman kejahilan politik yang parah yang boleh menggugurkan kelayakan mereka, walaupun jumlah mereka ramai.
Keadaan dunia terkini menyaksikan kuasa politik diambil melalui jalan pilihan raya secara pengundian, walaupun perkara ini tidak dilakukan pada zaman Rasulullah SAW. Hal ini sepertimana juga menunaikan haji dengan pasport dan visa, maka pasport dan visa menjadi wajib berdasarkan kaedah hukum Islam:
مَا لَا يَتِمُّ الْوَاجِبُ إلَّا بِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ.
“Apa-apa yang tidak dapat disempurnakan yang wajib melainkan dengannya, maka hukumnya wajib.”
Ramai kalangan Melayu Islam tidak merasa wajib mengundi bagi mempertahankan atau mengambil kuasa politik kerana sibuk dengan ibadat haji atau umrah yang sunat, tanpa menyedari bahawa Rasulullah SAW pernah menangguhkan haji yang wajib sehinggalah selepas Fathu Makkah yang menjadikan Makkah berada bawah kuasa kerajaan Islam. Demikian juga, Rasulullah SAW menangguhkan umrah yang wajib kerana mendahulukan kemenangan politik melalui Perjanjian Hudaibiyyah kerana perjanjian itu memberikan kemenangan politik kepada Islam.
Di samping itu, Khalifah Abu Bakar RA juga pernah mengambil tindakan disiplin terhadap Khalid bin al-Walid RA yang berangkat ke Makkah kerana mengerjakan haji, dengan meninggalkan tugasnya yang sedang berjihad di Iraq.
‘Abdullah bin al-Mubarak RH, seorang ulama’ besar dalam ilmu hadis pernah menulis surat kepada sahabatnya, al-Fudail bin ‘Iyad RH, seorang ulama’ besar dalam ilmu tasawuf yang terkenal ibadatnya, iaitu sentiasa berulang-alik beriktikaf di Masjid al-Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah:
يَا عَابِدَ الحَرَمَيْنِ لَوْ أبْصَرْتَنَا … لَعَلِمْتَ أنَّكَ فِي العِبَادَةِ تَلْعَبُ،
مَنْ كَانَ يَخْضِبُ خَدَّهُ بِدُمُوْعِهِ … فَنَحُوْرُنَا بِدِمَائِنَا تَتَخَضَّبُ،
أوْ كَانَ يُتْعِبُ خَيْلَهُ فِي بَاطِلٍ … فَخُيُوْلُنَا يَوْمَ الصَّبِيْحَةِ تَتْعَبُ.
“Wahai sahabatku yang sedang kuat beribadat di dua Tanah Suci, kalau engkau memahami (bahawa apa-apa yang kami hadapi dalam berjihad menegakkan Islam itu tinggi); nescaya engkau sedar bahawa engkau hanya bermain-main dengan hanya beribadat (dengan iktikaf)!
Wahai orang yang basah pipinya dengan air mata khusyuk beribadat,
Ketahuilah bahawa leher kami berlumuran darah di medan jihad!
Wahai orang yang penat berkenderaan di medan kebatilan, Ketahuilah bahawa kenderaan kami penat di medan perjuangan meninggikan Islam!”
Tiba-tiba, Imam Fudail bin ‘Iyad menangis seraya berkata:
صَدَقَ أَبُو عَبْدِ الرَّحْمَنِ، وَنَصَحَنِي.
“Apa-apa yang dikatakan oleh sahabatku, Abu ‘Abd al-Rahman memang benar.”
Beliau pun meminta kepada utusan yang membawa surat itu supaya mencatat sabda Rasulullah SAW yang diterima riwayatnya: Bahawa seseorang itu tidak mampu menandingi pahala seseorang yang keluar berjihad beberapa hari, sehinggalah dia mampu berpuasa selama-lamanya dan tidak berbuka atau beribadat selama-lamanya sehingga tidak tidur. [Ibn Kathir, Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, jld. 2, hlm. 203]
Akhir kalam, kepada mereka yang meninggalkan kewajipan memenangkan Islam, renungilah ucapan Khalifah Abu Bakar RA:
مَا تَرَكَ قَوْمٌ الْجِهَادَ إِلَّا عَمَّهُمُ اللَّهُ بِالْعَذَابِ.
“Tiada yang menimpa kaum yang meninggalkan kewajipan jihad meninggikan Islam, melainkan mereka semua binasa ditimpa bala kehinaan dan berlaku banyak kejahatan.” [Riwayat al-Tabrani, al-Mu‘jam al-Awsat, Bab al-‘Ain, no. 3839]
Kita berada dalam sistem demokrasi bagi mendapatkan kuasa politik melalui pilihan raya yang damai. Maka, pilihan raya adalah kewajipan yang besar untuk mengambil kuasa politik.
Maka, alangkah besar dosanya apabila dengan sebab kita meninggalkan pilihan raya, kuasa politik Islam dirampas oleh musuh Islam yang sentiasa mengintai kelemahan kita. Lebih parah dosa mereka yang menjual undi mereka dengan harta dan pangkat.
Banyak kitab yang dikarang oleh para ulama’ berkenaan kewajipan berpolitik, antaranya ulama’ dalam Mazhab Shafi‘i seperti al-Ahkam al-Sultaniyyah (الأحكام السلطانية) karangan Imam al-Mawardi RH, Ghiyath al-Umam fi al-Tiyath al-Zulam (غياث الأمم في التياث الظلم) karangan Imam al-Haramain al-Juwaini RH, dan lain-lain daripada berbagai-bagai mazhab.
Tambahan pula, Universiti al-Azhar turut menetapkan pengajian fiqh politik. Oleh sebab itu, kita mengharapkan para ulama’ kita juga membuka pengajian ini bagi menyelamatkan bangsa kita daripada tenggelam dalam taufan kejahilan.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 3 Jumada al-Ula 1447 / 25 Oktober 2025
[Bil: 74 / 2025]





























