Oleh: Muhammad Hibatul Jihadi Bin Mad Daud
MARANG – Dewan Pemuda PAS Marang mahu setiap kampung dalam Kawasan parlimen itu dibangunkan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) agar pendidikan anak-anak disemai dengan fikrah Islam sejak kecil.
Ketuanya, Ustaz Yusof Abdul Hadi berkata, ia sangat penting bagi melahirkan generasi yang soleh dan solehah bagi mendepani cabaran persekitaran sosial yang semakin mencabar.
“Kita mahu setiap pelusuk kampung ada PASTI, dari kecil lagi kita bentuk mereka menjadi insan soleh yang berguna kepada agama dan masyarakat,”
“meskipun berada di bawah PAS dan PASTI bukan sekadar tujuan politik semata-mata tetapi tanggungjawab yang besar adalah melahirkan generasi yang baik.” tegasnya.
Beliau berkata demikian Ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Apresiasi PASTI Al-Munir Kampung Bukit Gasing hari ini, 1 Disember.


Sementara itu, Pengurus PASTI Al-Munir, Abd Aman Awang terharu dengan perkembangan PASTI tersebut dan bersyukur kerana majlis pagi ini disambut dengan cukup meriah dan menceriakan.
“Gelak tawa anak-anak, wajah ibu bapa yang penuh bangga dan semangat para guru yang tidak pernah luntur. Semuanya Bersatu menjadikan Majlis Anugerah Apresiasi tahun ini penuh makna.
“Majlis ini yang menjadi rutin saban tahun ini bukan sekadar pentas untuk memberi hadiah, tetapi lebih kepada sebagai penghormatan buat usaha anak-anak kecil yang belajar bersungguh-sungguh, juga bukti betapa pendidikan awal sangat disokong oleh masyarakat setempat.” jelasnya.
Katanya, PASTI itu telah diusahakan oleh orang kuat memperjuangkan kepentingan Pendidikan anak-anak pre-sekolah.


“Namun kini mereka sudah tiada lagi. Tugas kita hari ini adalah meneruskan perjuangan mereka agar PASTI ini kekal berkualiti dan menjadi pilihan utama masyarakat,” katanya, sedikit hiba.
Manakala wakil Ahli Jawatankuasa PASTI Kawasan Marang, Abdam Awang berkata, perkembangan PASTI di Kawasan Marang yang kini semakin kedepan.
“Sehingga 2025, terdapat 42 buah PASTI dengan 2,877 pelajar. Tahun ini sahaja, 1,084 murid diraikan sebagai graduan kecil yang bakal melangkah ke alam persekolahan rasmi.
“Dan berita baiknya, pada 2026 sebuah lagi PASTI baharu iaitu PASTI Al-Ansar di Kg Pengkalan Setar dan akan dibuka bagi menampung permintaan masyarakat,” kata beliau.


Menurutnya, PASTI Marang juga telah berjaya menjadi juara acara khutbah dan sanyid di peringkat Alam Ria PASTI Negeri Terengganu.
“Lebih manis, pasukan Nasyid kita turut dijemput khas ke Manis.FM. Ini bukan kejayaan biasa-biasa, ini bukti anak-anak kita bukan sahaja cerdik akalnya, malah halus budi pekertinya,” katanya.
Turut sama hadir memberikan sokongan ialah Zulkhairi Mokhtar, wakil Penyelaras Pemuda DUN Rhu Rendang.
Acara ditutup dengan penyampaian anugerah dan sesi bergambar yang dipenuhi wajah-wajah ceria. Senyuman anak-anak itu sudah cukup menggambarkan betapa besar maknanya majlis ini bukan sahaja buat mereka, tetapi untuk seluruh komuniti Kampung Bukit Gasing yang sentiasa mendukung pendidikan awal kanak-kanak.





























