Manifesto PN Realistik, Mampu Dilaksana

136

BESUT – Tawaran manifesto yang dibentangkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin baru-baru ini dianggap realistik dan mampu dilaksanakan oleh pendukung gabungan parti itu.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, manifesto yang dibentangkan di itu bakal menjadi sebaik-baik tawaran buat rakyat Malaysia apabila PN diberi mandat untuk mentadbir.

“Saya mendengar pembentangan itu sehingga akhir. Manifesto yang ditawarkan itu bersifat boleh dilaksanakan, bukan janji bulan bintang, jauh lagi hikayat angan-angan.

“PAS sebagai komponen gabungan PN akan menjadikan semak dan imbang dalam sama-sama menunaikan perkara tersebut (manifesto).

“Barisan Nasional (BN) telah berpuluh-puluh tahun memerintah negara, namun sejauh mana pelaksanaan janji yang selama ini ditawarkan menjelang pilihanraya,” katanya dalam Ceramah Pengenalan Calon Besut di UDM Kubang Ikan, Kota Putera di sini semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam turut berkata, kerajaan PAS Terengganu telah menjadi model kepada komitmen pelaksanaan manifesto yang ditawarkan.

“Saya ingat selepas kita (PAS Terengganu) Berjaya mengambil alih kepimpinan negeri, keesokan harinya kita telah berjaya membentuk kerajaan yang lengkap. Terengganu menjadi kerajaan pertama yang selesai dengan kabinetnya.

“Minggu ketiga pentadbiran, kerajaan negeri sudah mampu menyelesaikan manifesto pertama iaitu pengecualian cukai pintu kepada semua rakyat Terengganu,” tambahnya.

Ceramah tersebut turut dihadiri ADUN Kota Putera, Wan Nurkhuzaini Wan Ab Rahman, ADUN Cempaka, Fathan Mahmood dan calon PAS parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh.