Kuala Terengganu – Perak mencipta kejutan meraih kemenangan apabila mengatasi Terengganu 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, semalam.
Kemenangan itu juga adalah yang kedua dilakar skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim selepas menang 2-1 pada perlawanan pusingan pertama liga.
Malang pula bagi pasukan Terengganu yang kalah kepada pasukan paling corot dalam liga super dihadapan penonton sendiri di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin, disini.
Dalam perlawanan itu, pelawat terlebih dulu menguji gawang Terengganu menerusi hantaran silang penyerang import, Milan Purovis tetapi gagal dimanfaatkan gandingannya, Abdulafees Abdulsalam.
Percubaan awal itu juga mengundang padah buat skuad Penyu apabila penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee terpaksa dikeluarkan pada minit keempat selepas mengalami kecederaan dan digantikan Mohd Sharmiza Yusof.
Cubaan skuad The Bos Gaurus yang mempamerkan rentak permainan lebih kemas dengan hantaran tepat akhirnya membuahkan hasil menerusi pemain tengah, K Partiban yang melakukan sepakan menarik dari luar kotak penalti hasil hantaran Abdulsalam pada minit 28.
Aksi babak kedua menyaksikan pengendali Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim membawa masuk penyerang import baru, Javier Estupinan menggantikan Mohd Faiz Subri pada minit ke-57.
Pemain import gantian pelawat, Marco Tulio yang masuk menggantikan Purovis menjaringkan gol kedua pada minit ke-71 apabila mudah menolak masuk bola menewaskan Mohd Sharmiza hasil hantaran Abdulsalam sumber BH