Lelaki yang pecah masuk Kedutaan Turkey bekas tali barut Israel

898

http://buletinonline.net/images/stories/berita31/nadim-injaz.jpgLelaki Palestin yang memecah masuk ke Kedutaan Turkey di Tel Aviv dan cuba menahan tebusan adalah bekas tali barut agensi perisikan Israel, Shin Bet, yang mahu mencari suaka politik, kata peguam beliau semalam.

Encik Avital Horev, berkata anak guamnya, Nadim Injaz (Gambar kanan), yang dilahirkan di Ramallah, Tebing Barat, dikehendaki oleh Penguasa Palestin kerana dia didakwa bersekongkol dengan Israel.

‘Pada 1990-an dan awal dekad ini, dia menghentikan banyak serangan Palestin dan menyelamatkan banyak nyawa askar dan rakyat Israel. Tetapi Shin Bet, tempat dia meminta perlindungan, enggan mengiktiraf tanggungjawab terhadapnya,’ kata Encik Horev.

Injaz ditembak dan cedera lewat Selasa lalu selepas memecah masuk ke Kedutaan Turkey dan cuba menahan tebusan tetapi gagal.

Sumber perubatan berkata Injaz ditembak di kaki dan mengalami kecederaan ringan. Dia sudah dimasukkan ke Hospital Ichilov di Tel Aviv.

‘Saya nampak anak guam saya di hospital malam tadi,’ kata Encik Horev.

Kementerian Luar Turkey, dalam satu kenyataan dari Ankara, berkata Injaz, yang bersenjatakan sebilah pisau dan sepucuk pistol mainan, memanjat tingkat satu kedutaan Turkey.

Menurut kenyataan itu, tidak ada sesiapa cedera di kedutaan tersebut.

Injaz ditahan dan kemudian diserahkan kepada pihak berkuasa Israel.

Shin Bet menafikan ada kaitan dengan Injaz dengan seorang jurucakapnya berkata dia ‘tidak pernah bekerja untuk kami’ dan kesnya sedang ditangani polis Israel.

Jurucakap polis Israel, Encik Mickey Rosenfeld, berkata beliau ‘tidak mempunyai maklumat’ mengenai suspek atau dakwaan ke atasnya. — AFP.