Kes Tamim Dahri Dan Pencerobohan Tanah: Hentikan Intimidasi, Kembalikan Kedaulatan Undang-Undang

37

Saya memandang serius dua isu dalam negara yang sangat menggusarkan rakyat mutakhir ini iaitu layanan kepada aktivis masyarakat, Tamim Dahri semasa dalam tahanan dan pengendalian kes pencerobohan tanah yang menafikan hak pemilik
tanah yang sah.

1. Layanan pihak polis terhadap tahanan

Dalam penulisannya, saudara Tamim menceritakan bagaimana beliau dan rakanrakan dilayan dengan kasar, diarahkan berbogel di hadapan pegawai polis, serta dinafikan permintaan untuk diberikan senaskhah Al-Quran.

Pendedahan ini menunjukkan amalan membogelkan tahanan masih berterusan, menyalahi syor sebuah Suruhanjaya Bebas sekitar 20 tahun lalu. Pada tahun 2006, sebuah suruhanjaya ditubuhkan untuk menyiasat satu insiden yang menggemparkan negara ketika itu iaitu seorang tahanan wanita diarahkan ketuk ketampi dalam keadaan berbogel di dalam lokap polis.

Suruhanjaya Bebas tersebut memutuskan amalan berkenaan adalah mencabuli hak asasi manusia, haram di sisi syariah, dan perlu dihentikan serta-merta. Persoalannya, apakah fungsi sumber negara dihabiskan untuk suruhanjaya siasatan sedemikian jika
cadangannya dibakulsampahkan?

Di peringkat antarabangsa, kita sering mengecam kezaliman IDF di Is R@el dan ICE di Amerika Syarikat kepada tahanan mereka. Sekiranya dakwaan saudara Tamim adalah benar, tidakkah memalukan apabila pihak berkuasa yang memakai lencana berserta kalimat ‘Allah’ dan ‘Muhammad’ di dada sanggup berkelakuan serupa terhadap rakyat sendiri di negara kita

2. Perlindungan hak pemilik tanah yang sah mengikut undang-undang

Selain tindakan keras terhadap wakil pemilik tanah yang sah ini, apakah pula tindakan yang telah diambil terhadap pihak yang menceroboh tanah untuk membina rumah anutan tanpa kebenaran? Rakyat ternanti-nanti tindakan tegas pihak berkuasa susulan laporan-laporan polis yang dibuat dan titah Sultan Selangor berkenaan 687 buah kuil tanpa kebenaran di negeri tersebut.

Kes-kes duluan seharusnya dijadikan rujukan bagi menangkis dakwaan segelintir pihak yang mempertahankan pihak penceroboh tanah. Dalam kes Segar Restu (M) Sdn. Bhd. v Wong Kai Chuan & Anor [1994] misalnya, hakim Mahkamah Tinggi menyebutkan bahawa “dalam undang-undang, penceroboh adalah seseorang yang memasuki tanah milik orang lain secara salah, dan tidak mempunyai sama ada hak ataupun kebenaran untuk berbuat sedemikian.”

Definisi ini secara jelas turut terpakai dalam sebahagian besar kes rumah anutan tanpa kebenaran, termasuklah yang didirikan di atas tanah pemilik sah yang mewakilkan Tamim Dahri untuk merobohkan binaan tersebut baru-baru ini.

Penghakiman Raja Azlan Shah untuk kes Sidek bin Haji Muhammad & Ors v Government of Perak [1982] pula menegaskan keabsahan inisiatif pemilik tanah mengusir penceroboh tanpa memerlukan perintah mahkamah. Selain itu, kes Punca Klasik Sdn. Bhd. di Johor Bahru (1995) menyatakan defendan mestilah dianggap “squatters and nothing else” (penduduk tidak sah dan tidak lebih daripada itu), manakala pemilik tanah yang sah berhak merobohkan sebarang binaan tanpa kebenaran di atas tanahnya.

Contoh-contoh penghakiman ini menunjukkan penceroboh adalah selama-lamanya dianggap menceroboh tanpa mengira berapa lama pun mereka menghuni tempat tersebut. Penghakiman-penghakiman ini adalah selari dengan Seksyen 340 Kanun Tanah Negara yang menyebutkan hak milik berdaftar yang dimiliki pemilik sah adalah muktamad dan tidak boleh disangkal (‘indefeasible’).

Tidak terhenti setakat itu, penghakiman kes Punca Klasik turut menegaskan bahawa “undang-undang tanah kita ditentukan oleh Kanun Tanah Negara yang tidak membenarkan undang-undang untuk diusik dengan ekuiti”, bermakna dakwaan hak ekuiti tidak boleh mengatasi seksyen kanun berkenaan. Sekiranya seseorang menduduki tanah atas kebenaran pemilik lama, dia tetap memerlukan kebenaran pemilik tanah baru yang sah untuk tidak dianggap sebagai penceroboh.

Kesemua hujahan ini menyangkal dakwa-dakwi yang melabel pemilik tanah yang sah atau wakilnya (seperti saudara Tamim) sebagai melampaui batas undang-undang, tambahan pula apabila terbukti hitam putih bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) telah menyatakan melalui sepucuk surat bahawa pemilik tanah perlu menyelesaikan sendiri masalah di atas tanahnya

3. Tuntutan dan Penutup

Oleh yang demikian, saya menuntut penjelasan dan tindakan segera pihak Kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri berhubung dakwaan pelanggaran prosedur dan hak asasi tahanan yang berlaku sehingga kini. Kerajaan juga perlulah menangani isu pencerobohan tanah yang membarah ini secara tegas tanpa memangsakan rakyat yang mematuhi undang-undang tetapi memberikan kelebihan kepada yang melanggarnya.

Dalam keadaan Kerajaan sedang mengalami defisit kepercayaan rakyat yang serius, eloklah isu pencerobohan tanah yang sangat dekat dengan rakyat ini ditangani segera secara adil, mengikut lunas undang-undang, dan tanpa sebarang elemen intimidasi.

YB Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh
Ahli Parlimen Besut merangkap
Ketua Portfolio Undang-Undang Perikatan Nasional