Kerajaan PAS Tidak Menoleh Ke Belakang

595

KUALA TERENGGANU – Kerajaan PAS Terengganu tidak berpaling ke belakang, mengungkit-ungkit perkara yang sudah berlalu dan menuding ke mana-mana arah mencari ‘kambing hitam’.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim berkata, tugas beliau selaku wakil rakyat dan Exco adalah untuk kemaslahatan rakyat.

“Jangan tanya deh bakpo terbiar sebelum ni. Kerja ambe pandang ke depan dan buat kerja untuk rakyat.” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika menulis di laman sosialnya, mengulas perkembangan semasa usaha pentadbiran negeri dibawah PAS itu, memulihkan projek-projek dan program ‘tergendala’ di negeri itu.

“Ada beberapa Pusat Perkhidmatan Veterinar yang ditutup dan terbiar kita aktifkan semula untuk kemudahan penternak mendapatkan perkhidmatan.

“Pagi ini kita gotong-royong bersihkan Pusat Perkhidmatan Veterinar Gong Penaga Jabi.” ujar beliau yang juga ADUN kawasan tersebut.

Justeru katanya, beliau tidak peduli apa komen atau kritikan mereka yang sentiasa tidak berpuas hati, asalkan amanah dilaksanakan dalam tempoh penggal pemerintahan yang masih berbaki.

” Masuk empat tahun baru nak pulih? Sebelum ni duk wat gapo? Ikut demo ah nak kata guano pun. Wat kira orang nak kecek tak jadi kerja kita.” jelasnya.