KUALA TERENGGANU — Kerajaan PAS Terengganu memberi jaminan, isu kelewatan pemasangan meter air di Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Tok Jembal kini berada pada fasa akhir penyelesaian.
Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri Terengganu, Dato’ Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, tindakan penyelarasan segera telah dibuat diantara Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan Syarikat Air Terengganu (SATU).
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan menjelaskan, masalah tersebut berpunca daripada dua perkara utama iaitu proses pendaftaran meter yang mengambil masa dan kebocoran pada paip induk meter pukal (Bulk Meter).
“SUK Perumahan telah buat mesyuarat penyelarasan pada awal Oktober 2025 untuk pihak PMINT dan SATU bagi mempercepatkan proses pendaftaran meter.


“Status terkini Blok A telah siap pasang meter sepenuhnya dan boleh di huni serta merta (32 unit rumah)
“Blok B hanya telah pasang meter sebanyak 25 unit rumah daripada keseluruhan 32 unit rumah. Kerja sedikit tergendala kerana ada masalah kebocoran pada paip induk ‘Bulk meter’,” jelasnya.
ADUN Wakaf Mempelam itu berkata demikian ketika menjadi Panel program Liqa Penerangan atas talian, semalam.


Menurut beliau, RPMM Tok Jembal mempunyai lima blok keseluruhannya dengan jumlah 160 unit rumah.
Tambah Ustaz Wan Sukairi, kerja pembaikan paip bocor dijangka siap hujung Disember 2025.
“Namun kerja-kerja pemasangan meter masih diteruskan pada ketika ini dan di jangka siap sepenuhnya menjelang akhir Disember 2025 atau awal Januari 2026 termasuk Blok C, D dan E,” ujar beliau.






























