Keputusan ‘YB Jai’ Disokong 30 Keluarga, Rakan Taulan Masuk PAS

675

KUALA TERENGGANU — Keputusan Tengku Afzal bin Tengku Hamzah untuk menyertai Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menjadi pemangkin kepada gelombang sokongan baharu apabila seramai 30 orang terdiri daripada ahli keluarga, rakan dan jiran terdekat beliau turut mengikut jejak langkah beliau.

Tengku Afzal atau lebih dikenali netizen sebagai ‘YB Jai’, ialah anak jati Wakaf Mempelam Kuala Terengganu, melakar fasa baharu dalam perjalanan siasahnya dengan meninggalkan Umno, Barisan Nasional (BN) dan memilih PAS sebagai wadah perjuangan.

Pada usia 37 tahun, keputusan itu dibuat hasil pemerhatian, pengalaman serta pencarian beliau terhadap sebuah perjuangan politik yang jelas prinsip dan hala tujunya.

Menurut YB Jai, PAS bukan sekadar sebuah parti politik, sebaliknya sebuah gerakan berteraskan Islam yang menjadikan amanah, integriti, keadilan dan kebajikan rakyat sebagai teras pentadbiran.

“Saya melihat PAS bukan sekadar parti politik, tetapi satu perjuangan yang berpaksikan Islam sebagai panduan dalam mentadbir dan membela rakyat.

“Pendekatan PAS yang menekankan nilai amanah, integriti, kebajikan rakyat serta pembangunan berteraskan syariat memberi keyakinan kepada saya bahawa inilah platform terbaik untuk berkhidmat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau turut menyifatkan semangat jamaah, ukhwah yang kukuh serta keikhlasan bekerja untuk rakyat sebagai faktor utama yang menguatkan keyakinannya terhadap PAS.

YB Jai serah 30 borang permohonan keahlian PAS kepada AJK PAS Kuala Terengganu, Azizah Mahmood

YB Jai pernah aktif dalam BN selama kira-kira enam tahun, termasuk memegang peranan dalam BN COMS (media).

“Pengalaman politik sebelum ini mendidik saya, namun saya melihat perjuangan PAS lebih tersusun, jelas prinsipnya dan tidak semata-mata mengejar kemenangan pilihan raya.

“PAS memberi penekanan kepada kepimpinan berintegriti, membimbing masyarakat serta membina pemimpin berakhlak mulia, insya-Allah,” tambah beliau.

Anak kelahiran Kampung Wakaf Beruas itu, mempunyai lima orang adik beradik, turut kagum dengan sifat dan kekuatan ahli-ahli PAS yang ikhlas bekerja untuk rakyat tanpa mengira latar belakang.

Justeru beliau berharap dan berazam untuk terus berkhidmat dengan penuh tanggungjawab, memberi fokus kepada kebajikan masyarakat khususnya golongan memerlukan.

“serta menyumbang tenaga dan pengalaman dalam membina kepimpinan yang bersih dan dekat dengan rakyat.

“Politik bukan sekadar soal kuasa, tetapi satu amanah untuk membawa perubahan positif, menegakkan keadilan dan membina komuniti yang sejahtera,” katanya.