Kenali Mursyidul Am PAS; Asuhan Ikhwan Yang Istiqamah

210

Oleh: Dr Riduan Mohd Nor

Generasi baru Islamis negara ini hanya menyangka fikrah Ikhwanul Muslimin disalurkan ke negara ini melalui NGO- NGO Islam tanpa mengetahu bagaimana generasi pelajar Malaya akhir 1940an di Mesir telah ditarbiah oleh ideologue Ikhwanul Muslimin tersohor,Sayyid Qutb. Nama – nama sesepuh perjuangan seperti Prof. Zulkifli Mohamad, Dato Yusuf Zaki Yaakob, Ustaz Hasan Salleh dan lain- lain. Dalam dekad 1950an Pulau melalui Sheikh Taqiuddin Qandil ( tokoh IM yang berhijrah ke Malaya) telah membentuk nukleus Ikhwanul Muslimin dikalangan pelajar terpilih Madrasah Alawiyyah Perlis serta Maktab Mahmud di Kedah. Ustaz Hashim Jasin seorang pemimpin pelajar antara yang diasuh oleh Sheikh Taqiuddin Qandil sehinggalah sebelum melanjutkan pendidikan tinggi di Baghdad ,beliau pernah menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis.

Pada tahun 1963 pula, satu rombongan pelajar Malaysia telah dihantar belajar ke Baghdad yang terdiri daripada 10 orang pelajar. PAS telah diberi peluang menghantar sepuluh orang pelajar itu dengan ihsan daripada Perdana Menteri Iraq Muhammad Arif as-Salam yang merupakan simpatisan Ikhwanul Muslimin di Iraq walaupun beliau daripada Parti Sosialis.

Ikhwanul Muslimin Iraq mempunyai hubungan dengan tokoh-tokoh PAS di Malaysia dalam dekad 1960an seperti Ustaz Abu Bakar Hamzah dan lain- lain. Kerajaan Iraq pada zaman itu turut memberikan bantuan kepada YPTIK Nilam Puri yang ditubuhkan oleh kerajaan Kelantan. PAS telah memilih anak-anak muda yang berpotensi dan dilihat mempunyai tendensi dan bakat untuk menjadi penyambung perjuangan Islam . Mereka alumni sekolah-sekolah agama yang dipilih dari seluruh negara. Sepuluh pelajar terpilih dengan tapisan yang piawai itu ialah:

1. Ustaz Hashim Jasin.
2. Ustaz Mohamad Daud Iraqi
3. Ustaz Hasan Shukri.
4. Ustaz Abdul Rahim Md Zain
5. Ustaz Hasbullah Kasban.
6. Ustaz Abdul Ghani Kasa.
7. Ustaz Dahlan Muhammad Zain.
8. Ustaz Abdul Halim Yahya.
9. Ustaz Isamuddin Haji Ahmad
10. Ustaz Azmi Ahmad.

Penulis pernah mendengar pengkisahan ini daripada almarhum Ustaz Haji Hassan Syukri, juga Ustaz Hashim Jasin sendiri bagaimana generasi tajnid ini diasuh. Pelajar-pelajar pilihan PAS ini mendapat bimbingan secara langsung daripada tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin di Iraq. Antara sosok penting IM Iraq yang memasak fikrah kepada Ustaz Hashim ialah Dr Abdul Karim Zaidan, Sheikh Soleh Ali Abu Mun’im,Sheikh Abdul Aziz Al Badri dan lain lain.

kuliah secara formal dalam bidang Syariah dan bahasa Arab di kampus dan juga program kaderisasi dakwah Ikhwanul Muslimin membentuk karektor Mursyidul Am PAS keempat ini. Iraq mempunyai ramai tokoh pemikir Ikhwanul Muslimin seperti Sheikh Muhamad Mahmud Sowwaf dan Sheikh Abdul Aziz al-Badri. Sebahagian daripada pelajar ini akhirnya menjadi aktivis PAS sama ada di peringkat Pusat atau Negeri.

PAS pada tahun-tahun 1960an telah memanfaatkan buku-buku tokoh Ikhwanul Muslimin sebagai teks usrah. Buku ini dibawa pulang oleh Ustaz Abu Bakar Hamzah,Ketua Dewan Pemuda Pusat dalam program bersama IM di Mesir pada tahun 1958.Menurut almarhum Ustaz Yazid Jaafar, pada dekad 60an buku Hasan al-Banna iaitu arahan dan peraturan telah dijadikan teks usrah untuk ahli-ahli PAS di Selangor dan Kuala Lumpur. Namun walaupun terdedah dengan idea perjuangan Ikhwanul Muslimin yang menekankan cara hidup Islam yang syumul.

Berdasar latarbelakang asuhan Ikhwanul Muslimin maka tak pelik jika sosok utama PAS ini mempunyai tahap disiplin yang tinggi dalam gerakerja jamaah. Beliau walau suka bergurau dengan anak anak buah namun tegas dengan prinsip, selagi jasad mampu digerakkan maka tiada alasan untuk berpangku lengan. Ustaz Hashim sangat tegas bab menepati masa dan janji, pengalaman peribadi penulis dengannya sangat mengesankan, beliau pernah bermalam di rumah penulis (kompleks Tahfiz an Nur Setiu) dan penulis mengunjungi kediaman murabbi ummah ini di Perlis.

Umurnya melepasi lapan dekad yang sarat dengan pengalaman emas. Mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, AJK DPPP, Ketua Dewan Ulama Perlis, AJK PAS Pusat, Pesuruhjaya PAS Perlis serta puluhan jawatan yang lain dalam PAS. Tuan Guru Ustaz Hashim pernah menggalang jawatan ADUN dan juga Ahli Parlimen. April 1998 beliau memenangi Pilihanraya Kecil Arau menewaskan Ismail Kassim ( adinda DS Shahidan Kassim). Ini juga bukti kekuatan PAS bukan bersandar faktor Anwar Ibrahim kerana penulis serta pengkaji politik sering menyebut bahawa PAS menumpang kekuatan Anwar Ibrahim walhal pemecaran Anwar pada September 1998!.

Sosok yang disukai ramai ini juga adalah bekas Pegawai Agama FELDA sebelum bersara pada tahun 1989. Dengan kepulangan ke alam abadi Dato Dr Haron Din pada 16 September 2016 maka penelitian dibuat untuk melantik pengganti Mursyidul Am yang berikutnya. Tuan Guru Ustaz Hashim Jasin dipilih oleh Majlis Syura Ulama untuk menjadi Mursyidul Am PAS yang keempat sehingga kini. Moga Allah merahmati serta memberikan kekuatan kepada beliau untuk menghabiskan sisa- umurnya dalam perjuangan.

( Penulis ialah AJK PAS Pusat, Adun Jerteh)