Kempen Pilihanraya umum di Indonesia baharu selesai semalam pada tanggal 9 April 2014. Seramai 185.5 juta pengundi berdaftar rakyat Indonesia menentukan masa depan negara mereka serta memilih pemimpin unutk pelbagai peringkat. Difahamkan, lebih 18,000 anggota Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Tingkat I dan Tingkat II (ahli majlis tempatan) di semua 33 provinsi atau wilayah serta 560 kerusi Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) atau Parlimen Indonesia akan dipilih dalam kempen Pemilu kali ini.


Kenyataan Profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff melalui pemerhatian dan pengalaman beliau di sana semasa pilihanraya sedang berjalan, mendapati kempen pilihanrayanya berlangsung dengan bersih dan aman. Apa yang menariknya, isu-isu utama rakyat adalah masa depan negara mereka dan kesejahteraan rakyat menjadi fokus utama perbincangan dengan perbandingan pemimpin manakah yang mampu menawarkan khidmat terbaik untuk rakyatnya.
LA PPM mengajak kerajaan Malaysia agar mencontohi sistem demokrasi yang diamalkan di Indonesia. Apa yang diimpikan oleh rakyat Malaysia adalah mengecapi nikmat demokrasi sebenar. Di sini, pemimpin utama pembangkang adalah sasaran utama fitnah, adu domba, cercaan dan tohmahan sehingga video seks dan gambar lucah menjadi isu utama kempen, kempen media yang begitu berat sebelah – dengan hampir mustahil pemimpin pembangkang atau parti politik selain pemerintah yang mampu muncul di kaca televisyen, daftar pemilih yang begitu mencurigakan, undi awal dan undi pos menjadi ‘fixed deposit’ bagi memenangkan pihak pemerintah, dakwat kekal yang menipu, serta skandal pengeluaran kad pengenalan dan hak mengundi kepada warga asing yang begitu ketara.


Seharusnya pemimpin negara ini menginsafi dan merasa malu dengan kebebasan yang dinikmati rakyat Indonesia. Meskipun negaranya besar, kepadatan penduduk yang begitu tinggi, jumlah penduduk miskin yang ramai, namun tidak sesekali berkompromi dengan penipuan dan penyelewengan dalam pilihanraya di negara mereka.
Tahniah Indonesia, kerana memilih demokrasi tulen dalam negara mereka. Siapapun bakal Presiden mereka, ia adalah kehendak rakyat yang bebas dan merdeka dan semua pihak wajar menghormati keputusan adil ini.
DR RAJA AHMAD AL HISS
Pengerusi Lajnah Antarabangsa
Pemuda PAS Malaysia




























