‘Kembali Kepada Islam’ Jawapan Krisis Dunia – Presiden PAS

176

ALOR SETAR – Hanya Islam mampu menjadi jalan penyelesaian terhadap pelbagai krisis yang sedang melanda dunia, termasuk keruntuhan moral, penyelewengan politik, kerakusan ekonomi dan kemusnahan alam sekitar.

Menurut Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa politik yang sepatutnya menjadi amanah rakyat kini bertukar menjadi medan untuk mengejar pangkat dan harta sehingga menjerumuskan negara dalam budaya menipu, khianat dan rasuah.

“Kini kita sedang menyaksikan keruntuhan moral individu dan institusi keluarga, politik yang zalim dan menipu, keruntuhan ekonomi, sehinggalah kemusnahan alam.

“Politik yang menjadi amanah bertukar menjadi peluang mendapatkan pangkat dan harta sehingga menipu, khianat dan rasuah.

“Ekonomi menyembah kebendaan yang mengikuti nafsu mengatasi akal, memonopoli kekayaan tanpa batas halal dan haram, sehingga meninggalkan kewajipan masyarakat,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden di Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-71 di Kompleks PAS Kedah, di sini, hari ini.

Menurut Abdul Hadi, kerakusan manusia bukan sahaja meruntuhkan institusi moral dan politik, bahkan turut menghancurkan sistem ekonomi serta merosakkan alam sekitar.

“Fenomena ini jelas membenarkan kebimbangan para malaikat sebelum penciptaan manusia sebagaimana dirakamkan dalam al-Quran,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, manakala dalam aspek ekonomi, kerakusan kapitalis yang berlandaskan nafsu materialistik telah mengabaikan nilai halal-haram, meminggirkan tanggungjawab bermasyarakat dan menindas golongan marhaen.

“Pokok yang baik ialah Islam, ia teguh dan memberi manfaat kepada manusia serta alam.

“Sebaliknya, ideologi selain Islam ibarat pokok yang buruk, keluar daripada fitrah Allah, lalu mencetuskan kerosakan yang berpanjangan,” ujar beliau lagi.

Sehubungan itu, katanya, muktamar kali ini mengangkat tema “Kembali Kepada Penyelesaian Islam” sebagai peringatan bahawa kesejahteraan dunia dan akhirat hanya dapat dicapai dengan kembali kepada petunjuk Allah SWT.