Oleh : Hibatul Jihadi
MARANG – Kemasukan murid Sekolah Rendah Islam Darul Quran (SRIDQ) menunjukkan peningkatan setiap tahun mencerminkan keyakinan masyarakat yang semakin bertambah terhadap pendekatan pendidikan Islam yang diterapkan sekolah itu.
Pengerusi Ahli Lembaga Pengarahnya, Ustaz Abdullah Suhaimi Zakaria berkata sekolah rendah Islam itu dijangka menerima seramai 271 orang murid bagi sesi persekolahan 2026, berbanding 2025 seramai 260 orang.
“Dengan dibantu oleh 25 orang guru serta lima orang kakitangan sokongan, seiring dengan pertambahan warga sekolah, pihak pengurusan SRIDQ turut giat melaksanakan usaha menaik taraf infrastruktur dan fasiliti sekolah,
“demi memastikan persekitaran pembelajaran yang selesa, selamat dan kondusif, antara inisiatif yang sedang dilaksanakan termasuk penambahbaikan sistem longkang, tandas, lantai dewan, serta penyempurnaan permit di kawasan dataran sekolah yang kini masih dalam proses,” jelasnya.


Ustaz Abdullah Suhaimi berkata demikian ketika berucap dalam program Penyampaian Sumbangan Tenaga Nasional Berhad(TNB)! kepada 150
orang murid di sekolah itu hari ini pada 15 Disember.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Naib Presiden PAS Pusat, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang juga Menteri Besar Terengganu.
Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak TNB di atas kepercayaan memilih sekolah itu sebagai lokasi penganjuran program kebajikan.
Menurut beliau, pemilihan tersebut bukan sahaja merupakan satu penghormatan besar buat pihak sekolah, malah menjadi suntikan motivasi kepada seluruh warganya untuk terus memperkukuh mutu pendidikan serta kebajikan murid secara menyeluruh.































