Reformasi yang dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dipengaruhi oleh gerakan politik Barat, yang bermaksud perubahan atau pembaharuan secara drastik. Tujuannya untuk melakukan pembaikan dalam sesuatu sistem, sama ada sistem sosial, politik, ekonomi, agama, ataupun lain-lain, agar menjadi lebih baik, adil, dan sesuai dengan tujuan yang diharapkan.
Namun begitu, ia masih terus bergayut dengan teguh kepada fahaman sekularisme berdasarkan prinsip ciptaan manusia sahaja yang tidak berpandukan hidayah Allah, Pencipta seluruh alam. Maka, tempias kegagalan ideologi ciptaan manusia turut menimpa reformasi yang dilaungkan dengan semangat, bahkan melebihi laungan takbir yang sekadar dijadikan alat solek sementara.
Adapun Islam pula menggunakan perkataan islah dalam bahasa al-Quran. Ia telah ditugaskan kepada para rasul utusan Allah yang telah terbukti kejayaannya. Hal ini demikian kerana, perjalanannya berpandukan wahyu hidayah Allah. Firman Allah SWT:
قَالَ يَٰقَوۡمِ أَرَءَيۡتُمۡ إِن كُنتُ عَلَىٰ بَيِّنَةٖ مِّن رَّبِّي وَرَزَقَنِي مِنۡهُ رِزۡقًا حَسَنٗاۚ وَمَآ أُرِيدُ أَنۡ أُخَالِفَكُمۡ إِلَىٰ مَآ أَنۡهَىٰكُمۡ عَنۡهُۚ إِنۡ أُرِيدُ إِلَّا ٱلۡإِصۡلَٰحَ مَا ٱسۡتَطَعۡتُۚ وَمَا تَوۡفِيقِيٓ إِلَّا بِٱللَّهِۚ عَلَيۡهِ تَوَكَّلۡتُ وَإِلَيۡهِ أُنِيبُ ٨٨
“Shu‘aib berkata, ‘Wahai kaumku, bagaimana fikiranmu jika aku mempunyai bukti yang nyata daripada Tuhanku dan dianugerahi-Nya aku daripada-Nya rezeki yang baik (patutkah aku menyalahi perintah-Nya)? Dan aku tidak berkehendak menyalahi kamu (dengan mengerjakan) apa yang aku larang. Aku tidak bermaksud kecuali melaksanakan islah (mendatangkan pembaikan) selama aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufiq bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakal dan hanya kepada-Nya aku kembali.” [Surah Hud: 88]
Adapun sejarah reformasi di Eropah berlaku selepas mereka mencapai kemajuan sains yang dipengaruhi oleh tamadun Islam bermula sebelum daripada penjajahan sehingga zaman penjajahan. Mereka mengambil kajian para ulama’ Islam dalam ilmu duniawi sahaja, tetapi meninggalkan hidayah Allah.
Kesannya, mereka berjaya mencapai kemajuan teknologi kebendaan moden, serta kekuatan ketenteraan dan ekonomi. Namun, ilmu yang diambil daripada oleh mereka itu dibalas dengan menjajah dunia Islam pula apabila mereka menjadi kuasa besar dunia.
Daripada pelaksanaan slogan reformasi yang dilaungkan itu, antara perkara yang terpenting ialah menyempurnakan kemerdekaan negara yang telah diisytiharkan lebih setengah abad dahulu, walaupun usaha itu sehingga kini masih menemui kegagalan.
Sepatutnya, kemerdekaan dikembalikan kepada Islam dengan mengikut teladan daripada para anbiya’. Hal ini demikian bagi meneruskan perjuangan Rasulullah SAW dan pengikutnya yang setia untuk melaksanakan islah yang telah mencipta sejarah yang cemerlang sebelum negara-negara Islam dijajah.
Adapun kelemahan umat Islam menyebabkan mereka dijajah setelah berlakunya kelekaan pada zaman kerajaannya nyanyuk. Kelemahan ini menyebabkan kerajaan terpesong daripada Islam dan terpengaruh dengan reformasi Barat yang memplagiat tamadun Islam dengan meninggalkan al-din (Islam yang sempurna).
Akhirnya, tanah air umat Islam ditakluk oleh musuh dan dimusnahkan pada zaman penjajahan, seterusnya berlarutan selepas penjajah keluar.
Ibn Khaldun RH menegaskan dalam penulisannya:
أَنَّ الْمَغْلُوبَ مولع أَبَدًا بِالاِقْتِدَاءِ بِالْغَالِبِ فِي شِعَارِهِ وَزَيهِ وَنحْلَتِهِ وَسَائِرَ أَحْوَالِهِ وَعَوَائِدِهِ.
“(Kebiasaannya), bangsa yang kalah atau yang dijajah akan sentiasa berbangga dengan (meniru atau menyerupai) pihak yang menjajah, sehingga terpengaruh dengan budaya mereka (pemakaian, tunggangan, dan senjatanya), bahkan dalam keseluruhan kehidupan dan perangainya.” [Ibn Khaldun, Tarikh Ibn Khaldun, jld. 1 (al-Muqaddimah), hlm. 184]
Apabila bangsa penjajah dianggap kuat, maka mereka diangkat menjadi tuan yang mulia dan dijadikan contoh teladan. Sehinggakan, mempengaruhi cara hidup dan gaya kehidupan bangsa yang dijajah, termasuk segala budaya dan bahasanya.
Namun, semangat Islam yang masih tidak padam mendorong umat Islam untuk berjuang menentang penjajah bagi mencapai kemerdekaan sehingga beberapa abad. Bahkan, sehingga mengorbankan para pahlawan dan pemimpin daripada kalangan ulama’ dan raja-raja, sama ada kerana gugur syahid, dibuang, dipenjarakan ataupun dipinggirkan bersama umat yang setia.
Walaupun penjajah asing telah keluar dari tanah air tercinta, namun kesan-kesan penjajahan dan pengaruhnya masih tetap bertapak, malah makin teguh dan berpengaruh dalam negara yang dikatakan merdeka ini.
Dari aspek jasad bangsanya, mereka telah keluar, namun pengaruh ajarannya yang ditanam dalam diri rakyat masih bertapak dengan teguh. Malah, ternyata pengaruh kefahamannya yang merosakkan masih berkuasa dalam diri rakyat, masyarakat dan pemerintah yang masih meneruskan bentuk acuan peninggalan penjajah.
Para pemerintah ini meneruskan sistem dan cara hidup yang sama dengan penjajah, bahkan melangsungkan apa yang dirancang melalui acuan yang membentuk peribadi, masyarakat dan negara yang dikehendaki oleh penjajah. Hal ini menyebabkan tanah air umat Islam terus berada dalam keadaan lemah sehingga terus bergantung kepada mereka dalam segala aspek.
Penjajah telah menukar strategi peperangan bersenjata yang menakluk bumi dan jasad penduduk kepada peperangan halus yang merosakkan syakhsiah kemanusiaan melalui agenda pembangunan insan ciptaan mereka. Agenda ini dilaksanakan oleh umat kita sendiri yang menjadi bala tenteranya dengan jenama menarik kelahiran sekularisme dan kandungannya seperti reformasi, progresif, liberal, dan sebagainya.
Kita masih mengalami kerosakan moral akibat didedahkan dengan kehidupan di negara penjajah yang tidak berakhlak, serta meruntuhkan moral peribadi dan keluarga. Namun, kita masih meneruskan perangai yang dipengaruhi oleh penjajah yang tidak ada sempadan halal dan haram, dengan minum sehingga mabuk dan berkelakuan bebas seperti mereka, serta berbangga dengan budaya mereka.
Perjuangan kemerdekaan yang asal yang belum selesai hanya sekadar menyediakan perlembagaan, khususnya yang menegaskan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan. Sepatutnya, Islam hendaklah ditafsirkan dengan bahasa al-Quran daripada perkataan al-din.
Namun demikian, ia telah dirampas oleh kalangan yang dipengaruhi oleh penjajah, berbudaya penjajah dan fasih berbahasa penjajah. Lalu mereka dianggap sebagai kalangan yang paling bijak, berilmu, profesional dan bertokoh besar. Adapun semua yang lain dianggap bodoh walaupun berilmu, berjasa kepada masyarakat dan bijak, mereka tetap dianggap tidak berkelayakan.
Sehinggakan, para ulama’ yang alim dalam urusan agama dan telah berjasa mempertahankan jati diri umat di tanah air ini dipinggirkan. Bahkan, ditimbus dalam lipatan sejarah supaya dilupakan, dan dianggap bukan ilmuwan.
Pengajian Islam turut dilumpuhkan sehingga melahirkan ulama’ yang tidak bertafaqquh dalam urusan Islam. Sebaliknya, mereka menghabiskan masa bermuzakarah dan berkelahi dalam masalah cabang (khilafiah). Bahkan, yang paling lemah, mereka hanya layak menjadi imam solat berjemaah, menguruskan perkahwinan dan pengebumian jenazah, memimpin bacaan doa selamat, serta mendoakan seseorang agar murah rezeki dan panjang umur.
Kini, kita dapat menyaksikan kesan perkataan reformasi. Perkataan yang diimport daripada bahasa asal penjajah dan menjadi syiar kerajaan PH, yang didominasi Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang tegas dengan perjuangan sekularismenya itu, sekarang sedang membunuh diri sendiri sepertimana yang menimpa bangsa penjajah sendiri.
Walaupun mereka maju dari segi kebendaan, mereka runtuh dari segi kemanusiaan sehingga terjerumus ke tahap yang lebih parah daripada binatang yang tidak berakal. Kemajuan tersebut membakar diri mereka sendiri, sehingga merosakkan sesama manusia, institusi keluarga dan masyarakat dalam negara sendiri kerana bertuhankan nafsu dan kebendaan semata-mata.
Perangai mereka yang lebih ganas daripada binatang ini terbukti melalui kadar jenayah yang bertambah parah. Sehingga berlaku pembunuhan tanpa mengira sesiapa, termasuklah diri sendiri walaupun memiliki kekayaan harta dan kebebasan untuk mengikut nafsu sehingga melampaui sempadan fitrah manusia.
Kegagalan ini menyebabkan kuasa besar blok kiri melarikan diri daripada komunisme dan sosialisme menuju ke arah liberal kapitalisme, yang kini turut menunjukkan tanda-tanda sedang merudum. Namun, kita pula masih meneruskan ideologinya melalui agenda reformasi.
Hari ini, tempias kemusnahan sedang berjangkit dalam negara kita. Kalau dahulu, tidak ada orang Melayu Islam yang membunuh diri, tetapi sekarang sudah berlaku. Malah, perkara yang lebih ringan daripada itu juga lebih mudah berlaku seperti salah laku dalam satu keluarga dan kegiatan buli di sekolah yang menjadi tempat belajar dan mendidik, apatah lagi salah laku di luar yang lebih parah lagi. Lebih-lebih lagi pada zaman media terbuka bagaikan langit tanpa sempadan yang menjadi jalan baharu untuk memasukkan pengaruh asing, sehingga masuk ke dalam setiap bilik di rumah-rumah.
Mereka berjaya membentuk para pemimpin yang berkiblatkan pendidikan, politik, ekonomi dan lain-lain kepada negara penjajah untuk mengambil alih kepimpinan negara. Pemimpin-pemimpin ini bukan sekadar menjual maruah kepada penjajah, bahkan sedia menjemput penjajah datang lagi kerana dianggap penyelamat kemajuan negara, bukannya makhluk perosak.
Keadaan ini menyebabkan hasil tanah air yang melimpah ruah banyak yang hilang sia-sia kerana bocor akibat dirompak dan dicuri, manakala tenaga manusia pula tidak dimanfaatkan.
Kita menyaksikan wujudnya pemimpin yang sangat megah, apabila menjadi tuan rumah menerima penjajah yang paling besar dan sedia menjadi makmum dalam segala gerak-gerinya. Inilah kelemahan reformasi yang sedang berjalan sekarang, apabila bangsa kita sendiri mengambil alih peranan menjadi penjajah tanah air, sementara bangsanya menjadi abdi kepada penjajah dahulu.
Keadaan ini merobekkan perlembagaan yang telah diusahakan oleh pejuang kemerdekaan yang awal. Mereka telah merancang dan berusaha meneruskan perjuangan memutuskan rantai ikatan penjajah dan membebaskan tanah air dengan kemerdekaan yang sebenar, namun kini sedang dikhianati oleh penjajah baharu daripada kalangan bangsa sendiri.
Maka, muhasabah wajib dilakukan bagi meneruskan perjuangan kemerdekaan yang belum selesai dengan mengambil iktibar daripada sejarah.
Sebenarnya, sejarah kejatuhan kita berlaku selepas kita mengalami kelemahan dalam memanfaatkan ilmu kurniaan Allah yang menjadi acuan untuk membentuk manusia mengikut acuan kejadiannya. Ilmu kurniaan Allah memenuhi fitrah jasad, akal, roh, diri, keluarga, masyarakat dan negara yang kuat dan bertamadun, dan ini telah terbukti selama beberapa abad.
Keadaan bertukar setelah kerajaan Islam mengalami zaman nyanyuk kerana usianya yang tua dan sudah terlalu lama berkuasa. Firman Allah SWT:
وَإِذَآ أَرَدۡنَآ أَن نُّهۡلِكَ قَرۡيَةً أَمَرۡنَا مُتۡرَفِيهَا فَفَسَقُواْ فِيهَا فَحَقَّ عَلَيۡهَا ٱلۡقَوۡلُ فَدَمَّرۡنَٰهَا تَدۡمِيرٗا ١٦ وَكَمۡ أَهۡلَكۡنَا مِنَ ٱلۡقُرُونِ مِنۢ بَعۡدِ نُوحٖۗ وَكَفَىٰ بِرَبِّكَ بِذُنُوبِ عِبَادِهِۦ خَبِيرَۢا بَصِيرٗا ١٧
“Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kederhakaan dalam negeri itu, maka sudah selayaknya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya. (16) Dan berapa banyaknya kaum sesudah Nuh telah Kami binasakan. Dan cukuplah Tuhanmu Maha Mengetahui lagi Maha Melihat dosa hamba-hamba-Nya. (17)” [Surah al-Isra’: 16-17]
Akibatnya, kita meninggalkan acuan petunjuk Allah yang terbukti kejayaannya, berikutan kelemahan kerajaan Islam yang nyanyuk dan kejatuhannya pada abad yang lalu.
Walaupun tanah air dan umat Islam dijajah, namun cahaya Islam yang terpelihara dalam al-Quran dan khazanah ilmunya gagal dipadamkan. Hal ini menyebabkan kalangan umat yang dilekakan itu membuka mata untuk kembali semula bergantung kepada Islam.
Allah mengulangi cerita dalam al-Quran sebagai mukjizat ilmu daripada-Nya. Antaranya, mengenai Firaun yang menentang Allah sehingga membunuh anak-anak yang dilahirkan. Akan tetapi, ada anak yang dipelihara dalam istananya sendiri, iaitu Musa AS yang menjadi cahaya yang meneruskan perjuangan membakar kerajaan Firaun yang berkuasa besar itu.
Kini, terdapat dalam kalangan anak-anak umat Islam yang dipelihara oleh penjajah, setelah menyaksikan kemusnahan ideologi penjajah dalam negaranya, insaf dan kembali semula kepada Islam.
Di tanah air kita pula, bangsa Melayu yang mendominasi penduduk gagal dimurtadkan. Walau sejahil mana sekalipun, mereka tetap beranggapan bahawa Melayu dan Islam adalah satu dan tidak boleh dipisahkan, sehingga perkataan Islam dan Melayu menjadi satu. Hanya sebahagian sahaja yang berjaya ditawan penjajah, sehingga melupakan bangsa dan agamanya.
Maka, kerja kita dapat dipermudah dengan menyatukan semula kalangan Melayu Islam menjadi satu kekuatan politik yang berkuasa mengembalikan Islam. Islam ialah agama yang berkonsepkan kemanusiaan dan tidak memaksa beragama Islam kepada masyarakat majmuk, tetapi menegaskan kuasa Islam yang adil kepada semua.
Maka, ia tidak patut ditakuti oleh masyarakat bukan Islam. Hal ini demikian kerana, bukti dalam ajaran Islam dan sejarahnya telah menunjukkan bahawa masyarakat bukan Islam yang dibawa oleh penjajah dapat terus berada dengan aman dalam kalangan masyarakat Melayu Islam.
Islam mempunyai acuan daripada Allah dalam pembangunan manusia. Allah menegaskan dalam wahyu yang pertama dengan firman-Nya:
ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِي خَلَقَ ١ خَلَقَ ٱلۡإِنسَٰنَ مِنۡ عَلَقٍ ٢ ٱقۡرَأۡ وَرَبُّكَ ٱلۡأَكۡرَمُ ٣ ٱلَّذِي عَلَّمَ بِٱلۡقَلَمِ ٤ عَلَّمَ ٱلۡإِنسَٰنَ مَا لَمۡ يَعۡلَمۡ ٥
“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang Menciptakan. (1) Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. (2) Bacalah, dan Tuhan kamulah Yang Maha Pemurah. (3) (Tuhan) yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. (4) Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya. (5)” [Surah al-‘Alaq: 1-5]
Allah telah mengutuskan acuan wahyu kepada masyarakat jahiliah yang kosong nilai dan berada di padang pasir yang paling terpencil bersama rasul akhir zaman. Mereka dikurniakan mukjizat ilmu (al-Quran) dan kebijaksanaan sepertimana yang diciptakan oleh Allah.
Bangsa Arab yang bersifat paling jahiliah itu dibentuk dengan ilmu wahyu, yang membentuk peribadi mereka dengan iman dan akhlak yang mulia. Di samping itu, mereka turut mengambil ilmu manusia yang bermanfaat yang telah ada di seluruh pelosok dunia yang bersifat madani, walaupun daripada tamadun yang telah musnah, dengan memilih mana yang baik dan meninggalkan mana yang merosakkan.
Melalui ilmuwan yang memeluk Islam dan yang belum memeluk Islam, tetapi berada di bawah kerajaan Islam, ilmu-ilmu ini dibawa masuk ke dalam masyarakat Islam. Proses ini berlaku setelah segala ilmu itu diterjemahkan ke dalam bahasa umat Islam dan diisi dengan hidayah yang memandunya, sehingga benar-benar berfungsi memakmurkan bumi sepertimana yang diwajibkan oleh Allah kepada manusia.
Perjalanannya mengikut roadmap sepertimana firman Allah SWT:
لِإِيلَٰفِ قُرَيۡشٍ ١ إِۦلَٰفِهِمۡ رِحۡلَةَ ٱلشِّتَآءِ وَٱلصَّيۡفِ ٢ فَلۡيَعۡبُدُواْ رَبَّ هَٰذَا ٱلۡبَيۡتِ ٣ ٱلَّذِيٓ أَطۡعَمَهُم مِّن جُوعٖ وَءَامَنَهُم مِّنۡ خَوۡفِۢ ٤
“Kerana kebiasaan orang-orang Quraisy. (1) (Iaitu) kebiasaan mereka berpergian pada musim dingin dan musim panas. (2) Maka, hendaklah mereka menyembah Tuhan Pemilik rumah ini (Kaabah). (3) (Tuhan) yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan juga mengamankan mereka daripada ketakutan. (4)” [Surah Quraisy: 1-4]
Negara yang berasaskan aqidah beribadah kepada Allah semata-mata, syariat dan akhlak bagi membina insan yang kuat dari segi kuasa politik dan ekonominya. Melalui negara Madinah (madani acuan Allah), Islam berjaya memimpin masyarakat majmuk berasaskan perpaduan Islam dan kemanusiaan yang berkonsepkan tanpa paksaan beragama dan adil kepada semua. Hal ini menjadi amanah terbesar daripada Allah yang wajib dipimpin oleh Islam kerana kesempurnaannya.
Maka, negara Madinah diterima oleh masyarakat majmuk berbagai-bagai bangsa, agama dan budaya, sehingga berkuasa dan menjadi kuasa besar. Adapun kuasa-kuasa besar yang lain leka, lalu jatuh dan berkecai.
Dalam menggalakkan perkembangan ilmu, Islam menggalakkan umat Islam mencari ilmu dari seluruh dunia dan semua tamadun bangsa dalam berbagai-bagai bahasa. Maka, tidak dilarang mempelajari sebanyak-banyak bahasa bagi menimba ilmu, tetapi diperkasakan dengan satu bahasa sendiri bagi sesebuah negara.
Di samping bahasa Arab (bahasa al-Quran), semua bahasa kaum yang mendominasi umat Islam diangkat menjadi bahasa negara dengan menterjemahkan ilmu sebanyak-banyaknya kepada bahasa umat Islam. Tujuannya bagi mengislamkan ilmu dan membanyakkan ilmu dalam kalangan umat Islam, sama ada ilmu fardu ain ataupun fardu kifayah (semuanya wajib).
Dengan itu menjadikan umat Islam umat yang paling berilmu dalam segala lapangan. Inilah punca kekuatan umat Islam dalam segala aspek kehidupan, sehingga negara Islam menjadi kuasa besar politik, ekonomi dan ketenteraan yang menguasai dunia selama beberapa abad.
Kejatuhan kuasa besar Islam ‘Uthmaniyyah pada abad yang lalu bermula dengan zaman nyanyuk akibat kelemahan ilmu pembangunan insan dan negara. Selain itu, mereka juga tidak mempedulikan seruan islah kepada Islam yang sempurna oleh para ulama’ mujaddid kerana tertarik dengan gerakan reformasi di Eropah yang bersifat sekularisme.
Maka, bahasa Eropah sahaja dijadikan bahasa ilmu dengan meninggalkan bahasa sendiri. Di samping penjajah menyebarkan pengaruhnya termasuk dalam aspek bahasa, dihantar pula ramai anak negeri ke negara penjajah bersama kesan pendidikannya yang diatur masuk ke dalam masyarakat kita atas nama meniru reformasi Barat.
Kamal Ataturk ialah tokoh yang paling menonjol ke hadapan dalam melakukan reformasi Barat selepas menjatuhkan kerajaan ‘Uthmaniyyah dengan cara yang ekstrem. Rakyat Turkiye dipaksa menukarkan pakaian mereka kepada pakaian Barat, wanita diharamkan memakai tudung, tarbus (kopiah Turki) juga diharamkan, malah sistem tulisan Turki diubah daripada huruf al-Quran kepada huruf Latin dan al-Quran kepada huruf Barat. Bukan itu sahaja, azan dan solat ditukarkan ke dalam bahasa Turki dan Islam dipisahkan daripada urusan dunia sehingga mewajibkan sekularisme dalam perlembagaan.
Namun, usaha-usaha itu masih gagal mengembalikan Turkiye sehingga maju menjadi kuasa besar semula. Sebaliknya, semakin meleset dan merempat dengan lebih parah kerana mengalami kegagalan reformasi yang melanda negara yang melakukannya, sama ada daripada blok Timur yang melompat ke arah Barat atau blok Barat yang mahu terjun dan menebuk bahteranya.
Maka, pelopor reformasi di Malaysia yang bergantung dan ada yang terus menjadi penumpang kepada blok Barat akan ikut tenggelam bersama bahteranya. Kini, Amerika Syarikat yang paling dominan memimpin negara-negara Barat sedang meraba-raba mencari pelampung penyelamat. Ia cuba menyerang negara yang memiliki banyak sumber hasil yang diharap dapat menjadi nafas sementaranya.
Maka, kita wajib mengambil teladan daripada Rasulullah SAW yang bermula dengan menyatupadukan bangsa Arab bersama Islam yang mendukung perjuangannya bagi menegakkan kuasa Islam. Seterusnya, melaksanakan keadilan kepada seluruh manusia kerana keperluan rasul itu dilindungi oleh bangsanya sendiri mengikut ketetapan Allah sepertimana firman-Nya:
وَمَآ أَرۡسَلۡنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوۡمِهِۦ لِيُبَيِّنَ لَهُمۡۖ فَيُضِلُّ ٱللَّهُ مَن يَشَآءُ وَيَهۡدِي مَن يَشَآءُۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ ٤ وَلَقَدۡ أَرۡسَلۡنَا مُوسَىٰ بَِٔايَٰتِنَآ أَنۡ أَخۡرِجۡ قَوۡمَكَ مِنَ ٱلظُّلُمَٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ وَذَكِّرۡهُم بِأَيَّىٰمِ ٱللَّهِۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّكُلِّ صَبَّارٖ شَكُورٖ ٥
“Kami tidak mengutus seorang rasul pun, melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya ia dapat memberi penjelasan dengan terang kepada mereka. Maka, Allah menyesatkan sesiapa yang Dia kehendaki, dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Dialah Tuhan Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana. (4) Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Musa dengan membawa ayat-ayat Kami, (dan Kami perintahkan kepadanya), ‘Keluarkanlah kaummu dari gelap-gelita kepada cahaya terang benderang dan ingatkanlah mereka kepada hari-hari Allah.’ Sesungguhnya, pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi setiap orang penyabar dan banyak bersyukur. (5)” [Surah Ibrahim: 4-5]
Maka, langkah menyatukan Melayu Islam wajib dijayakan bagi menyelamatkan negara bermasyarakat majmuk ini, tanpa ragu-ragu terhadap kemampuan Islam yang sempurna. Langkah ini harus dilaksanakan kerana ciri-ciri al-din yang terdapat pada Islam tidak ada pada semua ajaran yang lain.
Hal ini bagi mengambil teladan daripada Rasulullah SAW yang menyatukan bangsa Arab, seterusnya berlaku giliran kalangan bangsa yang mendominasi umat Islam mengikut firman Allah SWT:
… وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم ٣٨
“…Dan jika kamu berpaling nescaya Dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini.” [Surah Muhammad: 38]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 24 Jumada al-Akhirah 1447 / 15 Disember 2025
[Bil: 86 / 2025]




























