KUALA TERENGGANU – Kebersamaan menjadi asas kekuatan dalam memastikan setiap inisiatif yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan dan memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
Setiausaha PAS Terengganu Dato’ Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah menambah, sebagai Wakil Rakyat sebarang inisiatif tidak akan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya tanpa sokongan, kerjasama erat serta komitmen berterusan daripada pelbagai pihak.
“Terima kasih kepada pasukan Medic Aid yang diwakili oleh Pengerusinya, Dr. Syariz Izry Sehat yang hadir ke DUN Wakaf Mempelam pada hari ini bagi menyempurnakan penyerahan 200 beg sekolah kepada anak-anak daripada golongan kurang berkemampuan di dalam DUN Wakaf Mempelam.
“Terima kasih juga kepada Iman Care yang turut sama menyumbang dan menjayakan pelaksanaan bantuan ini melalui sumbangan 100 beg sekolah.” ujarnya.


ADUN Wakaf Mempelam itu berkata demikian selepas Program Kembali Ke Sekolah, bagi DUN tersebut, semalam.
Selain menerima bantuan beg sekolah, kata Ustaz Wan, anak-anak juga menerima sepasang baju persekolahan sebagai persediaan untuk memulakan sesi persekolahan penggal baru ini dengan lebih selesa dan bersemangat.
“Semoga segala sumbangan dan usaha murni ini mendapat ganjaran kebaikan daripada Allah SWT serta menjadi asbab kepada kesejahteraan dan masa depan yang lebih baik buat anak-anak kita.” kata beliau
Seramai 300 orang pelajar mendapat sumbangan perakatan sekolah bernlai RM200 seorang.































