Kebangkitan Kuasa Baharu di Benua Afrika Menggerunkan Barat

514

Burkina Faso, Mali dan Niger adalah tiga buah negara di wilayah Sahel, Afrika Barat yang majoriti penduduknya adalah orang Islam telah mengalami perubahan besar ketika ini apabila pengaruh dan penguasaan asing khususnya Perancis telah berakhir berikutan rampasan kuasa di Burkina Faso dan Niger pada 2023 dan Mali pada tahun 2021.

2- Rentetan itu, ketiga-tiga buah negara telah memutuskan kerjasama ketenteraan dengan Perancis serta mengusir keluar tentera Perancis yang berpengkalan di negara masing-masing. Di Niger pula, tentera Amerika Syarikat di minta mengosongkan pengkalan tenteranya dan menggantikannya dengan tentera Rusia.

3- Ia secara tidak langsung telah menandakan bermulanya perluasan pengaruh Rusia di benua Afrika yang selama ini didominasi oleh Perancis sejak zaman kolonialisme yang telah mengorbankan ribuan nyawa dan menjarah hasil bumi yang cukup kaya dengan galian berharga.

4- Perkembangan ini menyebabkan Kesatuan Eropah (EU) khususnya Perancis berusaha membendung perluasan pengaruh Rusia ke negara Afrika lain dan menekan Rusia dalam perang di Ukraine.

5- Kesatuan ketiga-tiga negara ini dan hubungannya dengan Rusia tidak disenangi Barat dan mula menekan ECOWAS, Komuniti Ekonomi Negara-Negara Afrika Barat yang dikuasainya untuk mengancam ketiga-tiga buah negara tersebut dengan memutuskan bantuan ekonomi, pemulauan termasuk ancaman tindakan ketenteraan ke atas Mali dan Niger.

6- Demi menjaga keselamatan dan kemakmuran bersama berikutan peningkatan usaha pencerobohan, serangan dan cubaan rampasan kuasa daripada kumpulan pengganas yang ditaja Barat, tekanan ECOWAS dan ancaman langsung Barat, maka ketiga-tiga buah negara di atas menandatangani perjanjian yang dikenali sebagai “Alliance of Sahel States”.

7- Ia adalah perjanjian kerjasama ketenteraan dan konfederasi (gabungan atau intergrasi) antara ketiga-tiga buah negara dari sudut ekonomi dan wilayah yang hampir sama dengan Kesatuan Eropah. Pertengahan tahun lalu, Burkina Faso, Mali dan Niger telah menandatangani perjanjian ke arah intergrasi yang lebih besar ke atas ketiga-tiga buah negara.

8- Awal tahun ini, tiga buah negara tersebut mengejutkan banyak pihak apabila mengumumkan keluar dari gabungan blok Afrika Barat ECOWAS yang dikuasai oleh Barat. Ia menandakan bermulanya era baharu buat ketiga-tiga buah negara yang secara tidak langsung menandakan kebangkitan negara-negara Afrika khususnya yang majoriti beragama Islam dari pengaruh kekuasaan dan cengkaman Barat.

“Bebaskan Masjid Al-Aqsa, Merdekakan Palestin”

YB Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi
Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa dan Hal Ehwal Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk

#batuburuksejahtera
#terengganumajuberkatsejahtera