Kami, sebagai ahli-ahli Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pemeteraian Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dari kalangan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang bergabung dalam Kongres Rakyat ingin menyampaikan bantahan terhadap kemungkinan kerajaan Malaysia akan menandatangani perjanjian TPPA kepada Y.A.B. Perdana Menteri.
Seperti mana yang sudah sedia maklum, rundingan mengenai isi kandungan TPPA telah dimuktamadkan pada 5 Ogos 2015 di antara wakil-wakil kerajaan melibatkan Malaysia dan 11 negara anggota yang lain di Atlanta , Amerika Syarikat . Mengikut ‘time plan’ yang dibentangkan oleh MITI, proses perdebatan Parlimen dan kabinet membuat keputusan akan berlangsung pada Januari tahun hadapan.
Walaubagaimanapun, perjanjian TPPA telah mencetuskan kontroversi dalam beberapa aspek melibatkan bukan sahaja penguasaan ekonomi dan kedaulatan negara, malah berkaitan juga dengan pencerobohan terhadap undang-undang dan dasar negara.
TPPA jelas mengambil contoh teks Perjanjian Perdagangan Bebas US (USFTA) yang pernah digunakan semasa rundingan bilateral US dengan negara-negara lain termasuklah Malaysia. 43 daripada 63 negara yang terlibat dalam rundingan teks perjanjian berkenaan telah dilaporkan menarik diri. Begitu juga perjanjian TTIP yang merupakan TPPA ‘versi Eropah’ juga mendapat tentangan yang hebat daripada masyarakat di sana.
Sepanjang perundingan TPPA itu , ia telah berjalan dalam penuh kerahsiaan. Pada hal dalam perundingan terhadap teks perjanjian itu yang mengandungi 29 bab itu, ia menyentuh hampir semua hal ehwal kepentingan negara dan rakyat. Perundingan yang dijalankan secara rahsia inilah yang menimbulkan kesangsian rakyat. Kenapa perkara yang sebesar ini tidak mahu dirunding secara telus?
Kami ingin mengulangi pendirian bahawa perjanjian TPPA adalah berat sebelah apabila tidak “bermula di garisan yang sama” di samping tidak menyediakan padang yang sama rata.
Antara faktor utama yang mendorong kepada bantahan ini adalah isu kedaulatan negara (national sovereignty) disebabkan klausa ‘Investor-State Dispute Settlement’ (ISDS) yang jelas bakal mengheret Malaysia ke lembah bahaya. Meskipun kerajaan memberikan maklum balas bahawa Malaysia sudah mempunyai 74 perjanjian perdagangan dua hala yang turut memuatkan klausa tersebut, kami menegaskan bahawa implikasinya adalah tidak sama. Risiko negara dihadapkan ke Tribunal Perdagangan Antarbangsa yang berpusat di Amerika Syarikat akan membawa implikasi yang sangat berat kepada status ekonomi dan dasar negara. Malaysia perlu mengambil iktibar kepada beberapa negara seperti Kanada yang telah dikenakan tindakan undang-undang oleh syarikat pelabur Amerika Syarikat bila didapati melanggar perjanjian perdagangan yang di meterai dengan Amerika Syarikat.
Selain itu, kemampuan syarikat-syarikat tempatan bersaing dengan syarikat-syarikat gergasi luar juga menjadi faktor penting penolakan kami terhadap TPPA.
Kami meyakini peranan dan keampuhan syarikat-syarikat tempatan yang begitu banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Pihak kerajaan tidak seharusnya berkompromi dengan mendedahkan risiko syarikat tempatan ditenggelamkan oleh syarikat-syarikat multinasional (MNCs) yang mempunyai kedudukan kewangan, pengurusan dan tenaga kerja yang jauh lebih kukuh berbanding syarikat lokal di Malaysia.
Kami juga sangat prihatin terhadap isu hak harta intelek yang semakin hebat diperdebatkan oleh pelbagai pihak terutama dikalangan mahasiswa dan tenaga pengajar di bidang akademik. Kesukaran untuk mendapat akses kepada bahan kajian ilmiah dalam bidang pendidikan akan membeban mereka bagi menjalankan penyelidikan.
Kami mengesa YAB Dato Sri mengambil perhatian serius kepada pandangan yang dikemukakan Professor Jane Kesley dari Universiti Auckland. Beliau menyebutkan ; “TPPA has nothing to do with trade.” Begitu juga pandangan Joseph E Stiglitz dan Adam S Harsh, tokoh ekonomi dunia yang menyebutkan “TPPA beyond just cutting tariffs and quotas, it also gives mandate changes in legal, judicial and regulatory”.
Kewaspadaan dan pandangan kritikal pakar ekonomi dunia ini terhadap TPPA seharusnya diambilkira dengan serius oleh kerajaan.
Kami ingin mengingatkan bahawa penguasaan ekonomi dunia oleh Amerika Syarikat hari ini bukan sahaja kerana mahu memonopoli perdagangan dunia tetapi lebih kepada penguasaan geopolitik antarabangsa. TPPA dan pelbagai perjanjian lain yang dimeterai dengan Amerika Syarikat bertujuan mengukuhkan kepentingannya dipelbagai arena dunia.
Kami mengesa agar YAB Dato Seri tidak mengambil keputusan menandatangani TPPA. Kami menyuarakan bantahan ini bersama dengan semua Ngo yang bergabung dengan Kongres Rakyat demi memastikan masa depan dan kedaulatan negara tidak terjejas.
Hj Mohd Azmi bin Abdul Hamid
Pengerusi Kongres Rakyat.
***Memorandun Bantahan Pemeteraian TPPA diatas telah dihantar kepada kepada Perdana Menteri Malaysia pada 25 Oktober lalu dan diserahkan kepada ahli-ahli Parlimen Malaysia semalam 4 November, di bangunan Parlimen






























