Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pernah menempa sejarah menumbuhkan benih perjuangannya walaupun satu yang kecil, tidak boleh dihancurkan oleh beberapa kali tsunami politik, akhirnya membesar dan membiak dengan jumlah yang lebih besar dan bertambah banyak.
Bermula dengan satu kerusi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Pertama Persekutuan prakemerdekaan pada 1955, iaitu hanya satu kerusi di Kerian Laut, Perak, kini memiliki Ahli Parlimen terbesar seramai 43 orang dan memerintah empat kerajaan negeri, di samping mempunyai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terbesar di beberapa negeri dan Ahli DUN (ADUN) di semua negeri di Semenanjung Malaysia. Terkini, PAS tumbuh satu di Malaysia Timur menjadi benih pertama yang bertapak di buminya.
Karambunai dengan izin Allah menjadi benih pertama di Malaysia Timur yang akan mengembangkan pengaruh perjuangan Islam di tanah air kita dan menjadikannya lebih kuat. Maka, kita memanjatkan syukur yang tidak terhingga kepada Allah. Ada yang menangis kerana terlalu gembira dan besarnya harga kemenangan, walaupun hanya satu kerusi sahaja.
Perjuangan petunjuk al-Quran sebagai hidayah daripada Allah berbeza dengan teori para pemikir manusia yang tidak berhidayah. Islam itu panjang wawasannya daripada dunia sehingga akhirat.
Firman Allah SWT:
أَلَمۡ تَرَ كَيۡفَ ضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلٗا كَلِمَةٗ طَيِّبَةٗ كَشَجَرَةٖ طَيِّبَةٍ أَصۡلُهَا ثَابِتٞ وَفَرۡعُهَا فِي ٱلسَّمَآءِ ٢٤ تُؤۡتِيٓ أُكُلَهَا كُلَّ حِينِۢ بِإِذۡنِ رَبِّهَاۗ وَيَضۡرِبُ ٱللَّهُ ٱلۡأَمۡثَالَ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمۡ يَتَذَكَّرُونَ ٢٥ وَمَثَلُ كَلِمَةٍ خَبِيثَةٖ كَشَجَرَةٍ خَبِيثَةٍ ٱجۡتُثَّتۡ مِن فَوۡقِ ٱلۡأَرۡضِ مَا لَهَا مِن قَرَارٖ ٢٦ يُثَبِّتُ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ بِٱلۡقَوۡلِ ٱلثَّابِتِ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَفِي ٱلۡأٓخِرَةِۖ وَيُضِلُّ ٱللَّهُ ٱلظَّـٰلِمِينَۚ وَيَفۡعَلُ ٱللَّهُ مَا يَشَآءُ ٢٧
“Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimah yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit. (24) Pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat. (25) Dan perumpamaan kalimat yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat tetap (tegak) sedikit pun. (26) Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan memperbuat apa-apa yang Dia kehendaki. (27)” [Surah Ibrahim: 24–27]
Kalimah yang baik ialah perjuangan menegakkan aqidah Islamiah (keimanan) dan hidayah Allah. Kalimah yang buruk pula ialah perjuangan ciptaan manusia yang salah menolak keimanan, sama ada berkonsepkan rakyat ataupun harta (ekonomi).
Perjuangan menegakkan Islam diwajibkan kepada orang-orang yang beriman supaya memenangkan Islam agar berkuasa mengatasi segala ajaran yang lain. Firman Allah SWT:
هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ ٩
“Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya atas segala agama, meskipun orang-orang Musyrik membenci.” [Surah al-Saff: 9]
Laksana pokok yang baik menumbuhkan akar tunjang ke dalam bumi yang dalam bersama akar-akar bagi meneguhkan, sehingga tidak boleh dicabut oleh banjir yang besar.
Di atasnya pula menumbuhkan dahan dan ranting yang makin meninggi. Kalau dipotong, maka membanyakkan lagi tunas yang tumbuh menjadi cabang yang menghasilkan buah pada setiap musim atau tanpa musim.
Kalau dicantas dahannya, maka keluar pula tunas yang menjadi cabang yang banyak, lalu menjadi hasil yang lebih bermanfaat kepada semua yang bernaung di bawahnya. Inilah perjalanan perjuangan Islam.
Adapun pokok yang tidak baik, akarnya lemah yang boleh tercabut mahupun dicabut oleh angin yang kuat atau manusia yang khianat. Begitulah nasib perjuangan yang tidak bertunjangkan aqidah hidayah Allah, Tuhan semesta alam Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
Seluruh dunia menyaksikan bahawa ideologi dan teori bertuhankan kuasa rakyat akhirnya jatuh ditolak oleh rakyat kerana sifat kelemahan yang berakhir dengan menipu rakyat. Begitu juga yang bertuhankan ekonomi (harta) akhirnya tenggelam bersama kemewahan harta disebabkan nafsu mereka tidak dikawal oleh roh kerana menolak agama yang menjadi keperluan roh atau meminggirkan peranannya dalam mengawal nafsu dalam diri manusia.
Allah berjanji bahawa cahaya hidayah-Nya tidak boleh dipadamkan. Firman Allah SWT:
يُرِيدُونَ لِيُطۡفِـُٔواْ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفۡوَٰهِهِمۡ وَٱللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡكَٰفِرُونَ ٨
“Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah (justeru) menyempurnakan cahaya-Nya, walaupun orang-orang kafir membenci.” [Surah al-Saff: 8]
Dalam sejarah, dunia Islam pernah kehilangan negara di Eropah Selatan dan Asia Tengah, selain jatuhnya kuasa besar Islam dan tanah airnya dijajah, namun cahaya Islam tetap bernyala dan kini menembusi sempadan negara yang paling bermusuh terhadap Islam.
Di negara kita, kerusi yang dimenangi PAS pernah berjaya dibenamkan dalam pilihan raya dan negeri yang diperintah sehingga kerajaannya dijatuhkan, namun ahli PAS terus bertambah dan gerak kerjanya terus hidup, bahkan banyak yang bangkit semula dengan lebih kuat, menandakan benihnya tidak boleh dimatikan.
PAS tidak rebah dengan dikhianati perjuangannya, kehilangan pemimpin, atau diharamkan beberapa perjalanannya. Kini, PAS mencapai kejayaan yang lebih besar, walaupun dianggap kecil oleh musuh.
Semua ideologi menunjukkan kelemahannya, sehingga jatuh kerajaan atau hilang pemimpin yang tidak mampu bangkit semula.
Sila baca sejarah masing-masing pada zaman purba atau terkini dengan ikhlas. Semuanya tidak boleh bertahan dengan kota yang kukuh, kekayaan yang melimpah-ruah, mahupun bala tentera yang besar. Allah SWT memberikan peringatan kepada manusia yang berada dalam negara masing-masing dengan firman-Nya:
وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡهِم بَرَكَٰتٖ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَٰهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ ٩٦ أَفَأَمِنَ أَهۡلُ ٱلۡقُرَىٰٓ أَن يَأۡتِيَهُم بَأۡسُنَا بَيَٰتٗا وَهُمۡ نَآئِمُونَ ٩٧ أَوَ أَمِنَ أَهۡلُ ٱلۡقُرَىٰٓ أَن يَأۡتِيَهُم بَأۡسُنَا ضُحٗى وَهُمۡ يَلۡعَبُونَ ٩٨ أَفَأَمِنُواْ مَكۡرَ ٱللَّهِۚ فَلَا يَأۡمَنُ مَكۡرَ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلۡقَوۡمُ ٱلۡخَٰسِرُونَ ٩٩ أَوَ لَمۡ يَهۡدِ لِلَّذِينَ يَرِثُونَ ٱلۡأَرۡضَ مِنۢ بَعۡدِ أَهۡلِهَآ أَن لَّوۡ نَشَآءُ أَصَبۡنَٰهُم بِذُنُوبِهِمۡۚ وَنَطۡبَعُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمۡ فَهُمۡ لَا يَسۡمَعُونَ ١٠٠
“Sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatan mereka. (96) Maka adakah penduduk negeri-negeri itu merasa aman daripada kedatangan seksaan Kami kepada mereka pada malam hari pada waktu mereka sedang tidur? (97) Atau adakah penduduk negeri-negeri itu merasa aman daripada kedatangan seksaan Kami kepada mereka pada waktu matahari sepenggalah naik ketika mereka sedang bermain? (98) Maka adakah mereka merasa aman daripada azab Allah (yang tidak terduga-duga)? Tiada yang merasa aman daripada azab Allah kecuali orang-orang yang merugi. (99) Dan adakah belum jelas bagi orang-orang yang memusakai suatu negeri sesudah (lenyap) penduduknya, bahawa kalau Kami menghendaki, tentu Kami azab mereka kerana dosa-dosa mereka; dan Kami kunci mati hati mereka sehingga mereka tidak dapat mendengar (pelajaran lagi)? (100)” [Surah al-A‘raf: 96–100]
PAS mewajibkan baiah dan sumpah setia kepada para pemimpin, khususnya kepada mereka yang dicalonkan dalam pilihan raya supaya tidak mengkhianati perjuangan Islam. Kini, PAS berjaya menunjukkan kerajaan yang bersih daripada salah laku seperti rasuah dan khianat.
Maka, hanya satu kerusi di Karambunai menjadikan seluruh ahli PAS bersyukur kerana percaya akan janji Allah SWT:
وَإِذۡ تَأَذَّنَ رَبُّكُمۡ لَئِن شَكَرۡتُمۡ لَأَزِيدَنَّكُمۡۖ وَلَئِن كَفَرۡتُمۡ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٞ ٧
“Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan, ‘Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (ni‘mat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (ni‘mat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.’” [Surah Ibrahim: 7]
Firman Allah SWT:
وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ كَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَهُمُ ٱلَّذِي ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنٗاۚ يَعۡبُدُونَنِي لَا يُشۡرِكُونَ بِي شَيۡـٔٗاۚ وَمَن كَفَرَ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ ٥٥
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan Dia sungguh-sungguh akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahku-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu pun dengan Aku. Dan sesiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” [Surah al-Nur: 55]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 12 Jumada al-Akhirah 1447 / 3 Disember 2025
[Bil: 83 / 2025]





























