Jangan Terpengaruh Dengan ‘Antivaksin’

1685

Terdapat pihak yang menentang pemberian vaksin dengan mereka-reka berita buruk mengenai vaksin polio. Apabila berlaku satu kes kanak-kanak yang disahkan dijangkiti polio [1], mereka terus menghentam sistem pemberian imunisasi kebangsaan kerana puncanya konon dari vaksin polio yang diberikan itu sendiri.
.
Perlu ditegaskan bahawa negara kita sudah menukar pemberian vaksin polio dari berbentuk titisan mulut ke suntikan bermula tahun 2008. Perlaksanaan sepenuhnya penukaran tersebut selesai pada tahun 2016. Terdapat dua kaedah pemberian vaksin polio, titisan dalam mulut (OPV) dan suntikan (IPV). Di negara kita sekarang ini menggunakan kaedah suntikan disekalikan dengan vaksin lain seperti Vaksin Difteria, Tetanus, Pertusis dan Hemofilus Influenza (5 Serangkai). Justeru tidak timbul persoalan bahawa kejadian polio di Sabah itu berpunca dari pemberian vaksin IPV.
.
Pihak kementerian kesihatan membuat penegasan ini melalui kenyataan terbaharu YB Menteri Kesihatan kerana sebaran media sosial golongan yang menentang pemberian vaksin mula disebarkan [2]. Antara dakwaan mereka bahawa kejadian yang berlaku di Sabah itu adalah berpunca dari vaksin yang diberikan kepada bayi berkenaan. Bukalah mata, bahawa setelah perlaksanaan menyeluruh imunisasi kebangsaan, tiada satu kes polio pun dalam negara kita. Bahkan Malaysia telah pun diistiharkan pupus Polio pada taun 2000. Sedangkan aktiviti vaksinasi Polio terus berjalan bagi mengekalkan tahap perlindungan optima melebihi 95%.
.
Namun kenapa kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia sebelum ini menyatakan bahawa kejadian polio terbaharu disebabkan oleh Virus-Terbitan-Vaksin-Polio (Circulating Vaccine Derived Polio Virus – cVDPV)? Atas penggunaan istilah inilah pihak antivaksin cuba mengelirukan orang ramai.
.
Kita menyeru orang ramai agar tidak terpengaruh dengan dakyah palsu serta andaian jahat dari pihak berkenaan. Malah mereka tidak mempunyai kredibiliti pun membuat kenyataan liar tersebut. Mereka bukan ahli perubatan atau pengkaji yang sahih.
.
Isu cVDPV ini sudah lama dibincangkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Pemantauan yang ketat telah pun dijalankan dan negara Malaysia juga terlibat dalam pemantauan itu. Sejak tahun 2000, lebih daripada 10 bilion dos OPV telah diberikan kepada hampir 3 bilion kanak-kanak di seluruh dunia. Akibatnya, lebih daripada 13 juta kes polio telah dicegah, dan penyakit itu telah dikurangkan lebih daripada 99%. Pada masa yang sama, 24 wabak kejadian cVDPV berlaku di 21 buah negara. Kurang dari 760 kes cVDPV seluruh dunia berlaku pada masa ini.
.
Untuk pengetahuan semua, Vaksin polio oral (OPV) mengandungi virus vaksin yang lemah (lemah). Apabila seseorang kanak-kanak diimunisasi dengan OPV, virus vaksin yang lemah bertindak balas dalam usus untuk tempoh yang tertentu, akhirnya ia akan membina sistem pertahanan badan -antibodi. Keberkesanan dan keselamatannya telah terbukti dengan penurunan kes secara mendadak seluruh dunia.
.
Cuma, apa yang berlaku dalam kes cVDPV ini adalah, semasa vaksin dikumuhkan melalui najis. Virus polio yang lemah tadi berisiko berlaku mutasi disebabkan beberapa faktor.
.
Faktor pertama adalah kebersihan setempat dan sanitasi yang tidak berkesan. Di mana virus lemah dalam najis yang dikeluarkan ini boleh menyebar ke dalam komuniti mula manjadi liar jika terdapat rantaian jangkitan yang berterusan. Proses mutasi tidak berlaku di dalam najis, tetapi mutasi ini berlaku hanya dalam badan manusia atau monyet. Walaupun manusia yang telah dijangkiti dengan virus yang bermutasi ini bertindakbalas dalam tahap imuniti tertentu, virus liar berkenaan semakin kuat dan akhirnya menjadi bahaya sehingga menyerang pesakit.
.
Faktor kedua yang menjadi kerisauan kita adalah liputan pemberian vaksin tidak mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu lebih dari 95%. Kawasan yang tidak mencapai sasaran itu mempunyai risiko tinggi untuk virus polio liar beredar menjangkiti dari individu ke individu. Kajian mendapati peredaran cVDPV ini sekurang-kurangnya 12 bulan akan mencetuskan kegawatan dan jangkitan yang bahaya. Oleh yang demikian aktiviti imunisasi rutin atau tambahan (SIAs) perlu diadakan dari masa ke semasa. Jika tidak dijalankan dan populasi yang tersisa terdedah kepada poliovirus, sama ada dari poliovirus yang berasal dari Virus-Terbitan-Vaksin-Polio atau liar (dari mana-mana sumber luar). Oleh itu, masalahnya bukan dengan vaksin itu sendiri, tetapi liputan vaksinasi yang rendah. Sekiranya populasi divaksinkan sepenuhnya, mereka akan dilindungi daripada kedua-dua poliovirus itu.
.
Cuma kebimbangan kita, cVDPV itu datang dari negara jiran yang sudah tentu sukar disekat. Kenyataan dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia membayangkan kemungkinan kes yang berlaku di Sabah itu berpunca dari negara Filifina, sementelah jenis cVDPV yang dikenal pasti adalah sama dengan kes polio yang berlaku di Filifina pada masa ini.[4] Walaupun kes di Sabah itu sudah pun diberi satu suntikan vaksin 5 serangkai, tetapi tahap petahanan badan belum lengkap sepenuhnya. Vaksin 5 serangkai termasuk polio itu perlu diberi semasa bayi berumur 2, 3, 5 dan 18 bulan.
.
Diharap dengan penerangan ini, masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan pihak antivaksin yang senantiasa tidak berpuas hati dengan sistem kesihatan negara kita. Percayalah bahawa vaksin itu berkesan, selamat dan suci. Malah tidak habis satu sen pun suntikan vaksin dalam negara kita – PERCUMA. Sanggupkah kita membiarkan anak kita dijangkiti polio yang boleh meragut nyawa atau cacat? Banyak duit akan digunakan untuk merawat jika sudah dijangkiti!
.
Sekian dari suhazeli.com
fb.com/suhazeli.abdullah
10.12.2019
Telemong
.
Pautan:
[1] Kejadian Polio 2019, Kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia. https://kpkesihatan.com/2019/12/08/kenyataan-akhbar-kpk-8-disember-2019-kejadian-kes-polio-pertama-setelah-malaysia-diisytiharkan-bebas-polio/
[2] Kenyataan YB Menteri Kesihatan Isu Polio di Sabah. https://www.nst.com.my/news/nation/2019/12/546305/polio-virus-may-have-come-outside-malaysia
[3] Kenyataan WHO berkaitan cVDPV. https://www.who.int/features/qa/64/en/
[4] Kes Polio di Sabah adalah kes Import. https://www.thestar.com.my/news/nation/2019/12/10/msias-first-case-of-polio-in-27-years-genetically-linked-to-poliovirus-in-southern-philippines-says-who