Jangan Perjudikan Keselamatan Pelajar

1759

Bismillah

PAS Terengganu mengambil maklum perihal isu keselamatan pelajar yang dikatakan tidak berada ditahap yang sepatutnya di 120 buah sekolah seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (JKKP).

Malah lebih jauh daripada itu, hasil audit JKKP di 194 buah sekolah di negeri Terengganu mendedahkan tiada satupun daripada jumlah itu berada pada tahap A iaitu terbaik.

23 buah sekolah berada pada tahap yang sangat berisiko kepada pelajar dan kakitangannya iaitu kategori E. 97 buah sekolah lagi berada dalam kategori D, 54 buah C dan B hanya 21 buah sahaja.

Dapatan ini adalah hasil audit JKKP bermula 2010 sehingga Jun 2016 lalu.

PAS Terengganu merasa amat kecewa dengan kegagalan kerajaan menyediakan jaminan keselamatan dan kesihatan yang sewajarnya kepada pelajar-pelajar ini, sekaligus mendedahkan mereka kepada ancaman-ancaman yang sebenarnya boleh dibendung sedari awal jika aspek-aspek keselamatan ini dititik beratkan.

PAS Terengganu mendesak kerajaan negeri agar mengenengahkan isu ini kepada kerajaan pusat dengan segera sebelum sesuatu yang buruk berlaku dan saling menunding jari menyalahkan pihak lain bagi melarikan diri dari bertanggungjawab.

Sikap yang sinonim dengan golongan yang bersalah.

PAS Terengganu juga mencadangkan agar dikeluarkan sedikit dana kerajaan negeri bagi dibelanjakan untuk keselamatan dan kesihatan pelajar-pelajar di negeri ini.

Apalah sangat nilai jutaan wang rakyat Terengganu berbanding dengan keselamatan pelajar-pelajar yang juga anak-anak kita. Biaya ini jauh lebih berfaedah dan berbaloi berbanding memberikan pihak luar menggunakan wang negeri kita sewenang-wenangnya tanpa keuntungan bagi rakyat Terengganu.

Oleh itu PAS Terengganu amat berharap agar cadangan ini dipandang dengan serius dan sebagai bantuan demi anak-anak pelajar di negeri Terengganu yang kita cintai ini. Wallahua’lam.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
1 Jamadilawwal 1438 bersamaan 29 Januari 2017