Selama 22 tahun setengah rakyat Negeri Terengganu menikmati hasil bumi Allah yang berharga iaitu petroleum, tetapi akhirnya dirampas oleh Kerajaan Persekutuan pada September 2000 tanpa sebab-sebab yang jelas. Rakyat Terengganu dibayar ‘saguhati’ atas nama Wang Ehsan yang hanya melibatkan segelintir rakyat, tidak meliputi kesemuanya.


Walaupun mantan Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Said menegaskan kawasan medan minyak yang terletak di luar pantai antara Terengganu dan Pahang itu adalah milik negeri Terengganu, namun Umno yang menjadi ‘partinya’ sendiri mengkhianati negeri Terengganu.
Kezaliman ke atas rakyat Terengganu berterusan apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bahawa laporan jawakuasa khas menyatakan bahawa tiada hasil minyak yang ditemui dalam lingkungan tiga batu nautika dari Pantai Timur termasuk di Kelantan. Hasil kajian ini menguatkan dakwaan Kerajaan Pusat bahawa negeri ini dan Kelantan tidak layak menerima royalti 5% daripada PETRONAS seperti di dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974.


Jika dikira dari sudut perundangan, jelas menunjukkan Terengganu khususnya dan Kelantan dianiaya oleh Kerajaan Pusat. Menurut Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, yang merupakan bekas Pengerusi PETRONAS dan orang penting yang terlibat di dalam perjanjian awal petroleum ini menegaskan bahawa Terengganu sememangnya layak menerima royalti seperti yang telah termaktub di dalam Seksyen 2 Akta Kemajuan Petroleum 1974. “Tidak kira di mana punca (petroleum), sama ada jumpa dalam negeri (di darat) atau pun luar kawasan (perairan) negeri, tidak kira tiga batu nautika atau atas bumi, asalka jumpa minyak di kawasan (negeri) termasuk perairan, kita bayar lima peratus,” katanya.
Menurut bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas, penyerahan royalti ini kepada negeri Terengganu khususnya adalah muktamad dan tidak boleh ditarik balik dan kepunyaan itu adalah menjadi hak kepunyaan PETRONAS buat selama-lamanya. Surat cara penyerahan telah dibuat di Kuala Terengganu pada 22 Mac 1975. Untuk rekod, nama ‘bayaran royalti’ diberikan PETRONAS pada 16 September 1987, merujuk kepada bayaran tunai hasil petroleum tersebut.Menurut beliau lagi, Kerajaan Pusat tidak ada kuasa menafikan atau menghapuskan hak Kerajaan Negeri Terengganu melainkan Kerajaan Negeri Terengganu sendiri bersetuju untuk tidak menerima royalti.


Kesimpulannya, Kerajaan Pusat telah merampas hak royalti petroleum daripada dibayar oleh PETRONAS kepada Kerajaan Negeri. Pencabulan hak dan kedaulatan Kerajaan Negeri Terengganu ini berlandaskan kepada keputusan politik BN dan bukan berlandaskan kepada undang-undang dan Perlembagaan.
Kita menuntut dan akan perjuangkan hak ini hingga ke akhirnya!
YB Ustaz Saiful Bahri Mamat
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu
22 Oktober 2014


























