Isu Penghinaan Agama Perlu Tindakan Tegas

280

KUALA TERENGGANU – Isu penghinaan agama disifatkan sebagai perbuatan melampau yang tidak boleh diterima sama sekali dan perlu ditangani dengan tindakan tegas demi memelihara keharmonian negara.

Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu, Dr Wan Mat Sulaiman berkata, sebarang bentuk penghinaan terhadap agama, walau dengan apa cara sekalipun, merupakan satu tindakan serius yang boleh menggugat perpaduan masyarakat majmuk di Malaysia.

“Perbuatan memijak al Quran adalah perbuatan biadap dan melampau dan ianya adalah isu besar, kerana ianya perbuatan menghina agama Islam dan boleh membakar perasaan seluruh umat Islam,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, perkara ini bukan isu kecil, tetapi isu besar yang menyentuh sensitiviti agama dan perasaan umat Islam serta boleh mencetuskan ketegangan jika tidak ditangani dengan sewajarnya.

Sehubungan itu, Dewan Ulama PAS Terengganu (DUPNT) menggesa pihak kerajaan agar mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap pelaku terlibat.

Beliau menegaskan, langkah segera perlu diambil bagi memastikan keharmonian antara kaum terus terpelihara, selain mengelakkan sebarang provokasi seumpama itu daripada berulang pada masa hadapan.

“Tindakan tegas tanpa kompromi perlu diambil segera oleh pihak kerajaan demi menjaga keharmonian kaum dan negara agar perasaan seluruh umat Islam yang terguris dapat diubati.

“Dan supaya angkara provokasi seperti ini dapat dibendung segera dan tidak akan berulang,” tegasnya lagi.