Isu Hukuman Solat Jumaat: Jangan Cemari Usaha Memperkukuh Institusi Agama

438
Saifuddin Othman

Negeri Terengganu telah dimomokkan dengan pelbagai tuduhan tidak berasas berhubung isu penguatkuasaan kewajipan solat Jumaat, seolah-olah tindakan tersebut bersifat ekstrem atau keterlaluan.

2. Sebagai pengamal undang-undang, saya ingin menjelaskan bahawa kewajipan solat Jumaat bagi lelaki Muslim yang baligh dan berkeupayaan adalah ketetapan syarak yang diiktiraf dalam sistem undang-undang negara.

3. Undang-undang syariah yang dikuatkuasakan oleh Negeri Terengganu digubal melalui proses Dewan Undangan Negeri yang sah, selaras dengan bidang kuasa negeri di bawah Perlembagaan Persekutuan.

4. Tindakan penguatkuasaan bukanlah bertujuan menghukum secara semberono, tetapi sebagai satu bentuk pendidikan sosial dan keagamaan yang membina disiplin serta kesedaran terhadap tanggungjawab agama.

5. Solat Jumaat bukan sekadar ibadah mingguan, tetapi merupakan medan memperkukuh nilai komuniti, ukhuwwah dan perpaduan umat Islam di peringkat akar umbi.

6. Penguatkuasaan undang-undang ini tidak bersifat asing kerana sebahagian besar negeri lain di Malaysia juga mempunyai peruntukan serupa. Contohnya:

Johor: Seksyen 14 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 menyatakan bahawa mana-mana lelaki Islam yang baligh dan berkemampuan tetapi tidak menunaikan solat Jumaat tiga kali berturut-turut tanpa uzur syarie adalah melakukan kesalahan dan boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Pulau Pinang: Seksyen 14 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Pulau Pinang) 1996 memperuntukkan hukuman yang sama – denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan tidak menunaikan solat Jumaat tiga kali berturut-turut tanpa sebab munasabah.

7. Hakikat bahawa undang-undang serupa telah lama diamalkan di pelbagai negeri membuktikan bahawa Terengganu tidak bertindak bersendirian atau di luar norma, sebaliknya mengikut amalan perundangan Islam yang telah diterima pakai di seluruh negara. Namun, Terengganu sahaja yang menjadi sasaran kritikan, menunjukkan adanya unsur pilih kasih dalam persepsi.

8. Isu ini seharusnya tidak dipolitikkan. Mempertikai pelaksanaan undang-undang Islam yang sah hanya akan mencetuskan kekeliruan masyarakat terhadap sistem perundangan syariah yang telah lama wujud dan diamalkan.

9. Saya menyeru agar semua pihak termasuk pemimpin politik, aktivis hak asasi dan media untuk lebih bertanggungjawab dalam memberi komentar terhadap hal ehwal agama Islam.

10. Hormatilah undang-undang negeri yang digubal mengikut saluran perlembagaan. Jangan cemari usaha memperkukuh institusi agama dengan sentimen dan polemik yang membingungkan rakyat.

11. Kita mesti konsisten mempertahan hak negeri dalam menguatkuasakan undang-undang syariah, selagi ia tidak bercanggah dengan prinsip keadilan dan lunas Perlembagaan.

SAIFUDDIN OTHMAN,
Pengerusi LUHAM Terengganu,
Pengamal Undang-Undang Sivil dan Syariah.

Tarikh: 25 Ogos 2025