Irfan Kecewa Dalam Gembira

3333

KECEWA dan gembira. Itu rumusan ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim selepas anak buahnya sekadar seri 2-2 dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

Jurulatih berpengalaman itu berkata, dia gembira kerana pemainnya begitu bersemangat dan bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat skuad Harimau Selatan itu walaupun hampir berputih mata di laman sendiri.

Manakala nada kecewa yang diluahkan Irfan gagal diterjemahkannya dengan lebih terperinci kerana beliau enggan mengulas lebih lanjut walaupun ditanya pihak media selepas tamat perlawanan apabila melihat beliau sedikit berang ketika permainan berlangsung.

Bagaimanapun, biarpun jurulatih itu enggan menyatakan apa yang menyebabkan beliau kecewa, riak wajahnya membayangkan beliau kecewa dengan mutu pengadilan Muhammad Nazmi Nasaruddin.

“Bab itu (kecewa) saya tidak mahu ulas biarlah ribuan peminat yang hadir pada malam ini (malam tadi) menilai sendiri kerana apa yang lebih penting bagi kami pemain berjaya bangkit untuk mengutip satu mata walaupun pada satu ketika ketinggalan.

“Mereka juga mempamerkan aksi ‘fantastic’, mutu disiplin yang tinggi, mencipta dan memperoleh peluang untuk menghasilkan jaringan, tapi malangnya kita gagal mengutip mata penuh di laman sendiri.

“Pun begitu, saya harus puji corak permainan mereka yang kembali mempamerkan semangat juang yang tinggi dan rentak ini harus dikekalkan pada aksi seterusnya,” kata Irfan.

Pada perlawanan itu, jaringan pemain pertahanan kanan, Muhammad Kamal Azizi Zabri seminit sebelum permainan sebenar tamat menyelamatkan maruah TFC daripada tewas buat kali kedua berturut-turut sekali gus membuatkan lawan menggigit jari untuk meneruskan rentak kemenangan ketiga berturut-turut.

Sebelum itu, pemain sayap TFC kelahiran Kelantan, Mohd Khairul Izuan Rosli meletakkan skuadnya di depan sebelum pemain JDT, Safawi Rasid dan Diogo Santo mencetak nama sebagai penjaring buat pasukannya.

“Walaupun pasukan kami masih buntu untuk mencatat kemenangan pertama dalam saingan liga musim ini, tapi saya percaya masanya akan tiba kerana tiga perlawanan awal bertemu pasukan pilihan bukan sesuatu yang mudah, tapi perlawanan selepas ini kemenangan harus dicari untuk terus bersaing dalam kelompok teratas liga,” kata Irfan. – HMetro