KUALA TERENGGANU – Iran dan Yaman antara negara yang disifatkan paling jelas memberikan sokongan terhadap perjuangan pembebasan Palestin.
Pengerusi Lajnah Antarabangsa, YB Dr Muhamad Khalil Abdul Hadi berkata, perkara itu perlu dinilai berdasarkan peranan dan tindakan kerajaan serta negara berkenaan dalam konteks sokongan terhadap perjuangan membebaskan Masjidil Aqsa dan Palestin.
“Dalam konteks negara dan kerajaan yang paling jelas memberikan sokongan kepada pembebasan Palestin ialah Iran. Yang keduanya ialah negara Yaman yang tidak diiktiraf.
“Ini fakta. Tolak tepi isu Syiah, isu bangsa kaum Parsi dan seumpamanya, tetapi kita letakkan secara faktanya begitu,” jelasnya dalam satu video.
Menurut beliau, sokongan rakyat terhadap perjuangan Palestin pula bukan sahaja datang daripada umat Islam, malah semakin berkembang dalam kalangan masyarakat bukan Islam di Amerika Syarikat dan Eropah.
Katanya, sokongan umat Islam terhadap pembebasan Palestin kekal kukuh tanpa mengira negara atau kedudukan mereka sebagai majoriti mahupun minoriti.
“Dalam konteks hari ini kita lihat bukan sahaja umat Islam, bahkan orang-orang bukan Islam sendiri di Amerika dan Eropah, sokongan mereka kepada pembebasan Palestin makin hari makin jelas dan makin meluas,” ujarnya.
Dalam pada itu, Muhammad Khalil berkata peranan kerajaan-kerajaan negara Islam perlu dinilai secara adil dengan mengambil kira tekanan geopolitik dan kepentingan ekonomi yang wujud di rantau berkenaan.
“Yang keduanya ialah peranan kerajaan-kerajaan. Jadi ini satu penilaian perlu kita buat dengan adil dan saksama.
“Kerajaan-kerajaan yang ada pada hari ini adalah kerajaan-kerajaan yang diwujudkan oleh entiti imperialisme Barat dan gerakan Zionis sejak daripada kejatuhan kerajaan Islam Uthmaniyyah sehinggalah penubuhan negara haram Israel pada 1948,” ujarnya.
Beliau berkata kedudukan strategik dunia Islam, khususnya di Timur Tengah yang kaya dengan sumber minyak dan gas serta menguasai laluan perdagangan penting dunia, turut menjadi faktor yang perlu difahami dalam menilai pendirian kerajaan-kerajaan terbabit.






























