Integriti, Undang-Undang Islam Benteng Rasuah

227
Nik Mazli Mat Yusof

KUALA TERENGGANU – Prinsip keadilan, integriti dan kedaulatan undang-undang perlu menjadi asas utama pentadbiran kerajaan bagi memastikan tadbir urus yang telus, beramanah, selaras dengan tuntutan Islam dalam mengurus negara.

Ketua Penerangan PAS Kawasan Besut, Nik Mazli Mat Yusof berkata, Tok Guru sentiasa menegaskan bahawa setiap permasalahan negara mesti ditangani berdasarkan Islam, termasuk isu rasuah yang semakin membimbangkan masyarakat.

Menurutnya, rasuah bukan sekadar kesalahan yang dikejar oleh undang-undang di dunia, bahkan merupakan dosa besar akan dipersoalkan di akhirat kelak.

“Rasuah boleh menghancurkan negara. Ia bukan hanya dikejar oleh undang-undang dunia, tetapi juga akan dihisab di akhirat.

“Sebab itu kerajaan perlu memperkukuh undang-undang dan kembali kepada undang-undang Islam sebagai asas kehidupan supaya wujud rasa takut kepada Allah,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, perumpamaan “beruk dan kera” yang digunakan Tok Guru ketika mengulas isu rasuah menggambarkan kerakusan manusia terhadap harta dan kuasa, sehingga keratan ucapan tersebut menjadi tular serta dimainkan oleh media dan netizen.

Nik Mazli menegaskan, Terengganu di bawah pentadbiran PAS tidak dibelenggu skandal rasuah besar kerana budaya politik yang berteraskan amanah dan kepimpinan berprinsip, di mana jawatan dianggap sebagai tanggungjawab, bukan peluang mengaut keuntungan.

Tambah Mazli, perbezaan utama tadbir urus PAS ialah amalan dan sistem pencegahan sejak awal melalui disiplin parti, keputusan secara kolektif dan kawalan dalaman yang ketat, bukan sekadar slogan atau reaksi selepas skandal berlaku.

“Model ini sukar ditiru parti lain kerana ia menuntut pengorbanan kepentingan peribadi dan penolakan budaya kronisme. Banyak parti terikat dengan dana politik dan elit, yang membuka ruang rasuah,” ujarnya.

Beliau berkata lagi, ketiadaan kes rasuah besar di Terengganu membuktikan keberkesanan kepimpinan PAS.

“Pada masa sama menyerlahkan kegagalan parti lain membina sistem kawalan yang tegas dan berkesan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar memilih kerajaan berdasarkan rekod bersih dan prestasi sebenar, bukan janji politik yang berulang tetapi lemah dari segi pelaksanaan.