KUALA TERENGGANU – PAS Kawasan Marang menolak kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menyifatkan serta memberikan alas an bahawa insiden di Masjid Rusila sebagai ‘salah faham’ serta mendakwa semakan rakaman CCTV tiada perkara luar biasa.
Ketua Penerangan PAS Kawasan Marang, Mohamad Aswadi Mohamad berkata, kenyataan diberikan oleh Menteri terbabit sangat mengecewakan kerana dilihat cuba menormalisasi satu kejadian yang mencetuskan kebimbangan umat Islam.
“Bukan sahaja di Marang tetapi di seluruh negara. Ia juga gagal menjawab persoalan paling asas berkaitan insiden berkenaan.
“Selepas kenyataan Menteri dikeluarkan, rakaman dan gambar dari CCTV Masjid Rusila telah tersebar luas di media sosial.
“Gambar-gambar tersebut jelas menunjukkan aksi mencurigakan beberapa individu lengkap dengan waktu dan lokasi di ruang solat serta Kawasan sensitif masjid,”ujarnya melalui satu kenyataan, di sini, semalam.


Tegasnya, sekiranya benar Kumpulan terdiri daripada anggota Angkatan Pertahanan Maritim Malaysia (APMM) yang berehat selepas Asar, mengapa aksi mereka kelihatan mencurigakan seolah-olah sedang melakukan sesuatu yang tidak wajar.
“Satu persoalan besar juga timbul, adakah latihan praktikal kini boleh dijalankan sesuka hati di rumah Allah tanpa kebenaran dan pengetahuan pihak pengurusan masjid?
“Ini bukan isu ‘salah faham’, tetapi kecuaian yang mencemar kesucian masjid dan maruah umat Islam. Lebih membimbangkan, kenyataan antara pihak Maritim Malaysia dan pengurusan masjid didapati bercanggah, seolah-olah ada sesuatu yang cuba disembunyikan,”ujarnya.
Tegasnya, rakyat sesekali tidak akan menerima penjelasan yang longgar apabila bukti visual telah tersebar dan menimbulkan pelbagai persoalan yang masih belum dijawab secara tuntas.
“justeru, kami menuntut agar Menteri Dalam Negeri berterus terang dan tidak memangsakan agensi Kerajaan yang bekerja Ikhlas demi negara tercinta,”tegasnya lagi.






























