Himpunan Bantah Trump; Bantahan Rakyat Terhadap Dasar Penindasan

24

DUNGUN – Himpunan Bantah Kehadiran Donald Trump adalah tanda bantahan rakyat terhadap dasar dan pendirian Presiden Amerika Syarikat (AS) itu menindas serta mencetuskan ketegangan antarabangsa.

Yang Dipertua PAS Kawasan Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli, berkata himpunan tersebut yang diadakan semalam, menunjukkan kesedaran tinggi rakyat Malaysia terhadap isu kemanusiaan dan keadilan sejagat.

“Himpunan ini menjadi wadah rakyat menyuarakan pendirian tegas menolak campur tangan kuasa besar dalam urusan negara lain,

“khususnya yang menjejaskan keamanan dunia Islam,” ujarnya yang turut menyertai Himpunan tersebut, dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Dungun itu, kehadiran pelbagai lapisan masyarakat, di hadapan Kedutaan AS Kuala Lumpur, mencerminkan perpaduan rakyat dalam mempertahankan maruah dan kedaulatan negara.

“Himpunan ini juga diadakan secara aman dan berdisiplin, menonjolkan kematangan rakyat Malaysia dalam menyatakan pendirian mereka terhadap kezaliman,

“mencerminkan semangat perpaduan rakyat dalam mempertahankan maruah, kedaulatan negara, dan prinsip keadilan antarabangsa,” tambahnya.

Justeru tegas beliau, perjuangan menegakkan keadilan sejagat perlu diteruskan dengan kesatuan umat Islam serta sokongan semua pihak yang cintakan keamanan.