Hidupkan Madrasah Ramadan Sepanjang Tahun

152

KUALA TERENGGANU – Anggota Muslimat diajak supaya berusaha untuk menghidupkan amalan ketika Madrasah Ramadan yang baharu sahaja berlalu pada sepanjang tahun.

Ketua Muslimat PAS Terengganu, To’ Puan Zarani Othman yang turut mendoakannya sambil mengajak amalan yang dilaksanakan berlipat kali ganda di Madrasah Ramadan itu diteruskan.

“Antara tanda hasil kejayaan tarbiah di Madrasah Ramadan ialah kita diberikan kekuatan untuk terus istiqomah dengan amalan-amalan yang telah lakukan baru – baru ini sehinggalah kita mengadap Allah,” jelasnya.

Beliau yang juga Ketua Muslimat PAS Marang berkata demikian di Majlis Sambutan Hari Raya Idulfitri Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu (DMPNT) yang diadakan di Markas Tarbiah PAS Kuala Terengganu, Kuala Ibai di sini pada Isnin, 29 April.

Turut hadir memeriahkan majlis tersebut ialah kepimpinan Persatuan KHAIRUNNISA’ Negeri dan Srikandi Bersatu Terengganu, semoga ianya dapat mempertautkan lagi ukhuwah Islamiyyah dan meningkatkan semangat juang di antara anggota Perikatan Nasional.

Zarani turut memberitahu Muslimat PAS dan wanita Serikandi BERSATU Terengganu akan berkampung di Batang Kali iaitu untuk memenangkan calon Perikatan NASIONAL (PN) N06 Kuala Kubu Bharu, Khairol Azhar bin Siot di Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei 2024 nanti.

“Semoga Allah memberi kemenangan kepada calon Perikatan Nasional dalam PRK DUN Kuala Kubu Bharu ini. Aamiin,” ujarnya lagi.