“Hentikan Serangan ‘Gaza City’, Nyawa Tawanan Dalam Bahaya”

76

Hamas mengeluarkan amaran, nyawa dua tawanan yang ditahan di Gaza City berada dalam bahaya apabila kereta kebal Israel memasuki jauh ke dalam beberapa kawasan kejiranan pusat bandar yang terkepung.

Briged Qassam berkata pada hari Ahad, hubungan telah terputus dengan pejuang yang menahan Omri Miran dan Matan Angrest selepas “operasi ketenteraan kejam dan sasaran ganas di kawasan kejiranan Sabra dan Tal al-Hawa selama 48 jam terakhir”.

“Nyawa kedua-dua tawanan berada dalam bahaya sebenar, dan pasukan pendudukan mesti segera berundur ke selatan Jalan 8 dan menghentikan serangan udara selama 24 jam bermula dari 18:00 petang ini (15:00 GMT),

“sehingga satu percubaan dibuat untuk mengeluarkan kedua-dua banduan itu,” menurut satu kenyataan pada awal Ahad.

Hamas, sebelum ini, mengeluarkan “gambar perpisahan” tawanan di Gaza, dalam percubaan untuk menghalang tentera rejim Israel memusnahkan Bandar Gaza secara sistematik.

Israel berkata 48 tawanan kekal di Gaza, 20 daripadanya masih hidup, tetapi negara haram itu enggan menghentikan perang walaupun semakin dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai.

Pada masa yang sama, keluarga dan warga Israel memprotes dan menyeru aghar dilaksanakan perjanjian komprehensif untuk menamatkan perang dan membawa pulang semua tawanan.

Rayuan mereka tidak diendahkan oleh kerajaan sayap kanan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, dan saudara-mara serta penyokong menyalahkan kerajaan kerana penahanan mereka yang berpanjangan.

Sayap politik Hamas berkata, kumpulan itu tidak menerima sebarang gencatan senjata baharu atau cadangan perdamaian daripada pengantara Qatar dan Mesir, walaupun Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berulang kali meramalkan gencatan senjata yang akan berlaku.

Menara Mushtaha di tengah bandar raya Gaza di letupkan rejim pada Jumaat 5 September

Kumpulan itu mengesahkan, rundingan dihentikan selepas Israel cuba membunuh pemimpin tertinggi Hamas di Doha pada 9 September ketika mereka berkumpul untuk mengkaji cadangan gencatan senjata baharu yang dikemukakan oleh Trump.

Namun begitu, Hamas “bersedia untuk mengkaji sebarang cadangan daripada pengantara saudara dengan positif dan tanggungjawab, dengan cara yang memelihara hak kebangsaan rakyat kita”.

Dalam pada itu, Menteri sayap kanan Israel pada hari Ahad berkata, mereka menentang rancangan 21 perkara yang dibentangkan oleh Trump dan sebarang perjanjian lain yang akan menamatkan perang, sebelum menghapuskan Hamas.

Dalam catatan di X, Menteri Keselamatan Negara Itamar Ben-Gvir berkata: “Tuan Perdana Menteri, anda tidak mempunyai mandat untuk menamatkan perang tanpa kekalahan tegas Hamas.”

Menteri Kewangan Israel Bezalel Smotrich

Menteri Kewangan Bezalel Smotrich berkata beliau “tidak akan sekali-kali bersetuju dengan negara Palestin – walaupun ia sukar, walaupun ia mempunyai harga, dan walaupun ia mengambil masa”.

Lebih 66,000 rakyat Palestin telah terbunuh di Semenanjung Gaza sejak permulaan perang pada Oktober 2023, menurut Kementerian Kesihatan kawasan itu.

Berpuluh-puluh lagi rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara dan tembakan atau ketika mencari bantuan pada Ahad, termasuk seorang kanak-kanak dalam pengeboman kejiranan Sabra.

Hospital Nasser di bandar Khan Younis di selatan Gaza melaporkan seorang bayi meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan dan rawatan perubatan yang tidak mencukupi.

Sementara itu, kereta kebal Israel semakin menghampiri Hospital al-Shifa di Bandar Gaza, yang dahulunya merupakan kompleks perubatan terbesar di Gaza tetapi kini kebanyakannya berada dalam runtuhan selepas beberapa kepungan Israel sebelum ini.

Walaupun begitu, Pengarah Hospital Muhammad Abu Salmiya berkata pada hari Ahad, pasukannya komited untuk memastikan kemudahan itu berjalan selama mungkin kerana pesakit dan orang yang dipindahkan berlindung di sana. – AJE