KUALA TERENGGANU – Generasi muda kini dilihat semakin matang dan kritikal dalam menilai landskap politik negara, meletakkan keutamaan kepada kestabilan, integriti serta rekod kepimpinan berbanding sentimen dan retorik semata-mata.
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, Ustaz Muhamad Hamdi Harun berkata, perubahan corak pemikiran anak muda itu menuntut pendekatan politik yang lebih berfakta, berprinsip dan berasaskan prestasi sebenar.
Menurutnya, dalam konteks Perikatan Nasional (PN), PAS berada pada kedudukan yang sesuai untuk memikul peranan kepimpinan berasaskan pengalaman pentadbiran, kekuatan organisasi serta sokongan akar umbi yang konsisten.
“Anak muda hari ini tidak mudah terpengaruh dengan naratif lama. Mereka menilai kepimpinan melalui rekod kerja, kejujuran dan keupayaan menyelesaikan masalah rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, penyertaan PAS dalam PN bukan bertujuan mendominasi gabungan, sebaliknya menyumbang kekuatan jentera yang tersusun, disiplin organisasi yang kukuh serta budaya kerja berpasukan yang telah dibina sejak sekian lama.
“Kekuatan ini adalah hasil tarbiyah, kesukarelawanan dan khidmat berterusan bersama masyarakat, yang menjadi nilai penting kepada generasi muda yang mahukan politik berfungsi dan memberi hasil,” katanya.
Mengulas persepsi yang sering mengaitkan PAS dengan pendekatan ekstrem, Muhamad Hamdi menegaskan dakwaan tersebut tidak mencerminkan realiti sebenar pentadbiran parti itu, khususnya di Terengganu.
“Pengalaman mentadbir membuktikan PAS mengamalkan pendekatan Islam yang sederhana, inklusif dan menitikberatkan keharmonian masyarakat majmuk tanpa menjejaskan kestabilan sosial,” jelasnya.
Dari sudut integriti pula, beliau berkata konsistensi PAS membawa politik bersih dan berprinsip menjadi nilai tambah dalam suasana politik negara yang berdepan isu rasuah dan salah guna kuasa.
Menurutnya, kesediaan PAS untuk memimpin PN perlu difahami sebagai kesanggupan memikul amanah secara kolektif melalui proses muafakat dan syura, dengan menghormati peranan semua parti dalam gabungan.
Beliau turut menyeru golongan muda agar terus menilai politik secara rasional dan adil demi memastikan masa depan negara dipimpin oleh kepimpinan yang stabil, beramanah dan bertanggungjawab.




























