Futsal Eratkan Silaturahim

3094

Oleh : Mohd Faizal Nahwan AbdullahFoto : Ahmad Ezani Razali.

KEMAMAN – Penganjuran aktiviti sukan Futsal menjadi wadah yang baik bagi mengeratkan silaturahim terutama kepada golongan muda.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai, Haji Hanafiah Mat berkata, hubungan sesama Islam terutama anak muda menjadi lebih utuh melalui sukan tersebut.

“Dengan penganjuran kejohanan futsal ini, ianya dapat mengeratkan lagi hubungan sesama Islam khususnya anak muda,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ketika berucap pada majlis Perasmian Kejohanan Futsal Tertutup Piala Yang Berhormat Chukai (YBC) di Sports PC Jakar 2, Chukai, Kemaman, 18 November.

Oleh itu, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada hadirin, para penyokong dan penyumbang hadiah untuk kejohanan itu yang telah dianjurkan oleh Lajnah Kesenian, Kebudayaan dan Sukan Pemuda PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai (PPDC), Ustaz Osamarizal Omar menyeru kepada semua peserta agar dapat menjalinkan hubungan baik dengan Haji Hanafiah selaku wakil rakyat bagi DUN Chukai.

“Tujuannya adalah bagi mewujudkan satu ‘engagement’ yang terbaik antara pemuda dengan wakil rakyat untuk meneruskan lagi agenda-agenda Islam,

“di samping ianya bagi memastikan Islam berada pada tahap yang tinggi,” tegasnya.

Sehubungan itu, Ketua Lajnah Kesenian, Kebudayaan dan Sukan Pemuda Chukai, Mohammad Ridwan Zakaria berkata, sambutan bagi kejohanan futsal yang julung kali diadakan ini amat mengalakan.

“Pendaftaran pasukan yang bertanding pada hari ini sebanyak 32 pasukan dengan bayaran yuran penyertaan sebanyak RM 80 bagi satu pasukan,

“Kejohanan ini adalah kejohanan Futsal yang pertama kali diadakan oleh Pemuda PAS (DUN) Chukai. Saya terharu dengan sambutan para hadirin termasuk para penyokong pasukan sekitar 250 orang,” jelasnya.

Selain itu, pihaknya turut menawarkan hadiah lumayan disamping Piala Kejohanan, pingat dan wang tunai sebanyak RM 1000 menjadi habuan untuk tempat pertama.

Gambar – Juara, Habiel 66 UDFF (B). hadiah wang tunai RM1000 Piala YBC dan pingat.

Bagi tempat kedua, pingat dan wang tunai sebanyak RM 700 dan tempat ketiga pula, wang tunai RM 400 serta pingat manakala wang tunai RM 200 dan pingat pada tempat keempat.

Penjaring terbanyak kejohanan dimenangi oleh Syafiq Hussein daripada pasukan RT FC dan pemain terbaik kejohanan dimenangi oleh Abdul Aziz Hussein daripada pasukan Habiel 66 UDFF (A).

Manakala, keputusan rasmi bagi tempat keempat telah jatuh kepada Pasukan NR FC (A) dan tempat ketiga dimenangi oleh RT FC.

Johan bagi kejohanan kali ini dimenangi oleh pasukan Habiel 66 UDFF FC (B) manakala naib johan jatuh kepada pasukan Habiel 66 UDFF FC (A).

Hadir sama pada kejohanan itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kemaman, Ustaz Ramlan Haji Mahmood dan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kemaman, Ustaz Ahmad Khairuddin Mohd Zaki.