Fakta Lawan Auta

1562

Oleh : Dr Suhaseli Abduulah

Saya sebolehnya mahu para pembaca memahami corak penulisan saya dalam menyampaikan maklumat kesihatan. Nasihat atau teguran yang diberikan itu bersandarkan fakta-fakta ataupun sekelumit pengalaman diri setelah lebih 20 tahun berkhidmat sebagai doktor.

Saban hari kita berdepan dengan kepelbagaian isu pesakit, boleh mematangkan kita dalam halatuju bertindak. Walaupun mungkin penyakit mereka sama (contohnya kencing manis), tetapi kaedah pendekatan berbeza ke atas setiap individu. Tidak semua setuju untuk diberi insulin, maka kaedah optima ubatan oral perlu dilakukan.

Disamping konsultasi gaya hidup sihat, pemberdayaan pesakit (patient empowerment) juga diterapkan. Pesakit perlu tahu jenis ubatan yang diberikan, kesan yang timbul, dos yang di makan dan pelbagai lagi. Konsep ini penting bagi meningkat lagi kawalan penyakit yang mereka alami.

Pesakit percaya dan faham, ubat yang diberikan itu bukan sembarangan. Sudah pasti ubatan itu telah melalui proses yang ketat, kualiti yang terkawal, ujikaji toksid telah dijalankan dan ujian keberkesanan. Ubatan tersebut telah terbukti secara majoriti boleh mengubati atau mengawal penyakit yang mereka hadapi.

Inilah perbezaan antara kami dengan penjual produk kesihatan.

Penulisan saya berdasarkan pengalaman dan fakta-fakta kajian yang dipelajari. Bukannya berteleku depan komputer untuk lariskan jualan. Sedangkan apa yang berlaku kepada pesakit tidak kita hiraukan? Profiling pesakit secara individu pun tidak diketahui. Apakah sesuai untuk sesatu jenis ubat dan seumpamanya? Fungsi buah pinggang dan fungsi hati bagaimana? Inilah pertimbangan yang harus diberikan.

Kebanyakan produk suplemen tidak melepasi kajian klinikal pun. Tetapi mendakwa boleh mengubati segala maklika penyakit. Dari A hingga Z jenis penyakit dengan produk sama. Contohnya satu produk berasaskan pokok mas cotek, jurujual produk mendakwa boleh merawat kencing manis.

Sedangkan kajian yang dijalankan itu tidak pun menunjukkan apa-apa kesan yang signifikan. Saya ambil contoh ini adalah pengkaji dari negara kita sendiri dan kajian juga dijalankan dalam konteks masyarakat kita, bukan orang luar pun.[1] Tetapi jurujual tetap bercakap auta dalam media sosial, produk mereka telah lulus kajian dan terbukti berkesan. Inilah pembohongan namanya.

Kesimpulannya, corak penulisan saya adalah bagi menyedarkan masyarakat kepada konsep-konsep perubatan, health seeking behaviour dan bersandarkan hujah saintifik (evidence based medicine).

Pautan
[1] Draman, S., Aris, M. A. M., Razman, Akter, S. F. U., Azlina, H., Nor Azlina, A. R., . . . Azian. (2012). Mas cotek (Ficus deltoidea): A possible supplement for type II diabetes: (A Pilot Study). Pertanika Journal of Tropical Agricultural Science, 35(1), 93-102.
.