KUALA TERENGGANU — Ekonomi Terengganu terus kukuh hasil tadbir urus yang cekap, beramanah dan berkesan dalam memacu pertumbuhan negeri serta menurunkan kadar pengangguran secara ketara.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Haji Ustaz Mohd Nor Hamzah, berkata berdasarkan dapatan Jabatan Statistik Negara, Terengganu mencatatkan prestasi ekonomi yang amat memberangsangkan apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) meningkat kepada 4.5 peratus pada tahun 2024, berbanding hanya 2.2 peratus pada tahun sebelumnya.
‘Berdasarkan data Jabatan Statistik Negara, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Terengganu meningkat 4.5 peratus pada tahun 2024, berbanding 2.2 peratus pada 2023, sekali gus mengatasi unjuran awal antara 3.5 hingga 4.1 peratus.
“Pencapaian ini membuktikan keberkesanan dasar ekonomi negeri yang berteraskan kecekapan tadbir urus, pengukuhan sektor produktif serta pengagihan manfaat pembangunan secara adil dan inklusif,” jelasnya.
Beliau yuang juga Bendahari PAS Terengganu berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Persidangan Ketiga (Sidang Bajet) Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang Ke-15, pagi ini.


Tambah beliau, kadar pengangguran negeri juga berjaya diturunkan kepada 2.8 peratus setakat suku kedua tahun 2025, berbanding 3.4 peratus pada tahun 2023 satu penurunan ketara yang menunjukkan peningkatan peluang pekerjaan serta kestabilan pasaran buruh di negeri ini.
“Dari sudut pasaran pekerjaan, negeri Terengganu terus menikmati suasana ekonomi yang stabil dan berdaya tahan. Kadar pengangguran negeri yang disasarkan sekitar 3.3 hingga 3.6 peratus, telah berjaya diturunkan kepada 2.8 peratus setakat suku kedua tahun 2025.
“Ini merupakan penurunan ketara berbanding kadar 3.4 peratus pada tahun 2023, menandakan peningkatan peluang pekerjaan serta daya saing pasaran buruh yang semakin kukuh,” ujarnya.
Ustaz Mohd Nor turut menegaskan bahawa prinsip ‘itqan’ dan amanah sebagaimana dituntut oleh Islam mesti menjadi pedoman utama dalam melaksanakan urusan kewangan dan pembangunan negeri.
“Kecekapan dan ketelusan adalah tuntutan agama bukan sekadar amalan pentadbiran. Amaka persidangan kali ini sewajarnya menjadi medan untuk menzahirkan prinsip itu dalam setiap keputusan yang dibuat,” tegas beliau.
Selain menyorot prestasi ekonomi, beliau turut memaklumkan bahawa DUN Terengganu terus memainkan peranan aktif di peringkat nasional dan antarabangsa, termasuk menghadiri Persidangan Setiausaha Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia di Johor serta Persidangan Komanwel ke-68 di luar negara, bagi memperkukuh sistem legislatif dan tadbir urus demokratik negeri.
Justeru itu, beliau menyeru semua Ahli Dewan agar terus berbahas secara matang dan beradab dalam Sidang Bajet kali ini.
“Berbeza pandangan tidak bermakna berpecah tujuan. Matlamat kita tetap sama membina negeri yang maju, berkat dan sejahtera,” katanya.





























