Dewan Muslimat, Jalan Terus!

185

KUALA TERENGGANU – Dewan Muslimat Pas Negeri Terengganu (DMPNT) komited untuk terus mengorak langkah, bermuhasabah dan menambah baik gerak kerja bagi meneruskan agenda parti dan mempertahankan kemenangan di Terengganu.

Ketua Muslimat DMPNT, To’ Puan Zarani Othman berkata, muslimat tidak akan berundur menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang di samping mempersiapkan jentera parti dari segi tarbiah, dakwah dan siasah.
“Kita berdepan dengan cabaran Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Iaitu untuk memperkukuh Muafakat Nasional dan mempertahankan Perikatan Nasional bagi menghadapi pilihan raya yang akan berlaku pada bila-bila masa.

“Serta cabaran pengundi muda 18 tahun yang akan menjadi pengundi automatik. Kita perlu bekerja dari sekarang mengajak mereka kepada Pas lebih-lebih lagi kepada pengundi-pengundi muda yang baru pertama kali akan mengundi pada PRU kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung DMPNT di Markaz Tarbiah Kuala Ibai di sini semalam.

Zarani kekal sebagai ketua DMPNT dalam pemilihan tersebut, diikuti Tuan Roslina Tuan Sulaiman yang dipilih sebagai timbalan dan Zuraida Md Noor yang dipilih sebagai naib ketua.

Sementara itu, Ketua Muslimat Pas Pusat, Ustazah Nuridah Salleh mengingatkan, ahli Pas melibatkan diri dgn jemaah bukan disebabkan hobi, tetapi bergerak bersama dengan parti adalah tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah SWT.

“Kita perlu mengukuhkan jemaah kita bukan sekadar di tempat kita tetapi di mana generasi kita berada perlu mengambil tahu hal ini kerana untuk mencapai kejayaan memang kita perlu menguatkan jemaah kita bersama.

“Kerana cita-cita kita besar, tak lain tak bukan adalah untuk menyambung dakwah yang dibawa oleh Rasulullah SAW,” katanya.