Malang bertimpa pula apabila, sewaktu penyerahan surat ‘rehat’ kepada Butler itu, beliau dilaporkan telah mengasari jurugambar sebuah media tempatan.
Butler sebelumnya dilaporkan telah membuat keputusan yang sensitif agama yang telah menyinggung pembantu dan para pemainnya dengan mengeluarkan kata-kata tidak sopan.
Ekoran prestasi pasukan T-Team yang kian merudum, Butler telah menerima tekanan dan desakan supaya meletakkan jawatan, namun mempertahankan pendiriannya dan enggan melayan desakan tersebut.
Namun begitu, pihak Lembaga Pengarah T-Team telah memutuskan untuk merehatkan Butler dan surat keputusan tersebut telah diserahkan kepada Butler melalui Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Daerah Kuala Terengganu (PBSDKT), Ali Embong pada jam 5 petang semalam.
Bagaimanapun, jurulatih berusia 47 tahun yang sudah beberapa kali terjebak dengan kontroversi semasa bersama skuad Kelantan dan Terengganu itu akan tetap menerima imbuhan gaji dan elaun bulanan lain.
“Keputusan merehatkan Butler telah diluluskan oleh lembaga pengarah pasukan memandangkan T-Team berada di zon penyingkiran selepas tamatnya pusingan pertama Liga Super.
”Sementara Butler berehat, tugas sebagai ketua jurulatih akan diambil alih oleh penolong jurulatih, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd. Nor,” kata Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Ab. Rasid Jusoh kepada pihak media.
Butler pada asalnya adalah dilantik sebagai jurulatih pasukan bola sepak negeri Terengganu bagi menggantikan kekosongan setelah Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) memecat Mat Zan Mat Aris.
Pemilihan Butler yang telah diketahui ‘kontroversi’, adalah merupakan satu kesilapan PBSNT yang dipimpin oleh Datuk Che Mat Jusoh.
Amaran telah dikeluarkan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS, Ustaz Mohd Nor Hamzah pada 13 November lalu, bahawa tindakan tergopoh-gapah, tidak konsisten dan keras kepala Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan menyebabkan peminat bola sepak mungkin menghadapi satu musim ‘malap’ yang berulang [klik berita terkait]
Ternyata kini, musim baru 2013 ini tidak akan menjanjikan kecemerlangan kepada bola sepak negeri Terengganu!