Oleh: KHALID ABDULLAH
KEMAMAN – Kakitangan Petronas yang bekerja di Kertih atau Paka disaran untuk tidak lagi ke bandar lain seperti Kuantan atau Kuala Lumpur setiap kali hujung minggu untuk bercuti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata demikian selepas mendapat taklimat korporat dan operasi Petronas yang disampaikan oleh Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Wan Mohd Hasnan Wan Abdullah, di sini pada Selasa 10 Julai.
“Kita ada pantai yang sangat cantik, rugilah jika kita yang menetap dan mencari rezeki di sini, keluar ke bandar lain untuk berbelanja setiap kali hujung minggu.
“Tanggungjawab sosial dan kerjasama korporat perlu untuk merancakkan aktiviti ekonomi di Kertih.
“Kita akui pembangunan di Kemasik terlalu perlahan dan tidak mengambarkan keadaan sebenar bandar minyak seperti Miri di Sarawak.
Sementara itu, Wan Mohd Hasnan dalam taklimat beliau menyatakan Petronas tidak pernah meminggirkan masyarakat setempat dengan mengadakan pelbagai program bersama komuniti setempat.
“Petronas sangat komited membantu anak-anak tempatan khususnya dalam menyediakan peluang pekerjaan.
“Petronas yang beroperasi di Terengganu sejak 1981, kini mempunyai kira-kira 7,000 tenaga kerja dengan 95 peratus rakyat Malaysia.
“Daripada jumlah itu, lebih 40 peratus adalah anak Terengganu dan ia membuktikan Petronas tidak pernah mengabaikan hak anak tempatan mendapat peluang pekerjaan di syarikat minyak nasional itu,” ujar Wan Hasnan lagi.
Program yang disifatkan oleh ADUN Kemasik itu sebagai cukup bermanfaat itu turut dihadiri Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Che Alias Abd Hamid.