Belajar Erti Ketabahan Dari Seorang Anak Muda

1170

Oleh: Dr Azman Ibrahim

Ada ketikanya kita perlu berdepan dengan seorang pemimpin besar untuk mendapat inspirasi dalam perjuangan. Mendengar ucapan seorang pemimpin yang bersemangat, mengambil contoh dari ketinggian peribadi dan kehebatan seorang pemimpin mengatur langkah-langkah perjuangan serta memetik butir-butir mutiara hikmah adalah suatu suntikan yang berharga.

Tapi ada ketikanya seorang pejuang kecil yang tak didendang mampu memberikan satu tusukan yang menikam jiwa walau dia tak perlu berkata-kata.

Anggota Unit Amal Kawasan Marang, Mat Ridwan bin Yah hanyalah seorang pemuda kampung anggota Unit Amal biasa. Mencari rezeki hanya dengan kerja memandu lori. Tak mempunyai sebarang kepentingan yang dicari apabila mewakafkan diri dalam perjuangan ini kecuali untuk mencari redha Allah. Di mana ada program yang melibatkan Unit Amal, Mat Ridwan jarang tercicir. Berdiri di tengah panas terik matahari serta basah kuyup ditimpa hujan ketika membantu mengawal lalu lintas di program-program parti sudah menjadi sebahagian dari rutin hidupnya. Tulang empat kerat yang dimilikinya, selain dari untuk mencari rezeki halal, juga untuk mencari saham akhirat dengan caranya yang tersendiri. Tabik hormat untuk anak muda ini.

IMG_20151011_133508Pada 9 dan 10 Oktober 2015, ketika Program Jambori Amal dan Himpunan Pemuda Islam Terengganu di Pantai Air Tawar Besut, pastinya Mat Ridwan turut hadir sebagai peserta bersama ribuan anggota Unit Amal dari seluruh Negeri Terengganu. Lori 1 tan yang menjadi teman setianya mencari rezeki adalah juga temannya ketika menghadiri program-program parti.

Malang tak berbau dan ia datang tanpa dipinta. Tanggal 10 Oktober 2015, ketika dalam perjalanan pulang dari Besut ke Marang, lori yang dipandunya terbabas lalu merempuh sebatang pokok di kawasan Batu Rakit. Bahagian hadapan lori remuk teruk mengakibatkan kaki kirinya yang tersepit cedera parah.

Allah telah mentakdirkan bahawa kakinya yang selama ini gagah berdiri menyempurnakan tugas-tugas perjuangan Islam ‘terlebih dahulu dihantar ke syurga menunggu tuannya.’ Kaki kiri Ridwan yang tersepit dan remuk teruk mengakibatkan doktor terpaksa mengambil keputusan untuk memotongnya.

Lebih 20 hari anak muda ini terlantar di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu. Kebajikannya dijaga rapi oleh Jabatan Amal Terengganu. Semalam ketika diziarahi oleh wakil Lujnah Kebajikan PAS Terengganu, saya sangat kagum dengan ketenangan dan semangat tinggi yang dipamerkan. Tetap tersenyum mesra dan jauh sekali untuk mengeluh dan menangisi tragedi yang menimpanya. Kehilangan sebelah kaki sehingga paras lutuk adalah satu ujian yang besar. Tapi ternyata semangat dan ketabahan anak muda ini lebih besar dan hebat. Sekeping gambar yang dilampirkan mungkin boleh berbicara sendiri. Saya kagum dan terharu. Semoga digantikan oleh Allah dengan kaki yang lebih baik di syurga nanti.

Tentnya beliau memerlukan masa yang lama untuk pulih dan kembali bekerja. Sahabat-sahabat yang berhajat untuk berkongsi sedikit simpati boleh salurkan ke akaun BIMB 13017018282075 atas nama JABATAN AMAL NEGERI TERENGGANU.

***Penulis ialah Ketua Lujnah Kebajikan PAS Terengganu