KUALA TERENGGANU – Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu (DMPNT) mengecam keras tindakan rejim Zionis menahan peserta Global Sumud Flotilla (GSF), termasuk rakyat Malaysia, yang sedang dalam misi kemanusiaan menuju Gaza.
Ketuanya, To’ Puan Hajah Zarani Othman, berkata misi GSF merupakan usaha aman tanpa senjata dengan tujuan membawa mesej kebebasan dan bantuan kepada rakyat Palestin yang dizalimi.
Namun katanya, tindakan rejim Zionis menahan aktivis terbabit disifatkan sebagai pencabulan undang-undang antarabangsa, Konvensyen Geneva dan prinsip asas hak asasi manusia.
“DMPNT menuntut pembebasan segera tanpa syarat terhadap semua rakyat Malaysia dan peserta GSF yang ditahan, serta menjamin keselamatan mereka,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau turut mendesak Kerajaan Malaysia melalui Wisma Putra agar segera menggunakan saluran diplomasi, undang-undang antarabangsa dan kerjasama serantau untuk membawa pulang rakyat Malaysia dengan selamat.
Selain itu, DMPNT menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan komuniti antarabangsa supaya menekan Israel agar menghentikan pencabulan terhadap misi kemanusiaan, dan memastikan perlindungan diberikan kepada semua aktivis.
“Sesungguhnya, kezaliman tidak akan kekal. Kemanusiaan pasti menang,” tegas Zarani